Sunday, April 18, 2010

Laporan Polis Terhadap Dr.Asri

Assalamualaikum,
Dilampirkan dibawah, nota media laporan polis yang telah dibuat oleh saya dan teman-teman daripada beberapa pertubuhan Islam pagi tadi lebih kurang jam 1130 di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. 'Katakanlah yang benar walaupun pahit!'
Wassalamualaikum
Nota Media (18 April 2010)

Laporan Polis Terhadap Tulisan Dr.Asri di Malaysiakini yang mengandungi Hasutan terhadap Agama dan Institusi Raja-raja Melayu.
Kami terpanggil untuk memohon agar suatu siasatan dibuat terhadap satu kesalahan yang kami percayai telah mencabuli undang-undang negara, mencabar institusi asas negara serta menghina Islam dan umatnya di negara kita.
Kami merujuk kepada tulisan Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin bertajuk “Cabaran Gerakan Pembaharuan” bertarikh 4 April 2010 yang lepas. Tulisan ini yang merupakan tulisan kedua dalam ruang kolum baru yang diberikan kepadanya oleh laman web berita Malaysiakini (edisi Bahasa Melayu).
Kami berpandangan bahawa secara keseluruhan dan di beberapa tempat dalam tulisan tersebut secara khusus, Dr.Asri telah melampaui batas dalam mengemukakan pandangan dan komentarnya hingga ke tahap melanggar beberapa undang-undang negara terutamanya Akta Hasutan 1948.
Akta Hasutan 1948 memperuntukkan definisi hasutan sebagai termasuk, “kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.” (Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948)
Dr.Asri dalam tulisannya jelas cuba menimbulkan krisis keyakinan terhadap institusi-institusi rasmi Islam yang utama di Malaysia iaitu institusi Raja-raja dan ulama. Dalam tulisan beliau ini Dr.Asri jelas cuba menggambarkan bahawa pihak Raja-raja Melayu atau pihak Istana telah menjadi penghalang kepada aliran pembaharuan agama kerana tunduk kepada penjajah serta kerana telah diampu oleh para ulama yang beliau istilahkan sebagai anti-pembaharuan. Berikut dinukilkan antara petikan daripada tulisan tersebut yang berkaitan :
i. “Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.”
ii. (Di bawah tajuk kecil “Enggan Mengampu”) “Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.”
iii. “Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatah lagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.
iv. “Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana.”
v. “Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.” (dengan tambahan garis bawah)
Membaca tulisan ini, pembaca akan mendapat gambaran bahawa pihak Raja-raja Melayu (kecuali di negeri yang disebut oleh beliau) sebagai mereka yang membelakangkan kepentingan Islam hanya kerana tunduk kepada penjajah dan ampuan ulama yang tidak sealiran dengan ‘gerakan pembaharuan’. Raja-raja Melayu juga digambarkan seolah-olah tidak mampu menilai yang baik dan buruk dalam urusan agama hanya kerana termakan ampu dan puji. Para ulama yang tidak sealiran pula digambarkan sebagai bersedia untuk membelakangkan Islam demi pengaruh dan kuasa. Istana digambarkan penuh dengan khurafat dan perkara yang bercanggah dengan Islam yang dibiarkan sahaja oleh mereka. (rujuk juga mesej yang berkaitan dalam tulisan beliau dalam kolum yang sama seminggu sebelumnya bertajuk “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”, Malaysiakini, edisi Bahasa Melayu, 28 Mac 2010). Turut jelas dalam tulisan beliau, Dr.Asri cuba memberi gambaran negatif dan menghakis keyakinan terhadap autoriti agama di hampir kesemua negeri-negeri di negara kita.
Kami percaya bahawa dengan kenyataan-kenyataan beliau ini, selain daripada mengancam keutuhan Islam dan umatnya di Malaysia, Dr.Asri sudah melanggar beberapa batas undang-undang negara. Kedaulatan undang-undang adalah salah satu rukun negara ini. Kami menuntut hak kami sebagai warganegara agar undang-undang negara ini memelihara kami, masyarakat dan negara daripada ancaman dan kerosakan yang boleh terhasil akibat tulisan sebegini. Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara juga merupakan paksi-paksi Rukunegara. Kami percaya tulisan sebegini sangat bercanggah dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta ketinggian institusi Raja-raja sebagai payung negara dan agama. Tulisan ini juga cuba memberikan imej yang buruk terhadap para tokoh ulama tanah air, dulu dan kini, terutamanya yang berperanan secara rasmi dalam pentadbiran agama Islam.
Oleh itu kami menuntut agar siasatan berlandaskan undang-undang negara dibuat terhadap tulisan ini dan penulisnya. Ini bukanlah kali pertama Dr.Asri menerbitkan tulisan yang berunsur sebegini dan adalah tidak wajar jika beliau dibiarkan berterusan melakukan perkara yang sama secara terbuka. Jika dibiarkan, tidak mustahil perbuatannya akan ditiru dan diulangi oleh lebih ramai yang lain yang akan membawa kesan yang lebih buruk kepada negara. Laman web Malaysiakini yang telah memberi ruang kepada tulisan seumpama ini juga perlu di siasat di atas alasan dan semangat yang sama. Jika terbukti bersalah, tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka untuk mencegah mereka daripada mengulangi kesalahan ini. Kami berharap agar laporan kami ini diambil perhatian serius serta mendapat tindakan segera daripada pihak yang berwajib.

(Laporan ini dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa pertubuhan Islam termasuk Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS), Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Integrated Muslim Associations Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (PERSIDAM). Laporan yang sama telah dibuat secara serentak di setiap negeri di seluruh negara)

9 comments:

Hazabe al-Kelantani said...

semoga Allah memberikan kekuatan pada Ust utk terus mengatakan kebenaran. :)
rindu mahu ketemu, banyak cerita yg boleh dikongsi..

-fakhrul-

Mohd Masri bin Mohd Ramli said...

Ramlah Adam, Shakila Parween Yacob, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil (2003). Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 m/s 49-50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

GERAKAN ISLAH DALAM MENINGKATKAN MINDA BANGSA

Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha, Idaran Zaman dan Pengasuh telah menjadi saluran Gerakan Islah ini.

Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu. Gerakan Islah oleh Kaum Muda ini dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana beberapa undang-undang telah dikeluarkan oleh Negeri-negeri Melayu bagi menghalang pengaruh Kaum Muda. Undang-undang ini tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaan Sultan. Undang-undang ini juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda dibawa masuk ke negeri-negeri tersebut.

Gerakan Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah. Madrasah ini menjalankan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan untuk dunia dan akhirat seperti pendidikan fardu ain, Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Madrasah ini juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Ternyata tekanan British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya Gerakan Islah dalam masyarakat Melayu, terutamanya dalam bentuk pendidikan.

----

Penulis buku teks tingkatan 5 ini perlu dilapor kepada polis kerana menghina raja-raja Melayu.

tawawi said...

Hehehe... lucu pulak laporan tu. Pada pandangan saya, tak nampak dimana kesalahan artikel dr maza..

Macam ni la kalau dah terlalu mengutamakan duniawi berbanding ukhrawi... Takut ker jawatan tergugat???

Kalau orang ilmuan pun pentingkan duniawi, apatah lagi orang biasa. Dimana keikhlasan...

Tapi takpe dr maza, saya yakin akan lebih ramai orang lain yang memberikan sokongan kepada anda..

Biasa la tu... Ikhwan Muslimin pun macam tu gak... Tak heran...

Kalau setakat nak jaga gaji RM5000 sebulan demi menggadaikan amanah ilmu, sangat2 tak berbaloi.. ruginya...

mat penang said...

Salam,

Mungkin Ust. boleh komen terhadap kenyataan FB berikut:

Dr. Maszlee Malik: "Pelik melihat intelek seperti Yusri telah menjadi emosional dan tidak mampu berhujah secara rasional setelah menjadi pengikut Syeikh Tarikat. Bab gunakan kuasa kerajaan untuk menindas pihak yang tidak sehaluan biarlah orang-orang yang bukan ilmuwan buat, tapi jikalau intelek pun telah bermain dengan rentak orang jalanan agak mengecewakan. Ke mana perginya golongan Tarikat sewaktu ada pihak yang dengan terang membawa agen Zionis ke Malaysia? apakah itu tidak membahayakan agama? mengapa tiada laporan polis?"

Soalan saya, mana perginya report polis oleh pihak ust. terhadap pihak yang employed zionist sebagai sri guru komunikasi mereka?

Abu Aqif Studio said...

mcm tak berasas la.. nampak mcm manipulasi artikel dr maza tu.. rasenye artikel dr maza tu more pointing to "them". not to the Raja² Melayu.. hmm.. 2 3 kali baca pn tak nampak dr maza tu pointing to Raja² Melayu..

Putar belit ye..? tak baik tau.. Dosa..

Unknown said...

hmm..betul kata dr maza,artikel beliau terbit dah agak lama,baru hari ini ustaz yusri nak buat laporan.

atau lebih tepat jika saya katakan laporan polis di buat selepas timbul isu telan air liur


hmm...
sekadar pertanyaan:
apakah laporan polis dibuat sebagai serangan balas terhadap isu air liur tersebut?

Abu Aqif Studio said...
This comment has been removed by the author.
Azzikraa said...

Assalamu'alaikum Masri, kami tidak lupa lagi anda mengatakan ibnu hajar al asqolani dan imam an nawawi terkeluar dari aqidah ahlu sunnah wal jama'ah.

Yang saya lihat, isi kandungan buku teks berikut takda kaitan pula dengan 'gerakan pembaharuan' bahtera perubahan, atau kononnya tajdid di zaman ini ?

Yang Dr Asri -

hina ulamak,

membuat tuduhan rambang,

bahkan menghukum kafir - kes selawat syifa'.

tak habis-habis bicara perkara furuk.

Saiful - enta dah jumpa dengan NGO Islam tuh ? Kalau tak tahu eloklah diam.

Azzikraa said...

Hehehe... lucu pulak laporan tu. Pada pandangan saya, tak nampak dimana kesalahan artikel dr maza..

Macam ni la kalau dah terlalu mengutamakan duniawi berbanding ukhrawi... Takut ker jawatan tergugat???

Kalau orang ilmuan pun pentingkan duniawi, apatah lagi orang biasa. Dimana keikhlasan...

Tapi takpe dr maza, saya yakin akan lebih ramai orang lain yang memberikan sokongan kepada anda..

Biasa la tu... Ikhwan Muslimin pun macam tu gak... Tak heran...

Kalau setakat nak jaga gaji RM5000 sebulan demi menggadaikan amanah ilmu, sangat2 tak berbaloi.. ruginya...

-------------

Kalau pro/taksub Dr Asri segala artikel darinya akan jadi positifk. Walaupun menghina ulamak. :)