Sunday, November 13, 2011

Kertas Seminar Siyasah Syariyyah anjuran Muafakat Sabtu 12 November 2011 di UIAM

Siyasah Syar`iyyah Sebagai Instrumen Memelihara Keutuhan dan Kestabilan Negara
Dr. Yusri bin Dato’ Mohamad


Muqaddimah

Tulisan ringkas ini akan cuba mengupas tajuk yang diamanahkan oleh penganjur seminar dengan merujuk terus kepada konteks dan realiti Malaysia. Ramai yang akan bersetuju bahawa dengan mengambil kira demografi dan latar sosio-politiknya yang tersendiri, Malaysia boleh dianggap sebagai salah sebuah Negara yang boleh dipuji dan menjadi contoh kepada Negara-negara lain dari aspek keutuhan dan kestabilannya sebagai sesebuah Negara bangsa. Rekod baik Negara dalam bab ini selama ini turut menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang dihormati oleh Negara-negara umat Islam yang lain.

Oleh itu adalah wajar kita memulakan perbahasan kita dengan cuba menghimbau faktor-faktor utama disebalik kejayaan Malaysia selama ini. Kemudiannya kita akan susuli dengan meninjau sama ada Siyasah Syar`iyyah sebagai satu kaedah atau prinsip dalam Islam dapat membantu memelihara atau memperkasakan lagi faktor-faktor ini supaya keutuhan dan kestabilan Negara dapat dipertahankan bahkan dipertingkatkan. Memuji Malaysia disini tidak bererti kita mengatakan bahawa kita sudah berpuas hati dengan tahap pencapaian yang ada ataupun menganggapnya serba sempurna.

Satu lagi nota peringatan penting ialah apabila kita bercakap tentang kejayaan Malaysia kita melihat kejayaan itu dari perspektif yang tersendiri iaitu daripada perspektif Islam dan juga dari perpektif bangsa Melayu sebagai bangsa asal dan teras bagi Negara ini. Maksudnya kita mesti mengukur jaya atau tidaknya Negara kita dengan berasaskan dua nilai asas ini. Oleh itu, bagi kita, bukanlah suatu kejayaan atau suatu yang boleh dibanggakan jika Malaysia mampu menempati tangga yang lebih tinggi daripada prestasinya yang sedia ada dalam pelbagai sudut seperti KDNK, Per kapita, FDI dan seumpamanya tetapi dengan menggadai jati dirinya dari sudut Islam dan bangsa, dua nilai yang hakikatnya bertindan dan tidak bercanggah antara satu sama lain. Jika ada suara yang menuntut kita mencairkan pegangan kita dari segi agama dan bangsa demi menjadikan Malaysia lebih lincah bersaing dan berlumba dengan Negara lain, suara itu wajar kita tolak dan ketepikan kerana bercanggah dengan jatidiri dan nilai-nilai asasi Negara kita.

Faktor-faktor Keutuhan dan Kestabilan Negara

Jika diteliti, faktor-faktor utama disebalik keutuhan dan kestabilan Malaysia secara khusus boleh disenaraikan seperti berikut:

i. Kefahaman dan Penghayatan Islam yang Benar dan Terkawal.
Kita berpendapat bahawa salah satu faktor utama di sebalik resepi keutuhan dan kestabilan Negara kita adalah kefahaman agama Umat Islam di Malaysia yang benar dan terkawal. Dengan kurnia dan takdir Allah SWT, umat Islam di rantau sebelah sini telah menerima Islam dari sumber arus perdana dan kemudiannya berjaya diserapkan pokok-pokok ajaran aqidah, syariat dan keruhaniannya dengan relatif baik dan mantap. Ini menyebabkan wujudnya suatu kesatuan dan kesepaduan fikrah dan perasaan keagamaan di kalangan penganut Islam walaupun mereka boleh berbeza di sudut lain. Kejayaan faham arus perdana Ahli Sunnah wal Jama`ah memenangi hati umat Islam di Malaysia selama ini juga menyelamatkan umat daripada landaan gejala ektrimisme agama seperti terorisme militan, kafir-mengkafir, sesat-menyesatkan yang terlalu besar. Islam yang benar murni sememangnya membentuk umat yang bersikap sederhana*, wasatiyyah*, moderat* dan boleh hidup dengan muhibbah dan toleransi dengan pihak lain. (* label-label ini harus digunakan dan difahami menurut neraca Islam)

Oleh kerana umat Islam adalah penduduk majoriti dan kaum teras, jika mereka ini menunjukkan contoh dan mencorakkan rentak yang sihat maka tiada sebab rakyat Malaysia yang selebihnya tidak akan mengikut rentak dan corak yang mereka bawa. Tetapi jika ada elemen-elemen dalaman umat Islam itu sendiri yang mula lupa diri dan bercakap tidak seperti seorang Muslim-Mukmin maka ini akan dengan segera menyuntik keberanian dan menggalakkan orang lain untuk menyimpang daripada perjalanan yang sepatutnya.

ii. Keadilan Sosio-Ekonomi untuk Bangsa Melayu dan Bangsa-bangsa yang lain.
Satu lagi faktor utama keutuhan dan kestabilan Negara ialah kemampuan kita berlaku adil dari sudut-sudut ekonomi, politik dan sosial kepada bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan bangsa-bangsa lain tentunya. Keadilan tidak bererti layanan yang sama dan serupa kepada semua dan dalam setiap keadaan. Ia bererti setiap bangsa wajar mendapat apa yang layak didapatinya berasaskan asas-asas yang betul. Jika hak yang sah mana-mana kaum cuba dinafikan tanpa asas yang benar maka kita telah menyaksikan bagaimana penafian hak dan hubungan antara kaum yang tidak terkawal telah membawa kepada tragedi terburuk dalam sejarah Negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.

iii. Undang-undang dan Institusi Pentadbiran.
Oleh kerana keunikan faktor demografi dan sosial Malaysia, soal keutuhan dan kestabilan bukanlah suatu yang mudah dan boleh diambil mudah. Dari masa ke semasa isu-isu agama dan kaum yang timbul mengingatkan kita bahawa suasana boleh bertukar buruk dalam sekelip mata jika elemen-eleman kawalan dalam bentuk dasar, undang-undang dan institusi yang secukupnya tidak bertugas mengawal suasana. Dalam persoalan agama dan bangsa misalnya, institusi Raja-raja Melayu dan Majlis-majlis Agama Islam negeri mempunyai peranan penting mengimbangi pengaruh pihak-pihak lain yang tidak semestinya sentiasa amanah dan bertanggungjawab dalam menangani persoalan-persoalan ini. Undang-undang kawalan dan sekatan juga penting demi mengekang mulut dan tangan unsur-unsur yang ekstrim dan melampau yang muncul dari masa ke semasa.

Membuka ruang kebebasan tanpa batas serta melemahkan institusi-institusi yang berperanan mengawal dan mentadbir hal-hal sensitif dalam Negara seumpama Malaysia adalah resepi yang pasti untuk menempah bahana. Kemampuan kita mengadakan dan memelihara keberkesanan dan keseimbangan antara sistem dan institusi yang ada adalah antara punca asasi kejayaan Malaysia mengekalkan rekod keutuhan dan kestabilan yang boleh dibanggakan.

Kita sedar bahawa mereka yang jiwa dan ruhnya ekstrim liberal kebaratan sangat berat untuk menerima paradigma berfikir sebegini tapi hakikatnya Barat dengan kebebasannya itu tidaklah serba cemerlang rekod keutuhan dan kestabilannya. Lihat sahaja episod rusuhan yang tercetus di Britain baru-baru ini sebagai contoh kegagalan sebuah masyarakat bernilaikan kebebasan dan keterbukaan untuk mengawal elemen ekstrim di kalangan rakyatnya. Maka wajarkah kita mempertaruhkan nasib rakyat dan bangsa dengan merombak segala kerangka sistem dan institusi yang ada hanya kerana ingin menuruti tuntutan suara-suara yang fitrahnya telah rosak dan tercemar?

Ancaman-ancaman Terhadap Faktor-faktor Keutuhan dan Kestabilan Negara.

Mereka yang peka dengan perkembangan mutakhir Negara kita akan mengakui bahawa Malaysia hari ini benar-benar sedang berada di suatu persimpangan. Faktor-faktor seperti yang kita sentuh di atas sedang menghadapi gugatan dan cabaran yang serius dan mahu dirombak dan dirongkai oleh pelbagai pihak yang keliru ataupun berkepentingan. Ini menimbulkan suasana tertekan yang mungkin memaksa kita membuat pilihan-pilihan yang salah. Merubah ke arah sesuatu yang lebih buruk, terkeliru antara maslahah dan mafsadah.

Kita lihat misalnya, keutuhan dan kebakuan fahaman Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah di Malaysia sedang menghadapi serangan dan gelombang pelbagai aliran ektrimis dan menyeleweng. Berlatarkan realiti dunia tanpa sempadan dan langit terbuka serta dibantu oleh kuasa Media Baru, fahaman Islam Ahlus Sunnah wal Jama`ah di Malaysia yang ringkasnya bersifat aqidahnya Asha`irah-Maturidiyyah, syariatnya bermazhab dan akhlaknya bertasawwuf sedang disaingi dengan agresif oleh aliran Wahhabi, Syi`ah, Liberalis, Sekularis, Modernis, Neo-Mu`tazilah, Neo-Khawarij dan seumpamanya dalam pelbagai sosok, pakaian dan jenama.

Sejarah Islam sejak berabad-abad telah membuktikan bahawa versi Islam selain daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah akan menimbulkan pelbagai gejala negatif sehingga ketahap menghalalkan darah sesama Islam dan membunuh orang bukan Islam sewenang-wenang. Ataupun setidak-tidaknya kegiatan mereka ini akan melemahkan kekuatan dalam umat Islam sehingga membuka ruang musuh luar mengambil kesempatan.

Di sudut yang lain kita melihat formula persefahaman antara kaum di Negara kita mahu dirombak dan dirongkaikan. Soal kedudukan istimewa, ketuanan atau induknya orang Melayu dalam Negara saban hari menjadi sasaran serangan dan momokan kononnya atas prinsip meritokrasi dan keadilan. Pada masa yang sama, orang Melayu tidak pula diberi peluang yang saksama untuk bersaing secara adil di gelanggang swasta. Akhirnya orang Melayu semakin terpinggir dari sudut ekonomi dan keadilan pembahagian kekayaan.

Suasana ini di burukkan lagi dengan perpecahan dalaman politik umat Melayu-Islam yang belum ada duluannya (precedent) dalam sejarah negara. Pelbagai kes yang timbul mencetuskan krisis kepercayaan yang kronik terhadap tokoh-tokoh pemimpin Melayu-Islam yang ada. Sentimen yang dimanipulasi, hasad dan kebencian yang sentiasa dibajai pula akhirnya menimbulkan keadaan dimana undi Melayu terbelah dua ditengah-tengah. Akhirnya kaum yang majoriti merasakan harus mengemis sokongan yang minoriti untuk mengekalkan kuasa atau mendapatkan kuasa. Pengundi dan suara segmen Bukan Melayu-Islam dilihat dan dilayan sebagai ‘king-maker’ sehingga menimbulkan keberanian mereka untuk menuntut pelbagai perubahan yang tidak semestinya untuk kebaikan bersama dan maslahah Negara.

Akibatnya, terbentuk pula suasana di mana pelbagai sistem, undang-undang dan institusi yang selama ini berperanan memelihara keutuhan dan kestabilan Negara cuba dihakis dan dilemahkan. Akibat mabuk dengan kekalutan dan kerancuan realiti politik Melayu-Islam masa kini, sebahagian pemimpin dan pemikir Melayu-Islam sendiri turut galak menyerang sistem, undang-undang dan institusi yang ada tanpa ampun, tanpa batas. Maka benarlah pepatah yang mengatakan bahawa pohon kayu yang teguh berdiri tidak akan mampu ditumbangkan oleh besi mata kapak tanpa dibantu oleh kayu yang menjadi hulu kapak tersebut.

Itulah gambaran kelam dan menakutkan yang sedang kita hadapi. Apakah Syariah dan Siyasah Syar`iyyah boleh membantu kita keluar dari situasi genting ini? Kita katakan jawabannya adalah “Pasti Ya!”. Malah kegagalan kita menurut panduan Syariat dan Siyasah Syar`iyyah jugalah asalnya menjadi punca situasi menjadi sebegini buruk. Sebaliknya kita gagal untuk memahami dan mengutamakan Syariat yang akhirnya menyebabkan kita tunduk kepada pengaruh aqal dan nafsu semata-mata. Tanpa berpegang teguh dengan Syariat, mana mungkin diri manusia yang lemah itu mampu mengatasi segala tarikan, tekanan dan kekeliruan yang timbul dalam kehidupannya.

Kita yakin bahawa segala kemelut yang baru kita himbau di atas boleh diatasi melalui pendekatan Syariat dengan Siyasah Syar`iyyah sebagai salah satu cabangnya. Sudah tentu ini hanya boleh dicapai jika Syariat dan Siyasah Syar`iyyah itu kita fahami dengan suluhan yang benar dalam limpahan hidayah Ilahi. Maka wacana dan perbahasan kita dalam seminar pada hari ini adalah sangat relevan dan penting. Inilah yang akan cuba dilakukan dalam bahagian seterusnya dalam tulisan ini iaitu memberi gambaran yang sejernih mungkin tentang faham Siyasah Syar`iyyah itu sendiri disusuli dengan pandangan bagaimana penghayatan amali Siyasah Syar`iyyah dapat menjernihkan beberapa kemelut semasa yang sedang kita hadapi.

Perbahasan Siyasah Syar`iyyah adalah juga sangat relevan kerana sebahagian daripada suara-suara yang menghakis faktor-faktor keutuhan dan kestabilan Negara ini datangnya atas nama hujjah agama dan hujjah ilmiyyah. Maka kita sering mendengar sesetengah pihak yang cuba membawa perubahan atas nama tajdid, pembaharuan agama dan faham Islam yang kononnya lebih dinamik dan progresif. Manakala setengah yang lain pula menuntut perubahan dengan memakai baju demokrasi, meritokrasi dan hak asasi. Mereka ini juga sering menuntut ruang dan hak untuk bersuara dan berdialog tetapi tanpa kesediaan untuk mendengar dan benar-benar memahami perspektif Islam dan Syariah yang murni.
Berhadapan dengan arus ini, kefahaman yang sahih tentang Syariah dan Siyasah Syariah sangat penting kerana ia akan mengelakkan kita daripada terpedaya dan mengikut faham-faham yang palsu. Faham-faham yang boleh mencairkan pendirian kita serta merubah sikap kita dari dalam sehingga kita akhirnya berfikir dan merasa seperti mereka. Apa yang sudah jelas haram dan yang jelas syubhat menurut kalam Syariat boleh menjadi kelabu. Inilah keadaan yang paling buruk yang mahu kita jauhi.

Kegagalan kita memahami Siyasah Syar`iyyah juga akan sekurang-kurangnya menyebabkan kita rasa bersalah untuk bertegas dan dengan pendekatan Syariat dan Siyasah Syar`iyyah dan menggunakannya dalam menghadapi dan mengekang arus ini. Sedangkan pendekatan Siyasah Syar`iyyah akan memberikan kita keanjalan dan keluasan yang sangat diperlukan dalam menghadapi arus sebegini. Misalnya, Siyasah Syar`iyyah membolehkan kita bertegas dan menggunakan kuasa yang ada untuk mengawal dan menjaga agama dan bukan hanya membataskan diri kepada kaedah dialog, seruan dan pujukan.

Maksud dan Prinsip Asas Siyasah Syar’iyyah

Apabila merujuk kepada ungkapan Siyasah Syar’iyyah, dua dimensi yang berbeza tetapi berkaitan terpampang dihadapan kita. Ini adalah kerana dalam tradisi keilmuan Islam, istilah Siyasah Syar’iyyah itu telah digunakan dalam dua konteks iaitu pertamanya, konteks kaedah penentuan hukum dan keduanya, konteks sistem politik dan kenegaraan. Itulah penggunaan lazim dan diterima umum bagi istilah Siyasah Syar’iyyah. Wujudnya dua makna yang berbeza ini antara lain adalah kerana Siyasah Syar’iyyah merupakan istilah baru, dalam ertikata ianya tidak terdapat secara khusus dalam Al-Quran maupun Al-Sunnah.

i)Siyasah Syar’iyyah sebagai satu Kaedah Penentuan Hukum

Dalam konteks ini maksud Siyasah Syar’iyyah adalah :

 “Apa-apa langkah yang mendekatkan manusia kepada kebaikan serta menjauhkan mereka daripada kejahatan/keburukan kalaupun tidak ada keputusan daripada Rasul (saw) ataupun nas wahyu tentangnya.”

 “Jika dikatakan bahawa ‘Tidak ada siyasah kecuali yang selari dengan syarak’ ( لا سياسة الا ما وافق الشرع ) kenyataan itu benar. Tetapi jika yang dimaksudkan adalah ‘Tiada siayasah kecuali yang dinyatakan oleh syarak’ ( لا سياسة الا ما نطق به الشرع ), itu adalah suatu kenyataan yang keliru memberi gambaran yang keliru terhadap para Sahabat RasuluLlah (saw). Ini adalah kerana para Sahabat sendiri ada menentukan hukum berdasarkan kepentingan umum walaupun tidak ada nas secara khusus yang menyokongnya.”
(Ibnu Uqail seperti yang dinukilkan oleh Ibnul Qayyim, Al-Turuq al-Hukmiyyah)

 “Ilmu yang menghuraikan tentang hal-ehwal negara Islam serta sistem dan pentadbiran negara yang bertepatan dengan dasar Islam walaupun tanpa dalil-dalil khusus tentangnya.... Menurut pengertian ini Siyasah Syar’iyyah bermaksud beramal dengan Masalih Mursalah , kerana Masalih Mursalah adalah sesuatu yang tidak ditolak atau disabitkan oleh mana-mana dalil secara khusus.”
(Abdul Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyyah)

Berikut adalah beberapa fahaman asas tentang Siyasah Syar`iyyah dengan maksud ini:

 Syariat diturunkan dengan meraikan maslahat hidup manusia

Syariat Islam di rangka oleh Allah bertepatan dengan fitrah manusiawi. Oleh itu walaupun ia bersifat membataskan dan menghadkan kebebasan hidup individu dan masyarakat, ia tetap menghasilkan keharmonian dan kesejahteraan dalam hidup manusia dunia dan akhirat. Keunggulan acuan Islam dalam hal ini tampak jelas terutama dalam bahasan tentang Maqasid Syariah dan Maslahah di sekitar nilai-nilai dan konsep-konsep berikut:


1. Ad-Deen (Agama)
2. Al-Nafs (Jiwa/Nyawa)
3. Al-‘Aql (Aqal)
4. An-Nasb (Keturunan)
5. Al-Mal (Harta-benda)

1. Dharuriyyat

2. Hajjiyyat

3. Tahsiniyyat


 Syariat tidak mendatangkan hukum-hakam terperinci dalam semua hal

Kecuali dalam ibadah khusus, Syariat sekadar memberi garis panduan umum dalam banyak aspek kehidupan. Ini bersesuaian dengan tabiat kehidupan manusia yang berubah-ubah dari masa ke semasa dan mengelakkan Syariat daripada menjadi ketinggalan zaman dan canggung.

 Pemerintah (Waliyyul Amri) diberikan peranan yang lebih dalam menentukan dasar dan tindakan berdasarkan maslahat dalam pemerintahan dan pentadbiran.

Dalam kehidupan bermasyarakat yang serba kompleks, perlu ada suara penentu yang dihormati dan dipatuhi di tengah-tengah begitu banyak suara dan pandangan yang berbeza dan bercanggah. Oleh itu kebijaksanaan acuan Islam memberikan kedudukan yang istimewa bagi para pemerintah agar segala urusan kepentingan umum dalam masyarakat dapat ditangani dengan cekap dan cepat. Bagaimanapun pemerintah tidak boleh sampai melanggar batas-batas Syariat.
Prinsip in sesuai dengan Qaidah Fiqhiyyah yang masyhur, “Tindak-tanduk seorang pemerintah berkaitan dengan rakyat hendaklah berpandukan atau terikat dengan Maslahah”

Imam Hassan Al-Banna (r) juga merasakan prinsip ini cukup mustahak sehingga beliau menyenaraikannya dalam Usul Dua Puluh manhaj dakwahnya iaitu Usul ke-lima yang berbunyi, “ Dan pendapat Imam atau naibnya, dalam perkara yang tiada nas padanya, dalam hal yang mungkin menerima lebih daripada satu tafsiran dan dalam hal Masalih Mursalah : hendaklah diterima-pakai selagi mana tidak bertentangan dengan kaedah Syariah, dan ia mungkin berubah dengan perubahan keadaan, adat dan kebiasaan. Dan asas dalam hal Ibadat : patuh mengerjakan tanpa menyiasat makna, sedangkan dalam hal amalan seharian : perlu merujuk kepada rahsia, hikmah dan tujuan ”


 Siyasah Syar’iyyah lebih merupakan hukum berasaskan Maslahah dan Istihsan dalam konteks pemerintahan.

Adanya doktrin ini mempermudahkan pemerintah dalam sesebuah negara Islam mengemukakan dasar dan langkah-langkah yang perlu untuk kepentingan umum dalam perkara-perkara yang tidak jelas hukumnya dalam Islam. Rakyat akan lebih mudah menerima dan memberi kerjasama yang akan menjamin kelicinan urusan pentadbiran masyarakat.
Jika dirujuk kepada sesetengah contoh amali dizaman sahabat (r), Siyasah Syar’iyyah juga boleh digunakan dalam kes-kes yang ada nas tetapi dalam keadaan dimana penerapan nas secara literal akan membawa kesan yang bertentangan dengan maksud dan prinsip Syariah itu sendiri. Pendekatan sebegini selari dengan prinsip ketergantungan hukum pada wujud atau tidaknya ‘illah hukum. ( الحكم يدور مع العلة وجودا و عدما)

 Siyasah Syar’iyyah masih terikat dengan batas-batas Usul al-Fiqh.

Siyasah Syar’iyyah bukannya terpisah ataupun bercanggah dengan Syariat yang ditentukan isi-kandungannya oleh kaedah-kaedah Usul al-Fiqh. (Ijma’, Al-Ma`lum fi ad-Deen Bi Dharurah, al-Qawaid al-Fiqhiyyah, dll). Langkah-langkah yang bercanggah dengan sesuatu yang sudah disepakati umum dalam Syariat akan jelas tampak janggal dan ganjil lantas mendapat tentangan dari khalayak Ummat. Selari dengan maksud hadith,
“Akan tetap ada dikalangan Ummatku disetiap zaman satu kelompok yang menyatakan kebenaran sehinggalah datangnya Qiamat”

ii) Siyasah Syar’iyyah sebagai Sistem Politik dan Kenegaraan Islam

Dalam konteks ini maksud Siyasah Syar’iyyah termasuk :

 Sistem negara dan pemerintahan yang menurut acuan Islam atau berdasarkan Syariah. Ia juga boleh ditafsirkan sebagai sistem dan pendekatan politik Islam.
 Ibnu Khaldun menafsirkannya sebagai, pemerintahan berdasarkan agama (wahyu) (Siyasah Diniyyah) berbanding dengan Siyasah berdasarkan aqal semata-mata. (Siyasah ‘Aqliyyah)
 Seerti dengan istilah-istilah Nizam al-Hukm fi al-Islam, Al-Ahkam Al-Sultaniah, Ahkam al-Dusturiy al-Islamiy dan seumpamanya.


Berikut adalah beberapa fahaman asas tentang Siyasah Syar`iyyah dengan maksud ini:

 Politik dan pemerintahan adalah sebahagian daripada Islam.

Prinsip kesepaduan ini dapat dilihat lewat firman Allah yang bermaksud, “ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu sekelian kedalam Islam itu seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak-langkah Syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh yang nyata bagimu ” (Al-Baqarah : 208)

Kata-kata Ibnul Qayyim,
“ Dan tindakan sesetengah orang membahagikan pendekatan hukum kepada Syariah dan Siyasah seperti juga mereka membahagikan agama kepada Syariat dan Hakikat, atau membahagikan agama kepada Aqal dan Naqal (wahyu), kesemua pembahagian tersebut adalah batil. Sebaliknya, baik Siyasah, Hakikat, Thariqah ataupun Aqal kesemuanya terbahagi kepada dua sama ada sah atau batal. Yang sah merupakan sebahagian daripada Syariat bukannya pecahan yang terpisah. Sedangkan yang batal bertentangan dan bercanggah dengannya. Inilah merupakan antara prinsip asasi yang paling mustahak, yang terbina atas satu kaedah iaitu umumnya risalah RasuluLlah (saw) mencangkupi segala yang dihajatkan oleh manusia dalam ilmu pengetahuan dan perbuatan mereka...” (I’lam al-Muwaqqi’in)

 Kuasa Politik dan Kerajaan faktor penting dalam penghayatan Agama dan sebaliknya Agama menentukan keberhasilan Politik.

Kata-kata Al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah,
“ Disyariatkan pemerintahan itu untuk tujuan memelihara urusan agama dan mengurus-tadbir urusan dunia.”
“Ketahuilah, bahawa Allah (swt), Yang Maha Berkuasa telah menentukan untuk umat Islam seorang pemimpin yang menjadi pengganti RasuluLlah (saw), dengannya terlindunglah agama dan ditangannya terserah urusan politik supaya dapat dilaksanakan pentadbiran agama yang disyariatkan oleh Allah serta dapat disatu-padukan dengan perintah yang dipatuhi, justeru itulah persoalan mengenai Imamah (ketua negara) merupakan tunggak dasar-dasar agama, melalauinya akan terlaksanalah kepentingan umat Islam yang dengannya maka urusan rakyat akan menjadi tenteram...”

Kata-kata Plato dalam Republic,
“ Akhirnya saya sampai kepada satu kesimpulan bahawa kesemua kerajaan yang sedia ada diperintah dengan buruk, dan sistem pemerintahannya tidak boleh diperbaiki tanpa langkah-langkah yang drastik serta dibantu oleh nasib yang baik. Saya menjadi yakin bahawa satu-satunya harapan bagi masyarakat atau orang perseorangan untuk mengecapi keadilan terletak pada Falsafah yang hakiki, dan bahawa manusia tidak akan aman dari kekacauan sehinggalah para ahli falsafah yang hakiki mendapat kuasa politik ataupun para ahli politik, dengan mukjizat Tuhan, bertukar menjadi ahli-ahli falsafah yang hakiki.”


 Politik sebagai urusan Muamalah dan bukannya Aqidah

Menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, urusan yang berkaitan dengan politik dan pemerintahan adalah urusan yang secara umumnya terbuka kepada ijtihad. Ia berbeza dengan urusan Aqidah dan Ibadah yang dikawal oleh peruntukan nas-nas terperinci dan mutlak. Oleh itu betul atau salahnya sesuatu ijtihad politik tidak akan sampai menyesatkan seseorang pemerintah dari segi aqidah. Dalam sejarah Islam, pendekatan menyesatkan aqidah seseorang berdasarkan sesuatu tindakan politik merupakan pegangan puak Khawarij. Mereka sampai mengkafirkan Saidina Ali kerana menerima Majlis Tahkim dengan semboyan mereka (لا حكم الا لله)(Tiada hukum melainkan hukum Allah) yang telah dijawab oleh Ali dengan cukup tepat (كلمة حق يراد بها باطل) ( Kata-kata yang betul tetapi dimaksudkan untuk yang batil!).

Berkenaan kecenderungan melampau dalam konteks ini, Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi ada mengatakan,
“ Tegak bulu roma saya apabila ditunjukkan kepada saya risalah yang telah ditulis oleh sebahagian para pendakwah yang bersemangat tinggi bertajuk “Menyertai Parlimen membatalkan Tawhid”!. Ini merupakan satu kesilapan yang cukup pelik kerana memasukkan persoalan muamalah dalam masalah aqidah, sedangkan urusan muamalah beredar sekitar soal ‘betul` atau ‘salah` bukannya soal ‘iman` atau ‘kufur’. Bahkan ia termasuk urusan siayasah syar’iyyah yang diberi dua pahala kepada seorang mujtahid jika betul dan satu pahala jika tersalah. (Min Fiqhid Daulah fil Islam, ms. 82)

 Kedaulatan Siyasah di tangan Ummat dibawah naungan Syariat.

Memandangkan politik dan pemerintahan merupakan urusan yang melibatkan kepentingan ramai dalam kehidupan bermasyarakat maka Ummat diberikan kedaulatan untuk menentukan keputusan dengan dipandu oleh Syariat. Maksudnya kedaulatan Syariat yang memang merupakan prinsip asasi Islam dirangkaikan dan dilengkapkan dalam konteks politik dengan turut memberi ruang secukupnya kepada suara rakyat. Kedudukan ini dapat kita fahami lewat nas-nas seperti,
“ Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri dari kalangan kamu” (An-Nisa’ : 59)
“ Kamu sekelian adalah saksi Tuhan di muka bumi” (hadith)
“ Apa yang baik disisi para Muslimin maka baiklah disisi Allah” (kata-kata Ibnu Mas’ud (ra))

Aplikasi Siyasah Syar`iyyah kepada Kes-kes Semasa

Berbekalkan sedikit huraian tentang maksud Siyasah Syar`iyyah seperti di atas marilah kita cuba menggunakannya sebagai instrumen untuk menangani beberapa situasi semasa yang sedang kita hadapi. Harus diingat bahawa Siyasah Syar`iyyah tidak boleh mengatasi peranan Syariat itu sendiri. Kita beriman bahawa Syariat sebagai pokok perkara adalah sangat sesuai dan berpotensi menjadi penyelesai segala masalah jika di fahami dan dihayati dengan betul. Manakala Siyasah Syar`iyyah dan kaedah-kaedah lain seperti Maqasid al-Syari`ah, Maslahah atau seumpamanya adalah ranting-ranting yang membantu dan menyokong pada ketika dan masanya. Hal ini perlu ditegaskan kerana terdapat di sana kecenderungan sesetengah pihak yang cuba menyalah-gunakan kaedah-kaedah sokongan seperti Siyasah Syar`iyyah dan Maqasid al-Syari`ah untuk mendokong tafsiran yang menyeleweng daripada Syariat Islam yang murni.

Berbekalkan peringatan diatas, kita melihat Siyasah Syar`iyyah sebagai sangat berpotensi untuk membantu merungkai kekusutan dan menyuluh jalan dalam menghadapi pelbagai isu dan ancaman terhadap keutuhan dan kestabilan Negara seperti yang kita sentuh sebelum ini. Misalnya,

1. Siyasah Syar`iyyah boleh menjadi asas tambahan kepada polisi dan dasar mempertahankan aliran Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagai satu-satunya aliran yang diiktiraf dan didokong oleh umat Islam di Malaysia. Walaupun aliran-aliran lain belum menampakkan ancaman dan tandingan ke tahap kritikal ke atas faham Ahlus Sunnah wal Jama`ah ia perlu di cegah di peringkat awal lagi sebelum keadaannya menjadi diluar kawalan. Peraturan mewajibkan tauliah sebelum seseorang itu dibenarkan mengajar agama misalnya adalah suatu amalan yang boleh dipertahankan dengan berdasarkan kaedah Siyasah Syar`iyyah selain daripada sumber-sumber Syariah yang lain.

2. Siyasah Syar`iyyah juga mendokong adanya undang dan penguatkuasaannya terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membawa aliran yang bercanggah dengan aliran Ahlus Sunnah wal Jama`ah termasuk dalam bentuk langkah-langkah pencegahan.

3. Siyasah Syar`iyyah juga sangat penting dalam memandu kita dalam mengambil sikap terhadap kes-kes besar yang melibatkan tokoh-tokoh pemimpin Melayu-Islam yang akhirnya mencetus krisis kepimpinan dan perpecahan yang serius sesama Islam. Sebahagian daripada kes-kes yang timbul ini melibatkan kesalahan-kesalahan moral ataupun jenayah yang telahpun ada formula menanganinya dalam Syariat Islam. Cuma kadang-kadang formula sebenar Syariat mungkin dikelirukan akibat sentimen yang terlalu kuat dalam menyokong atau membenci seseorang tokoh yang terlibat. Maka kita perlulah kembali mengkaji dengan lebih teliti dan objektif hukum-hakam yang berkaitan dengan kes-kes yang timbul seperti Qazaf, penggunaan bahan-bahan bukti tertentu seperti DNA dan video dan isu-isu sepertinya yang sedia dihuraikan oleh Syariat dengan dibantu oleh Siyasah Syar`iyyah.

4. Siyasah Syar`iyyah juga menawarkan faham politik Islam yang sepatutnya mengurangkan ketajaman pertentangan dan kebencian antara parti-parti politik beragama Islam dan ahli-ahlinya. Ia juga sepatutnya mengurangkan ketegangan dalam masyarakat akibat persoalan politik kerana pada perbezaan politik secara asasnya bukanlah berada di tahap perselisihan aqidah. Maka faham Siyasah Syar`iyyah akan membolehkan parti-parti yang berbeza tetap berkerjasama di atas isu-isu yang disepakati bersama demi maslahah Islam kalaupun tidak sampai ke tahap bergabung.

5. Siyasah Syar`iyyah akan membolehkan kita menerima institusi pemerintahan Beraja walaupun ia bersifat warisan dan bukan pemilihan. Ini akan mengelakkan timbulnya sentimen negatif melampau terhadap institusi ini seolah-olah Islam langsung tidak mengiktiraf institusi seumpama itu. Ia juga akan membolehkan kita memfokuskan tumpuan kita kepada prestasi Raja-raja dalam peranan rasmi mereka sebagai ketua agama dan bangsa dan tidak terlalu membesar-besarkan kelemahan mereka dalam aspek lain.

6. Siyasah Syar`iyyah juga membuka ruang untuk kita mengambil sikap dan pendekatan yang lebih tegas dan jelas dalam persoalan-persoalan yang zahirnya masih diperselisihkan melibatkan agama seperti isu penggunaan kalimah Allah, Bible bahasa Melayu, pencegahan murtad dan kebebasan bersuara dan seumpamanya. Begitu juga halnya dalam isu-isu bangsa seperti kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu. Siyasah Syar`iyyah sepatutnya mengelakkan kekeliruan sesetengah pihak yang cuba mempertentangkan Islam dan Melayu dalam konteks Negara Malaysia.

7. Siyasah Syar`iyyah juga sepatutnya membebaskan kita daripada terlalu tunduk dan terikut-ikut dengan acuan demokrasi dan hak asasi Barat dalam mentadbir Negara kita. Kecenderungan ini akan meluaskan lagi jurang pemisah antara sesama Islam yang turut menjadi punca kelemahan dalaman umat Islam.

Penutup

Siyasah Syar`iyyah jika difahami dengan betul sangat berpotensi sebagai instrumen kearah mengukuhkan keutuhan dan kestabilan Negara. Ia boleh membantu umat mengambil sikap yang lebih tepat dan selari dengan Islam dalam hal-hal yang menggugat faktor-faktor utama penentu keutuhan dan kestabilan Negara kita. Siyasah Syar`iyyah juga boleh menjadi hujah dokongan dalam mempertahankan dasar-dasar dan institusi yang mendokong keutuhan dan kestabilan Negara.

Apabila kita mendokong institusi dan dasar yang dirasakan selari dengan Siyasah Syar`iyyah dalam kertas ini, tidak bererti kita menafikan kemungkinan bahawa boleh berlaku salah-guna atau manipulasi atas tujuan yang salah. Maka kita mungkin menghadapi suasana di mana kita terpaksa memilih bahaya (dharar) yang lebih kecil di antara dua bahaya (irtikab akhaf al-dhararayn). Dalam situasi itu sepatutnya kita tetap setia dengan pedoman Syariat dan Siyasah Syar`iyyah untuk memilih antara dua pilihan tersebut sambil memohon hidayah Allah SWT, Yang Maha Berkuasa Membolak-balikkan Hati-hati manusia. Semoga hati-hati kita akan sentiasa ditetapkan diatas pilihan yang terbaik dalam segenap perkara. Wallahua`lam.

4 comments:

zamakhsyari said...

Terima kasih diatas pencerahan ini.

Karim Omar said...
This comment has been removed by the author.
Karim Omar said...
This comment has been removed by the author.
Karim Omar said...

Rakaman video pembentangan ini boleh ditonton di sini:
http://youtu.be/4UMkYbgN6AY
Wassalam
Karim - http://akarimomar.wordpress.com/