Thursday, May 6, 2010

Penjelasan Isu Status Ibu dan Ayah Nabi SAW

Jangan Sakiti Nabi!

Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya.

Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, May 5, 2010

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi

Dalam siri tulisan kita mengenai Tajdid di minggu-minggu yang lalu kita ada menyebut bahawa Tasawwuf kerap menjadi sasaran sesetengah aliran mereka yang mendakwa Tajdid. Tasawwuf, Tariqat dan istilah-istilah yang berkaitan dengannya sering dimomokkan oleh mereka seolah-olah semua dan setiap yang bernama Tasawwuf dan Tariqat itu sesat, bid`ah dan khurafat. Strategi memomokkan istilah ini sebenarnya sebenarnya suatu percubaan untuk mengunci minda dan menjadikan masyarakat awam jauh hati daripada Tasawwuf dan dunianya tanpa benar-benar mengenali dan memahaminya dengan tepat. Mereka ini sedar bahawa jika masyarakat meneliti dan mendekati Tasawwuf dengan adil dan bersungguh-sungguh, kefahaman dan penghayatan yang murni terhadap Tasawwuf akan menjadi salah satu benteng yang memisahkan masyarakat daripada terpengaruh dengan aliran yang ingin mereka juarai.

Menyedari hal ini, dengan izin dan inayah Ilahi, ruangan ini dan beberapa minggu mendatang, akan cuba menghuraikan tentang Tasawwuf dan persoalan yang berkaitannya termasuklah merungkaikan beberapa salah-faham yang timbul berkaitan dengannya.

Tasawwuf sebagai Cabang Ihsan

Kunci utama kepada kefahaman yang murni terhadap Tasawwuf ialah dengan menyedari bahawa sebenarnya ia tidaklah melainkan cabang atau dimensi Ihsan daripada agama kita. Ihsan selain daripada Islam dan Iman serta kesedaran tentang akhir zaman merupakan cabang dan dimensi utama al-Din seperti yang kita semua tahu daripada Hadis Jibril yang merupakan antara induk hadis-hadis Nabi SAW. Begitu besar pengajaran yang hendak dibawa melalui hadis tersebut sehingga Jibril telah menyampaikan secara istimewa iaitu dengan merupakan dirinya sebagai manusia dan berdialog secara langsung dengan Nabi SAW bersaksikan para sahabat. Dari situ, kita semua maklum bahawa agama yang kita anuti ini sebenarnya terdiri daripada tiga cabang Islam, Iman dan Ihsan yang terjelma kepada tiga cabang ilmu utama agama iaitu Syariah, Aqidah dan Akhlak. Tiga istilah alternatif bagi ilmu-ilmu ini adalah Fiqh, Tawhid dan Tasawwuf. Jadi sebenarnya dalam peta minda Islam, Tasawwuf adalah istilah lain bagi dimensi Ihsan atau Akhlak.

Jika itulah kedudukan Tasawwuf dalam kerangka faham agama kita, tidak peliklah jika kita melihat para ulama muktabar sepanjang zaman, sebagai mereka yang paling menguasai selok-belok agama ini, bersikap sangat positif terhadap Tasawwuf dan dunia Tasawwuf. Kebanyakkan mereka terjun langsung kedalam dunia tersebut dengan mengamal, mengajar dan mengarang kitab-kitab rujukan dalam bidang ini. Selebihnya menjadi mereka yang mencintai para ulama dan pemuka Tasawwuf atau sekurang-kurangnya tidak mengambil sikap memusuhi mereka. Gambaran ini, yang akan kita perincikan nanti, sepatutnya sudah cukup menjadi asas untuk kita bersikap positif terhadap Tasawwuf.

Imej-imej Negatif Tasawwuf

Tapi kenapa masih ada yang takut dengan Tasawwuf atau memandangnya sebagai asing atau negatif?

Ihsan-Akhlak-Tasawwuf, jika direnungi, adalah dimensi dalaman atau batin agama kita. Kerana tabiatnya yang begitu memang salah-faham dan kekeliruan mudah timbul berkenaan Tasawwuf terutama di peringkat amalan dan perbahasan yang lebih tinggi. Mendekati Tasawwuf ditahap yang tinggi tanpa panduan guru yang berkelayakan boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat dan salah. Bila ini berlaku, ajaran-ajaran salah ini sering mendapat liputan meluas dan sensasi di media seperti dalam kes Hassan Anak Rimau, Ayah Pin dan al-Arqam. Kumpulan dan ajaran Tasawwuf yang menyeleweng sering tetap menggunakan istilah-istilah dalam dunia Tasawwuf seperti tariqat, syeikh, mursyid, awrad, kasyaf, yaqazah dan seumpamanya. Akhirnya istilah-istilah ini turut terpalit dan dilihat negatif sedangkan hakikatnya tidaklah begitu.

Sebenarnya penyelewengan turut berlaku dalam cabang agama yang lain seperti cabang Syariah. Malah penyelewengan dalam cabang Syariah mungkin lebih meluas dan melibatkan lebih ramai orang dan kumpulan. Cuma mungkin kesannya tidak begitu kelihatan atau kurang dirasakan oleh mereka yang terlibat. Atau jika menonjol sekalipun ia biasanya tidak akan dikaitkan sebagai kelemahan cabang ilmu syariah atau fiqh. Bukankah masih banyak penyelewengan daripada landasan hukum syariah yang ada dalam masyarakat kita?

Dalam bidang dan kumpulan mana pun akan ada mereka yang menyeleweng atau ekstrim. Soalnya, adakah adil kita menilai dan menghukum sesuatu bidang atau kumpulan hanya dengan merujuk kepada mereka yang menyeleweng atau sesat yang muncul dari bidang atau kumpulan itu? Jika begitu banyaklah bidang dan cabang ilmu yang harus kita tolak kerana adanya ‘kambing hitam’ yang muncul daripada kalangan pengamalnya! Adakah bijak kita meminggirkan Tasawwuf hanya kerana beberapa individu dan kelompok yang sesat yang timbul dari dunia Tasawwuf?

Segelintir mereka yang salah menghayati Tasawwuf juga menyebabkan timbul imej seolah-olah Tasawwuf adalah anti-dunia, anti-kemajuan dan anti-perjuangan. Kita akan huraikan nanti betapa tersasarnya tanggapan jika melihat pencapaian dan perjuangan para tokoh dan pemuka Tasawwuf, dulu dan kini. Tetapi harus diingat, jika Tasawwuf hendak dinilai dengan neraca seseorang yang memang tenggelam dan mabuk dengan dunia dan material memanglah Tasawwuf akan dilihat pasif dan tidak cukup dinamik.

Ada juga orang-orang yang baik-baik dan minatkan agama tetapi punya tanggapan bahawa Tasawwuf adalah ilmu yang terlalu tinggi untuk mereka. "Kami belum layak untuk mengaji Tasawwuf...," kata mereka. Ini juga satu sindrom yang amat merugikan kerana ia menjauhkan mereka daripada apa yang sangat mereka perlukan dalam kehidupan mereka. Siapakah di kalangan kita yang tidak perlukan penyucian diri dan peningkatan keruhanian? Malah ini adalah suatu keperluan bagi setiap Muslim pada setiap ketika dalam hidupnya. Kita akan jelaskan nanti betapa Tasawwuf, seperti juga ilmu-ilmu lain ada tahap dan peringkat-peringkatnya. Selagi mana kita mendatangi Tasawwuf mengikut tahap dan kaedahnya, dengan bimbingan guru yang layak maka tidak timbul sindrom tidak layak atau belum sesuai belajar Tasawwuf.

Ada juga disana kelompok dan kumpulan yang sentiasa mencemburui dunia Tasawwuf dan pendokongnya kerana Tasawwuf dilihat sebagai aliran tandingan kepada aliran yang mereka juarai. Lantas mereka sering cuba menempelkan label-label bid`ah, khurafat dan taasub kepada Tasawwuf. InsyaAllah kita akan membahaskan asas-asas al-Quran dan al-Sunnah di sebalik Tasawwuf. Jika difahami dengan jujur, Tasawwuf yang murni adalah bebas daripada label-label ini. Sebaliknya, jika diteliti, kelompok yang mentohmah Tasawwuf, sering terlibat dengan unsur-unsur bid`ah, khurafat dan ta`asub. Tengok sahaja bagaimana mereka menjulang tokoh-tokoh mereka sendiri dalam pelbagai bentuk dan cara. Seolah-olah tokoh-tokoh ini sahaja yang memonopoli kefahaman dan kebenaran. Bukankah ini taasub walaupun tiada tangan yang dicium atau berkat yang diambil?

Marilah dalam minggu-minggu mendatang bersama kami dalam perjalanan mendekati Tasawwuf agar ia tidak terus menjadi cabang agama yang terzalimi.

Oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Ini versi asal daripada versi yang tersiar di
Ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Utusan Malaysia (4 Mei 2010)