Monday, March 1, 2010

Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?

Assalamulaikum warahmatullah,

Ini artikel terkini oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa untuk ruangan Relung Cahaya dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia, setiap Isnin. (ini versi penuh, yang disiarkan lebih ringkas sedikit) Yayasan Sofa Negeri Sembilan adalah pertubuhan pendidikan, dakwah dan kebajikan di bawah pimpinan al-Fadhil al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, seorang tokoh ulama muda. Gelaran al-Maliki telah diberikan kepada beliau oleh al-Muhaddith Syeikh Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, tokoh ulama besar dunia Islam kelahiran Makkah yang telah kembali ke rahmatullah dalam bulan Ramadhan 2004. Selain daripada beliau, Syeikh Muhammad Fuad telah berguru dan diijazahkan oleh ramai tokoh ulama Islam dari Mesir, Syria, Hijaz, Yaman, Jordan, Maghribi dan lain-lain selain daripada para gurunya dari Malaysia. Beliau juga berkelulusan sarjana muda Syariah daripada universiti al-Azhar, Mesir. Sekarang ini beliau turut merupakan ahli Majlis Agama Islam dan majlis Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus.
Beliau banyak mengadakan kelas pengajian berkitab dan bersanad serta berkhutbah Jumaat di Masjid Taman TAR, Ampang. Saya menjemput teman2 untuk bersama memanfaatkan majlis-majlis ilmu yang istimewa ini. Saya sendiri turut terlibat dalam Yayasan Sofa dan boleh lah bertemu dengan teman2 dalam majlis-majlisnya, inshaAllah.
Selamat membaca, wassalamualaikum.
********
Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?
Kita sekarang berada di tengah-tengah kehangatan dan keharuman hari-hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bagi tahun Hijrah 1431. Alhamdulillah, sebenarnya, sekelumit manapun ingatan dan perasaan kasih terhadap Nabi SAW yang dicampakkan oleh Allah SWT dalam hati kita, ia adalah kurniaan istimewa dan amat bermakna dariNya kepada kita. Jika di hari-hari dalam bulan Rabi` al-Awwal ini ingatan dan kerinduan kita terhadap Nabi SAW lebih terasa oleh sebab pelbagai acara dan majlis yang giat diatur dan dianjur maka itu sebenarnya suatu kelebihan dan nikmat yang sudah kena pada tempatnya. Tetapi sudah menjadi lumrah alam, setiap yang baik dan bermanfaat itu tetap akan ada lawan dan tentangannya sama ada secara zahir dan terbuka atau secara tersembunyi seperti bisikan nafsu dan iblis dalam diri kita, yang saban masa cuba menghalang kita daripada mendekati amal soleh dan kebajikan.

Begitulah juga hakikatnya dengan amalan dan kebiasaan yang tersebar luas dikalangan umat Islam serata alam meraikan Mawlid Nabi kita Muhammad SAW. Kemeriahan dan keriangan yang rata-rata dirasai majoriti Umat sedikit-sebanyak terganggu dengan suara-suara yang mempertikaikan dan mempermasalahkan sambutan Mawlid Nabi SAW ini. Menginsafi situasi ini, Relung Cahaya kali ini mengajak kita menjawab semula suatu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera. Kenapa dan mengapakah kita menyambut Mawlid Nabi SAW?
Sebenarnya sambutan Mawlid Nabi SAW seperti yang difahami dan dihayati oleh para kekasih Allah dan RasulNya yang sejati tidaklah terhad kepada hari dan bulan Rabi` al-Awwal sahaja. Sebab itulah para Ulama pewaris Nabi SAW dipelbagai pelusuk dunia Islam sehingga ke hari ini sentiasa menjadikan sambutan Mawlid Nabi SAW sebagai majlis untuk meraikan pelbagai munasabah yang penting seperti kesyukuran, kunjungan tetamu, memohon hajat ataupun sebagai pengisian tetap amalan harian, mingguan dan bulanan. Ini adalah tanda makrifah mereka yang tinggi terhadap kandungan dan hakikat sambutan Mawlid Nabi SAW yang sebenarnya menjadi penyubur dan pengobar ikatan kasih kita dengan Nabi SAW yang merupakan pintu utama kita untuk sampai kepada Allah SWT.
Sesungguhnya terasa lemah dan kerdil jika hendak diungkapkan dengan perkataan hakikat sebenar tautan kasih dan hak Nabi SAW yang terpikul dipundak kita dan jika diberikan kekuatan untuk melakukannya sekalipun maka halaman dan ruang sebesar manakah yang cukup besar untuk menyenaraikan disebutkan satu persatu segala makna dan faham yang berkaitan dengan persoalan yang begitu agung ini? Dalam kemampuan dan ruang yang terbatas marilah kita menghimbau secara ringkas asas-asas kenapa kita perlu menyambut Mawlid Nabi SAW, di sepanjang masa dan ketika, termasuklah di hari dan bulan yang memang terpilih untuk untuk peristiwa agung tersebut.

Kita menyambut Mawlid kerana kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Sambutan itu adalah gerak naluri yang melimpah daripada perasaan kasih terhadap Baginda SAW yang ada dalam diri. Ia adalah tanda dan bukti lahiriyah dan amali kasih kita terhadap Baginda SAW. Perasaan kasih yang memang diajar sendiri oleh Baginda SAW sebagai suatu perintah Allah SWT ke atas hamba-hambaNya. Perasaan kasih yang merupakan sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT sendiri. Kalaupun ada perbezaan dalam beberapa hal-hal rinci berkenaan Mawlid, kita semua sepakat bahawa kita wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk yang lain termasuk diri kita sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda Nabi SAW.
Kita menyambut Mawlid sebagai ibadah dan untuk beribadah. Mengingat, mengenang, menyebut nama Nabi SAW danberselawat ke atas Baginda SAW adalah Ibadah. Berselawat dan memuji Nabi SAW perbuatan Allah SWT dan suatu amalan yang diperintahkan dengan jelas olehNya seperti dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian bersalawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (al-Ahzaab :56)

Bukankan ini merupakan pengisian-pengisian utama majlis-majlis Mawlid Nabi SAW? Mawlid turut diisi dan disekalikan dengan Solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, I’tikaf di masjid-masjid, tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, sedeqah, menjamu makan sesama Islam, berukhuwwah dan bermahabbah sesama Islam, bergotong-royong dan seumpamanya yang semuanya adalah ibadah. Bagi kebanyakan daripada kita, jika tidak menghadiri majlis-majlis Mawlid ini, mungkin masa tersebut tak akan mampu kita isi dengan ibadah yang lebih baik daripadanya atau mungkin sahaja digunakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW kerana dengannya kita mengagungkan dan membesarkan syiar agama Allah SWT. Mengagungkan dan membesarkan syia`r-syi`ar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT, “Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah.” (al-Haaj:32) Dalam begitu banyak syi`ar-syi`ar Islam, bukan Nabi SAW itu sendiri merupakan syi`ar terbesar dan teragung. Bukankah Nabi-lah,SAW, dengan ketentuan Allah SWT, yang telah mengajar dan memperkenalkan kepada kita segala syia`ar-syi`ar yang lain dalam Islam?

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW untuk memantapkan lagi pijakan hati dan aqal kita dalam kehidupan beragama kerana bukankah dalam majlis-majlis Mawlid Nabi SAW kita meriwayatkan kembali sirah dan keistimewaan Baginda SAW. Bukankah cara ini telah tercatat dalam al-Quran sebagai kaedah berkesan untuk memantapkan pegangan dan perjalanan kita, “Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya.” (Hud:120)
Di dalam majlis-majlis Mawlid, terutama yang dibimbing oleh para Ulama, appresiasi terhadap sirah Nabi SAW dilaksanakan dengan cara yang tersendiri yang mampu menggerakkan hati dan aqal sekaligus serta menimbulkan sentuhan yang seni. Ianya pasti tidak sama dengan kajian yang sifatnya formal dan akademik semata-mata.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW sebagai suatu kaedah berdakwah dan menyampaikan risalah Islam ditengah-tengah masyarakat. Majlis-majlis Mawlid terbukti berkesan sebagai medan untuk menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berhimpun sejenak memperbaharui Iman mereka. Dalam majlis-majlis ini masyarakat diajak untuk mendekati dan beradab dengan Nabi SAW. Mereka dijamu dengan pelbagai pelbagai santapan ruhani dan aqli yang sangat mereka perlukan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka di ajak memperbetulkan kembali senarai keutamaan dalam hidup mereka dengan tentunya kembali meletakkan Allah dan RasulNya di atas segala yang lain. Hinggakan segala jamuan dan santapan jasmani yang turut menjadi ciri majlis-majlis Mawlid tidaklah sunyi daripada menjadi hidangan yang penuh berkat, inshaAllah. Adakah hidangan dalam majlis seumpama ini sama sahaja keberkatannya berbandingan dengan hidangan-hidangan lain? Sudah tentu tidak. Bahkan ia merupakan keberkatan bagi yang dijamu dan kebajikan besar bagi yang menjamu.
Jika ditilik dari sudut segala persiapan yang dibuat untuk menganjurkan majlis-majlis Mawlid, kita akan mendapati bahawa ia membuka begitu banyak pintu kebajikan yang boleh dikongsi oleh semua. Yang alim dan yang jahil, yang kaya dan yang miskin, yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, semuanya ada peranannya dan sumbangannya dalam majlis-majlis sambutan Mawlid.
Kita menyambut Mawlid Nabi kerana sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihinya dan seluruh kehidupannya. Menjadi kebiasaan manusia menganggap istimewa dan meraikan sedikit atau banyak hari kelahirannya sendiri atau mereka yang dikasihinya. Selain daripada isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman terdekat, manusia juga sering meraikan hari-hari kelahiran, kematian atau hari-hari pertiswa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang mereka sanjungi. Maka tepatlah jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Nabi kita Muhammad SAW, kita raikan dengan sewajarnya. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa kelahiran Nabi kita bukanlah sama tarafnya dengan kelahiran insan biasa. Sebagai Nabi, walaupun belum diutuskan secara rasmi, kelahiran dan kehidupan Baginda SAW sebelumnya sudahpun dipenuhi pelbagai keistimewaan yang diberikan istilah khusus iaitu Irhas. Nabi kita sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk Baginda SAW berpuasa sunat dihari-hari Isnin. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Kita telah menghimbau beberapa sebab utama yang mulia disebalik sambutan kita terhadap Mawlid. Jika begitu jelas, banyak dan pelbagai asas-asasnya untuk kita menyambut Mawlid kenapa masih ada yang mempertikaikan? Dari pengamatan kita suara-suara yang bernada sumbang dan tidak selari dengan suara majoriti umat dalam menyambut Mawlid ini dapat dikenal-pasti sebab dan puncanya. Pepatah hikmah menyatakan, “Iza `Urifa al-Sabab, Batolal `Ajab!” (Apabila sudah diketahui sebabnya, tidak ada yang perlu dihairankan lagi!) Jika di amat-amati, suara-suara utama yang suka dan berani mempertikaikan, memperlekehkah dan mempersoalkan sambutan Mawlid dari neraca agama datangnya daripada aliran dan madrasah pemikiran tertentu dalam Islam. Yang perlu diingat, pada hakikatnya aliran ini bukanlah aliran arus perdana dan bukannya aliran majoriti Ummah dari dahulu hinggalah sekarang. Hujah mereka dalam isu-isu sebegini telahpun dijawab para ulama muktabar dulu dan kini. Bahkan dalam isu sambutan Mawlid ini, pandangan para pemuka, pendokong dan mereka yang cenderung kepada aliran ini sendiri adalah tidak sepakat. Sebahagian daripada mereka tidak menolak dan bahkan turut mengakui kelebihan amalan ini.

Maka jika sebab dan asas untuk menyambut Mawlid Nabi SAW sudah begitu jelas. Tiada pula di sana sebab dan asas untuk mempertikaikan atau menolaknya. Marilah kita bersama-sama, sebagaimana yang selayaknya bagi Umat yang baik bagi Nabinya yang mulia, umat pilihan Nabi pilihan, umat yang tahu diri dan tahu mengenang budi, meraikan dan menyambut Mawlid Nabi kita Muhammad SAW dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat, berpandukan suluhan Nabi SAW serta para ulama pewaris Baginda SAW. Semoga kita semua dilayakkan mendapat tempat di hati Nabi SAW dan dihimpunkan bersama Baginda SAW.

1 comment:

Muhammad said...

Bicara Ummah dan Maulid di Masjid UKM, Bangi Esok 11 MAC 2010, KLIK : http://pondokhabib.files.wordpress.com/2010/03/bicara-maulid.jpg