Tuesday, April 13, 2010

Polemik Tajdid dan Pembaharuan

Polemik Tajdid dan Pembaharuan
Oleh Panel Penyelidik, Yayasan Sofa.
(Versi penuh daripada versi yang tersiar di ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Selasa 13 April 2010)

Di antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu Tajdid atau Pembaharuan dalam agama. Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok dalam soal pembaharuan dalam Islam ini. Antara persoalan pokok di sekitar Tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah dan manhaj untuk pembaharuan agama. Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita untuk mengenalpasti siapakah para Mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini turut mudah berlaku kerana sering terdapat pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan atau tajdid kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka adalah menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam. Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat. Jika mereka ini aggresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh. Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah Tajdid dalam Islam

Istilah tajdid, pembaharuan atau renewal memang punya imej dan daya tariknya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar. Ditambah lagi apabila mengingatkan bahawa kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam,

“Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini” (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara hadis yang sangat popular dikalangan umat Islam kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar. Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep Tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding dengan agama-agama lain. Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pillihan sudah dibekalkan dengan acuan dan panduan yang terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang Tajdid harus setia kepada hakikat ini. Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (Taghyir) ataupun reformasi (Islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh. Taghyir dan Islah hanya layak ditujukan terhadap orang-orang Islam yang lalai agar mereka ini berubah dan mengislah diri kembali mengikuti fahaman Islam yang sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sendiri sebagai para pewarisnya yang sah. Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar dikalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur. Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng. Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh. Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiyyah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan RasulNya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis Mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam Islam dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu. Aspek Islam, Iman dan Ihsan ini dikembangkan dan dihuraikan dibawah ilmu-ilmu Shariah/Fiqh, Aqidah/Tawhid dan Akhlak/Tasawwuf. Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang ditangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi. Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini turut mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah di kembangkan dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang beraqidahkan acuan Aqidah Asha`rah-Maturidiyyah, bershariahkan Mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasawwuf dalam akhlaknya. Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai-senarai utama para Mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam-imam Abul Hassan al-Ash`ariy, al-Shafi`iy, al-Ghazaliy dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan daripada perbahasan di atas, tumpuan sebenar Tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri. Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita merupakan fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita. Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia dihadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiyyah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas dihadapan kita. Perkara-perkara yang jelas-jelas haram, halal atau khilafiyyah tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para Mujaddid hakiki.

Mengenal Mujaddid Sebenar

Hasil perbahasan kita ini, bolehlah disimpulkan bahawa para Mujaddid sebenar dalam Islam adalah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap Aqidah/Tawhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf yang benar dan murni. Acuan dan manhaj yang benar dan murni dalam cabang-cabang ilmu Islam ini juga adalah jelas dan terang bagi mereka yang mahu melihat. Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para Mujaddid maka agama mereka akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu menempa pencapaian ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamaddun agung dunia dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para Mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia disebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama Tajdid dan pembaharuan. Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing. Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka. Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Syeikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan dan jasa mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. Khalayak awam yang kurang teliti dan berhati-hati mungkin mudah terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham Tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.
Sebenarnya, dengan berbekalkan faham Tajdid dan pembaharuan Islam yang sebenar, kita tidak akan mudah terpesona dengan setiap yang melagukan lagu Tajdid dan pembaharuan. Dengan izin Allah, dikesempatan yang mendatang, ruang ini akan mendedahkan secara lebih khusus beberapa pandangan yang menyimpang daripada fahaman Tajdid yang ada diketengahkan dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.

Wednesday, March 31, 2010

Muslim first , then Malay, then Malaysian

Assalamualaikum,

Baru terbaca Malaysiakini membesarkan isu kenyataan TPM Muhyiddin yang beliau adalah Melayu dulu baru 'Malaysian'. Beliau tegaskan, dengan berkata begitu tak bererti beliau tak boleh jadi a good 'Malaysian'. Saya setuju kalau ini maksud beliau. Saya ingin tambah, sebagai seorang Muslim, yang paling tepat, kita adalah "Muslim first, then Malay and then Malaysian" Muslim dulu, baru Melayu dan baru orang Malaysia. Kalau ini turutannya maka gabungannya serasi dan harmoni. Tak bercanggah dan bertentangan. Syaratnya fahaman kita tentang maksud Muslim, Melayu dan warga Malaysia itu murni dan betul. Wallahu a'lam. Harap TPM pertahankan pendiriannya dengan baik.

Wassalamualaikum

Friday, March 5, 2010

Artikel Sheikh Fuad tentang Maulid

Assalamualaikum,
Dilampirkan artikel Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki tentang Maulid yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Selamat membaca dengan hati dan minda yang terbuka.
Wassalamualaikum
****
Mengapa Mempertikaikan Maulid?

Alhamdulillah. Setinggi pujian kita rafa`kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil di atas limpahan nikmatnya kita dipertemukan dan dapat melalui hari-hari bulan Rabi` al-Awwal tahun ini yang menyuburkan ingatan dan ikatan kasih kita dengan kekasihNya, Nabi kita, Sayyiduna Muhammad SAW. Nampaknya sambutan umat Islam di serata pelusuk dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat. Masih banyak lagi majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabi` al-Awwal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita. Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid. Pada tahun ini, suara-suara ini turut ‘menumpang’ isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di salah sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara, yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama, yang mempermasalahkan, mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid. Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadhilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud Bid`ah yang sesat). Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan. Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan. Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi. Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita sikapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara-suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar. Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya. Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah `Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut mempermasalahkan dan berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah. Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama :

Pertamanya : fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep Bid`ah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan Bid`ah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua Bid`ah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan Bid`ah ini.

Kedua : mereka terlalu menekankan sikap Ittiba` (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba` dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta`dzim (mengagungkan), Tasyaffu` (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga : mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil-kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana Umat. Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurangpun dikira sebagai Bid`ah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba`, Hubb, Ta`dzim, Tasyaffu`, Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti Umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Aqidah/Tauhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik. Para pemuka ulama Umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma` Sukuti (ijma` senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Keinsanan Rasulullah SAW

Dalam kehangatan kita cuba mendaulatkan dan menyanjung Nabi SAW di musim Maulid tahun ini, seorang penulis kolum telah memilih untuk membahaskan isu keinsanan para Rasul AS mengikut fahaman yang tersendiri. Pemilihan masa dan cara penulisan tulisan tersebut nampaknya cuba menghantar beberapa mesej yang bercanggah dengan sambutan Maulid Nabi SAW. Antara mesejnya adalah, keinsanan Nabi SAW ditonjolkan agar tumpuan diberikan terhadap al-Quran dan bukan diri Nabi SAW. Mukjizat yang berkaitan dengan diri Nabi SAW cuba dikecilkan kononnya untuk mengelakkan pelampauan dalam memuji Nabi SAW. Olahan sebegini terhadap mukjizat peribadi Nabi SAW turut dimaksudkan untuk mempermasalahkan keistimewaan yang boleh dikurniakan oleh Allah SWT kepada insan-insan pilihannya yang lain seperti Irhas dan Karamah.

Seperti biasa, kolumnis tersebut membawa beberapa dalil al-Quran dan Hadis untuk mendokong `tesis’nya itu. Cuma, jika diperhalusi, kesemua dalil-dalil ini telah ditafsirkan dan diletakkan dalam kerangka yang sesuai dengan kecenderungan penulis. Misalnya, ketika memetik ayat 110, Surah al-Kahfi yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku...” penulis tidak pula menegaskan bahawa walaupun Nabi SAW itu insan, tetapi sebagai insan yang menerima wahyu Baginda SAW bukanlah sama dengan insan biasa. Menerima wahyu adalah tugas berat dan istimewa dan Rasulullah SAW telah dipilih serta dipersiapkan lebih awal untuk proses itu. Setelah Baginda SAW menerima wahyu pula, Baginda SAW terus-menerus meningkat keistimewaannya dan tidak sama sekali boleh di samakan dengan insan biasa.

Penulis turut menukilkan ayat-ayat yang menegaskan bahawa mukjizat Nabi SAW hanya berlaku dengan izin Allah SWT. Isu ini tidak pernah dipertikaikan oleh mereka yang mengagungkan Nabi SAW. Dalam menjulang Nabi SAW, para ulama dan umat Islam arus perdana tetap melakukannya dalam kerangka tauhid. Mereka tetap mengembalikan segala keistimewaan Baginda SAW kepada izin, ketentuan dan iradah Allah SWT.

Kolumnis ini juga memetik hadis dimana Baginda SAW melarang kita daripada memujinya berlebihan seperti orang Kristian memuji Nabi Isa AS. Tetapi beliau tidak menyatakan pandangan para ulama yang rata-rata memahami hadis tersebut sebagai larangan bersyarat. Dilarang memuji Nabi SAW, jika pujian tersebut sampai ke tahap mengatakan Nabi Muhammad SAW sebagai anak Allah dan lain-lain dakwaan melampau Kristian tentang Nabi Isa AS. Adapun pujian setinggi manapun, selagi tidak sampai ke tahap itu, memang layak dan sesuai dengan ketinggian dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW disisi Allah SWT.

Kolumnis tidak pula membawa dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang menjulang dan memuji Nabi SAW. Tidak juga merujuk kepada sikap dan perbuatan para Sahabat RA dalam memuliakan dan membesarkan Nabi SAW. Para Sahabat RA, merupakan generasi yang paling memahami dan menjiwai al-Quran dan Sunnah tetapi apa yang mereka lakukan dalam memuliakan Nabi SAW adalah jauh melebihi apa yang kita lakukan di dalam atau di luar majlis-majlis Maulid yang kita anjurkan.

Seperti beberapa tulisan sebelum ini, kolumnis ini juga memberi gambaran yang buruk terhadap hubungan antara murid dan guru dalam dunia kerohanian Islam. Beliau mengajak pembaca untuk menilai dunia yang begitu dimuliakan oleh para ulama Islam ini dengan merujuk kepada fenomena yang berlaku dalam kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang menisbahkan diri kepada dunia Tasawwuf dan Tarekat. Ini bukanlah sikap yang jujur mahupun ilmiyyah dalam menilai ajaran dan fahaman arus perdana dalam dunia tersebut.

Sebenarnya kecenderungan memperkecilkan mukjizat dan khususiyyah Nabi SAW serta Karamah para ulama-awliya’ pewaris Baginda SAW, adalah suatu percubaan meletakkan semua orang di martabat yang sama dalam Islam. Tindakan menyamaratakan (levelling) semua orang dalam Islam ini adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dengan fitrah alam. Ia akan mengakibatkan hilangnya autoriti dalam Islam yang akan menghakis keutuhan keseluruhan Islam itu sendiri. Akhirnya sesiapa sahaja boleh cuba bercakap bagi mewakili Islam. Sikap menafikan keistimewaan mereka yang benar-benar istimewa dalam Islam ini adalah lebih buruk dan bahaya jika ia merupakan strategi licik untuk menggantikan tempat para tokoh-tokoh ikutan muktabar umat selama ini dengan ikutan terhadap tokoh-tokoh aliran dan kelompok sendiri.

Sikap Yang Sepatutnya

Latarbelakang isu ini adalah perasaan kasih dan membesarkan Nabi SAW yang dikongsi dan disepakati semua. Oleh itu, rasanya dalam isu yang satu ini, hasil perbincangan ringkas di atas, tidaklah sepatutnya begitu sukar untuk mereka yang tidak terlalu keras sikapnya untuk bersama-sama bersikap positif terhadap sambutan Maulid Nabi SAW.

Bagi mereka yang selama ini memang mendokong Maulid, mereka sewajarnya lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh meraikan dan menyambutnya. Tinggal lagi mereka harus sentiasa mempertingkatkan tahap kefahaman dan penghayatan mereka dalam sambutan Maulid yang mereka amalkan. Kaedah dan caranya harus dimuhasabah agar benar-benar berkesan serta diberkati agar matlamat-matlamat tertinggi di sebalik sambutan Maulid dapat dicapai dan dijelmakan.

Bagi segelintir orang-orang agama yang cenderung menentang dan alahan kepada Maulid, kita mencadangkan kepada mereka bahawa sudah ada banyak hujah dan asas ilmiyyah untuk membolehkan mereka melunakkan sikap mereka dalam bab Maulid ini. Kalaupun mereka masih enggan menyambutnya, ambillah serendah-rendah sikap yang terhormat dengan menganggapnya sebagai isu yang masih khilaf didalam Islam. Maka tidaklah wajib malah dilarang bagi mereka untuk mengingkari pandangan yang berbeza dalam mana-mana isu khilafiyyah. Adalah lebih terlarang untuk mengingkari Maulid jika ia akan menimbulkan ketegangan dan memecahkan kesatuan umat. Jika kebetulan mereka ini turut merupakan orang-orang politik yang bergerak di gelanggang politik pilihanraya, adalah terlebih wajar mereka melunakkan sikap dan tidak terlalu alahan terhadap Maulid. Bersikap keras terhadap Maulid hanya akan mengurangkan keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan mereka.

Bagi muslimin-muslimat yang dari kalangan awam yang masih keliru dan ragu-ragu dengan perbahasan yang kita kemukakan disini kita menyeru agar mereka terus mengkaji dengan saksama, bersyura dan beristikharah. Rujuklah tulisan dan pandangan ulama muktabar yang lebih terperinci berkenaan isu ini. Kita akui bahawa tidak sesuai di ruangan ini untuk kita menulis secara terlalu terperinci mahupun terlalu berterus-terang. Inilah sekurang-kurangnya yang wajib mereka lakukan kalau mereka mahu turut terjun ke gelanggang urusan para ulama dan mereka yang mengkhusus dalam ilmu-ilmu Islam. Itu pun dengan menjaga adab-adabnya dan dengan tetap akur bahawa isu-isu agama adalah satu bidang yang kepakaran yang menuntut pengkhususan seperti bidang-bidang pengkhususan yang lain. Jika mereka tidak sanggup dan memangpun mereka tidak dituntut mengkaji seperti para ulama mengkaji, maka mereka sepatutnya mengikut pandangan muktabar sama ada yang telah diangkat sebagai fatwa rasmi ataupun tidak. Itu adalah sikap yang lebih selamat dan sejahtera bagi agama mereka.

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Monday, March 1, 2010

Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?

Assalamulaikum warahmatullah,

Ini artikel terkini oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa untuk ruangan Relung Cahaya dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia, setiap Isnin. (ini versi penuh, yang disiarkan lebih ringkas sedikit) Yayasan Sofa Negeri Sembilan adalah pertubuhan pendidikan, dakwah dan kebajikan di bawah pimpinan al-Fadhil al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, seorang tokoh ulama muda. Gelaran al-Maliki telah diberikan kepada beliau oleh al-Muhaddith Syeikh Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, tokoh ulama besar dunia Islam kelahiran Makkah yang telah kembali ke rahmatullah dalam bulan Ramadhan 2004. Selain daripada beliau, Syeikh Muhammad Fuad telah berguru dan diijazahkan oleh ramai tokoh ulama Islam dari Mesir, Syria, Hijaz, Yaman, Jordan, Maghribi dan lain-lain selain daripada para gurunya dari Malaysia. Beliau juga berkelulusan sarjana muda Syariah daripada universiti al-Azhar, Mesir. Sekarang ini beliau turut merupakan ahli Majlis Agama Islam dan majlis Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus.
Beliau banyak mengadakan kelas pengajian berkitab dan bersanad serta berkhutbah Jumaat di Masjid Taman TAR, Ampang. Saya menjemput teman2 untuk bersama memanfaatkan majlis-majlis ilmu yang istimewa ini. Saya sendiri turut terlibat dalam Yayasan Sofa dan boleh lah bertemu dengan teman2 dalam majlis-majlisnya, inshaAllah.
Selamat membaca, wassalamualaikum.
********
Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?
Kita sekarang berada di tengah-tengah kehangatan dan keharuman hari-hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bagi tahun Hijrah 1431. Alhamdulillah, sebenarnya, sekelumit manapun ingatan dan perasaan kasih terhadap Nabi SAW yang dicampakkan oleh Allah SWT dalam hati kita, ia adalah kurniaan istimewa dan amat bermakna dariNya kepada kita. Jika di hari-hari dalam bulan Rabi` al-Awwal ini ingatan dan kerinduan kita terhadap Nabi SAW lebih terasa oleh sebab pelbagai acara dan majlis yang giat diatur dan dianjur maka itu sebenarnya suatu kelebihan dan nikmat yang sudah kena pada tempatnya. Tetapi sudah menjadi lumrah alam, setiap yang baik dan bermanfaat itu tetap akan ada lawan dan tentangannya sama ada secara zahir dan terbuka atau secara tersembunyi seperti bisikan nafsu dan iblis dalam diri kita, yang saban masa cuba menghalang kita daripada mendekati amal soleh dan kebajikan.

Begitulah juga hakikatnya dengan amalan dan kebiasaan yang tersebar luas dikalangan umat Islam serata alam meraikan Mawlid Nabi kita Muhammad SAW. Kemeriahan dan keriangan yang rata-rata dirasai majoriti Umat sedikit-sebanyak terganggu dengan suara-suara yang mempertikaikan dan mempermasalahkan sambutan Mawlid Nabi SAW ini. Menginsafi situasi ini, Relung Cahaya kali ini mengajak kita menjawab semula suatu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera. Kenapa dan mengapakah kita menyambut Mawlid Nabi SAW?
Sebenarnya sambutan Mawlid Nabi SAW seperti yang difahami dan dihayati oleh para kekasih Allah dan RasulNya yang sejati tidaklah terhad kepada hari dan bulan Rabi` al-Awwal sahaja. Sebab itulah para Ulama pewaris Nabi SAW dipelbagai pelusuk dunia Islam sehingga ke hari ini sentiasa menjadikan sambutan Mawlid Nabi SAW sebagai majlis untuk meraikan pelbagai munasabah yang penting seperti kesyukuran, kunjungan tetamu, memohon hajat ataupun sebagai pengisian tetap amalan harian, mingguan dan bulanan. Ini adalah tanda makrifah mereka yang tinggi terhadap kandungan dan hakikat sambutan Mawlid Nabi SAW yang sebenarnya menjadi penyubur dan pengobar ikatan kasih kita dengan Nabi SAW yang merupakan pintu utama kita untuk sampai kepada Allah SWT.
Sesungguhnya terasa lemah dan kerdil jika hendak diungkapkan dengan perkataan hakikat sebenar tautan kasih dan hak Nabi SAW yang terpikul dipundak kita dan jika diberikan kekuatan untuk melakukannya sekalipun maka halaman dan ruang sebesar manakah yang cukup besar untuk menyenaraikan disebutkan satu persatu segala makna dan faham yang berkaitan dengan persoalan yang begitu agung ini? Dalam kemampuan dan ruang yang terbatas marilah kita menghimbau secara ringkas asas-asas kenapa kita perlu menyambut Mawlid Nabi SAW, di sepanjang masa dan ketika, termasuklah di hari dan bulan yang memang terpilih untuk untuk peristiwa agung tersebut.

Kita menyambut Mawlid kerana kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Sambutan itu adalah gerak naluri yang melimpah daripada perasaan kasih terhadap Baginda SAW yang ada dalam diri. Ia adalah tanda dan bukti lahiriyah dan amali kasih kita terhadap Baginda SAW. Perasaan kasih yang memang diajar sendiri oleh Baginda SAW sebagai suatu perintah Allah SWT ke atas hamba-hambaNya. Perasaan kasih yang merupakan sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT sendiri. Kalaupun ada perbezaan dalam beberapa hal-hal rinci berkenaan Mawlid, kita semua sepakat bahawa kita wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk yang lain termasuk diri kita sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda Nabi SAW.
Kita menyambut Mawlid sebagai ibadah dan untuk beribadah. Mengingat, mengenang, menyebut nama Nabi SAW danberselawat ke atas Baginda SAW adalah Ibadah. Berselawat dan memuji Nabi SAW perbuatan Allah SWT dan suatu amalan yang diperintahkan dengan jelas olehNya seperti dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian bersalawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (al-Ahzaab :56)

Bukankan ini merupakan pengisian-pengisian utama majlis-majlis Mawlid Nabi SAW? Mawlid turut diisi dan disekalikan dengan Solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, I’tikaf di masjid-masjid, tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, sedeqah, menjamu makan sesama Islam, berukhuwwah dan bermahabbah sesama Islam, bergotong-royong dan seumpamanya yang semuanya adalah ibadah. Bagi kebanyakan daripada kita, jika tidak menghadiri majlis-majlis Mawlid ini, mungkin masa tersebut tak akan mampu kita isi dengan ibadah yang lebih baik daripadanya atau mungkin sahaja digunakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW kerana dengannya kita mengagungkan dan membesarkan syiar agama Allah SWT. Mengagungkan dan membesarkan syia`r-syi`ar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT, “Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah.” (al-Haaj:32) Dalam begitu banyak syi`ar-syi`ar Islam, bukan Nabi SAW itu sendiri merupakan syi`ar terbesar dan teragung. Bukankah Nabi-lah,SAW, dengan ketentuan Allah SWT, yang telah mengajar dan memperkenalkan kepada kita segala syia`ar-syi`ar yang lain dalam Islam?

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW untuk memantapkan lagi pijakan hati dan aqal kita dalam kehidupan beragama kerana bukankah dalam majlis-majlis Mawlid Nabi SAW kita meriwayatkan kembali sirah dan keistimewaan Baginda SAW. Bukankah cara ini telah tercatat dalam al-Quran sebagai kaedah berkesan untuk memantapkan pegangan dan perjalanan kita, “Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya.” (Hud:120)
Di dalam majlis-majlis Mawlid, terutama yang dibimbing oleh para Ulama, appresiasi terhadap sirah Nabi SAW dilaksanakan dengan cara yang tersendiri yang mampu menggerakkan hati dan aqal sekaligus serta menimbulkan sentuhan yang seni. Ianya pasti tidak sama dengan kajian yang sifatnya formal dan akademik semata-mata.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW sebagai suatu kaedah berdakwah dan menyampaikan risalah Islam ditengah-tengah masyarakat. Majlis-majlis Mawlid terbukti berkesan sebagai medan untuk menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berhimpun sejenak memperbaharui Iman mereka. Dalam majlis-majlis ini masyarakat diajak untuk mendekati dan beradab dengan Nabi SAW. Mereka dijamu dengan pelbagai pelbagai santapan ruhani dan aqli yang sangat mereka perlukan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka di ajak memperbetulkan kembali senarai keutamaan dalam hidup mereka dengan tentunya kembali meletakkan Allah dan RasulNya di atas segala yang lain. Hinggakan segala jamuan dan santapan jasmani yang turut menjadi ciri majlis-majlis Mawlid tidaklah sunyi daripada menjadi hidangan yang penuh berkat, inshaAllah. Adakah hidangan dalam majlis seumpama ini sama sahaja keberkatannya berbandingan dengan hidangan-hidangan lain? Sudah tentu tidak. Bahkan ia merupakan keberkatan bagi yang dijamu dan kebajikan besar bagi yang menjamu.
Jika ditilik dari sudut segala persiapan yang dibuat untuk menganjurkan majlis-majlis Mawlid, kita akan mendapati bahawa ia membuka begitu banyak pintu kebajikan yang boleh dikongsi oleh semua. Yang alim dan yang jahil, yang kaya dan yang miskin, yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, semuanya ada peranannya dan sumbangannya dalam majlis-majlis sambutan Mawlid.
Kita menyambut Mawlid Nabi kerana sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihinya dan seluruh kehidupannya. Menjadi kebiasaan manusia menganggap istimewa dan meraikan sedikit atau banyak hari kelahirannya sendiri atau mereka yang dikasihinya. Selain daripada isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman terdekat, manusia juga sering meraikan hari-hari kelahiran, kematian atau hari-hari pertiswa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang mereka sanjungi. Maka tepatlah jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Nabi kita Muhammad SAW, kita raikan dengan sewajarnya. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa kelahiran Nabi kita bukanlah sama tarafnya dengan kelahiran insan biasa. Sebagai Nabi, walaupun belum diutuskan secara rasmi, kelahiran dan kehidupan Baginda SAW sebelumnya sudahpun dipenuhi pelbagai keistimewaan yang diberikan istilah khusus iaitu Irhas. Nabi kita sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk Baginda SAW berpuasa sunat dihari-hari Isnin. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Kita telah menghimbau beberapa sebab utama yang mulia disebalik sambutan kita terhadap Mawlid. Jika begitu jelas, banyak dan pelbagai asas-asasnya untuk kita menyambut Mawlid kenapa masih ada yang mempertikaikan? Dari pengamatan kita suara-suara yang bernada sumbang dan tidak selari dengan suara majoriti umat dalam menyambut Mawlid ini dapat dikenal-pasti sebab dan puncanya. Pepatah hikmah menyatakan, “Iza `Urifa al-Sabab, Batolal `Ajab!” (Apabila sudah diketahui sebabnya, tidak ada yang perlu dihairankan lagi!) Jika di amat-amati, suara-suara utama yang suka dan berani mempertikaikan, memperlekehkah dan mempersoalkan sambutan Mawlid dari neraca agama datangnya daripada aliran dan madrasah pemikiran tertentu dalam Islam. Yang perlu diingat, pada hakikatnya aliran ini bukanlah aliran arus perdana dan bukannya aliran majoriti Ummah dari dahulu hinggalah sekarang. Hujah mereka dalam isu-isu sebegini telahpun dijawab para ulama muktabar dulu dan kini. Bahkan dalam isu sambutan Mawlid ini, pandangan para pemuka, pendokong dan mereka yang cenderung kepada aliran ini sendiri adalah tidak sepakat. Sebahagian daripada mereka tidak menolak dan bahkan turut mengakui kelebihan amalan ini.

Maka jika sebab dan asas untuk menyambut Mawlid Nabi SAW sudah begitu jelas. Tiada pula di sana sebab dan asas untuk mempertikaikan atau menolaknya. Marilah kita bersama-sama, sebagaimana yang selayaknya bagi Umat yang baik bagi Nabinya yang mulia, umat pilihan Nabi pilihan, umat yang tahu diri dan tahu mengenang budi, meraikan dan menyambut Mawlid Nabi kita Muhammad SAW dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat, berpandukan suluhan Nabi SAW serta para ulama pewaris Baginda SAW. Semoga kita semua dilayakkan mendapat tempat di hati Nabi SAW dan dihimpunkan bersama Baginda SAW.

Thursday, January 14, 2010

Jadi Tetamu Al-Jazeera - Isu Kalimah Allah

Assalamualaikum,
Teman2 Facebook dan pengunjung blog yang dimuliakan,
Sekadar ingin berkongsi makluman bahawa pagi tadi saya telah dijemput oleh AlJazeera (Channel 503) sebagai salah seorang tetamu dalam rakaman program 101 East berkenaan Isu Kalimah Allah. Dua tetamu lain adalah DP Marina Mahathir dan YB Khalid Samad daripada PAS.
Programnya hanya 30 minit dan ruang untuk kami hanya kurang daripada 20 minit setelah ditolak segmen2 lain. Bayangkanlah nak bincang topik sebegitu dalam ruang yang sebegitu kecil tapi itulah tabiat TV dan banyak media massa yang lain... (lesson : not the best place to search for the truth!)
Komen ringkas saya di sini :
DP Marina selalu kata as 'Confident Muslims' kita tak perlu takut yang akan terpengaruh dengan mudah dengan penggunaan kalimah Allah ini.
Saya kata :
1. The use of this term is not a first time and not the last effort of its kind. It is part of a bigger agenda of undermining and eroding the position of Islam in Malaysia. It is the most recent episode in an ongoing series of attempts to use the courts to challenge Islam in Malaysia.
2. Kalau nak harap dengan confident sahaja, semua fahaman dan bacaan yang tak betul yang ada kat luar sana pun confident. Being confident does not mean that you are actually right on a particular matter. And on matters of faith, a person can still be confidently living his or her life without realising that his/her faith is being eroded or misguided. When dealing with something non-physical as faith you do not necessarily feel that something is wrong with you. It's certainly not like a throbbing headache. But those who have the know - intellectually and spiritually - will be able to clearly recoqnise a sickness of faith and religious understanding when they see it.
When I said on the show that one can be confident but still be wrong, Marina interjected saying, "like you!" Well, my confidence on this issue is based on my reliance on so many reliable scholars including the Fatwa of the National Fatwa council of Mei 2008. When it comes to faith and religion I would rather put my bet on the majority of the qualified and reliable scholars of the Ummah than fringe voices.
As for YB Khalid Samad, I am just very sad that PAS, especially in this issue, due to the role of the likes of him is currently dancing to the tune of the extreme liberals and those whose 'religion' is Human Rights. I hope and pray that PAS recovers from this and finds back its footing.
These are the details of the program :
The show is for 101 East and will be first broadcast at 8.30pm tomorrow and repeated 11 times over 7 days. It will be shown on Astro's channel 513.
The show will be up on Youtube fromFriday. Linknya : http://www.youtube.com/watch?v=zDac5GXjLMo
The broadcast times are:
Jan 14 -Thursday - 8.30pm
Jan 15 - Friday - 11am
Jan 16 - Saturday - 1.30pm
Jan 17 Sunday - 1.30am, 11.30am, 7.30pm
jan 18 Monday - none
Jan 19 Tuesday - 12.30am, 10.30pm
Jan 20 Wednesday- 4.30pm
Jan 21 Thursday - 2.30pm
May Allah SWT accept our humble efforts to uphold His message and forgive us our shortcomings.
Wassalamualaikum
p.s. Di UIA bahasa di atas di gelar "Campurisation" !! Mohon maaf bagi yang tak selesa...

Wednesday, December 30, 2009

Makalah Menarik Tentang Bermuamalah Dengan Hadith

Assalamualaikum,
Ada teman facebook yang forward makalah ini yang saya rasa bagus dikongsi bersama di zaman2 sekarang. WaLlahu a'lam wa huwa waliyyu al-Tawfiq. Wassalamualaikum
dan makalahnya :
Cairo, May 16, 2009
Beberapa hari saya tidak menulis, mungkin agak sibuk dengan persediaan peperiksaan yang semakin hampir. Teringin juga jari-jari ini memetik butang key board menulis semula . Tambahan pula semenjak akhir-akhir ini, golongan “mujtahid jadi-jadian” semakin ramai menceburi bidang penulisan ini. Semakin mereka menulis, semakin saya risau melihat masyarakat yang tertipu dengan gaya bahasa yang mereka gunakan seolah-olah menampakkan bahawa mereka benar-benar orang yang berkelayakkan di dalam memperkatakan tentang permasalahan hukum-hakam. Pelbagai pendapat digunakan oleh mereka demi mempertahankan pendapat-pendapat yang boleh kita klasifikasikan sebagai “menegakkan benang yang basah”.
Kalam para ulama Mujtahid yang sering kita dengar seperti :

إذا صح الحديث فهو مذهبي
لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي
لا تقلدني و لا تقلد مالكا و لا الأوزاعي و لا غيرهم و خذ الأحكام من حيث أخذوا
Pendapat-pendapat para Imam Mujtahid ini sering disalah gunakan oleh golongan yang gemar mendakwa-dakwi sebegini.Kalam pertama yang bermaksud (( Jika sahih sesebuah hadis maka itulah mazhabku)) digunakan oleh golongan ini dengan mengatakan bahawa, jika kita berjumpa sebuah hadis yang sahih dan mendapati hadis tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mujtahid ( Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhum), maka dahulukan hadis yang sahih kerana ini juga merupakan pendapat sebahagian para Imam tersebut.
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan di dalam muqaddimah Majmu’ Syarah Muhazzab:“ Memang benar al-Imam Syafie menyebutkan :

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه و سلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه و سلم و دعوا قولي
Maksudnya: Jika kamu semua (para ulama) mendapati di dalam kitab yang aku tulis menyalahi Sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam maka keluarkan pendapat kamu semua dengan Sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam dan tinggalkan pendapatku.”
Al-Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan lagi bahawa: Kata-kata Imam Syafie tersebut bukanlah bermaksud sesiapa sahaja yang menjumpai hadis sahih maka terus mengatakan bahawa ianya merupakan mazhab Imam Syafie itu sendiri.Malah beramal dengan zahir kalam itu semata-mata. Bahkan sebenarnya kalam al-Imam Syafie tersebut ditujukan kepada para ulama yang telah sampai kepada peringkat ijtihad di dalam mazhab seperti yang telah kita sebutkan sebelum ini (rujuk Muqaddimah Majmu’ ). Syarat untuk para yang beramal dengan kalam Imam ini ialah mesti tidak meletakkan sangkaan bahawa al-Imam Syafie radhiyallahuanhu tidak berjumpa dengan hadis ini atau tidak mengetahui bahawa hadis ini tidak Sahih. Syarat ini tidak akan dapat disempurnakan melainkan setelah mengkaji dan mentelaah keseluruhan kitab-kitab karangan al-Imam Syafie , kitab-kitab para ulama Syafieyah yang lain dan yang seumpama dengannya. Inilah merupakan syarat yang agak sukar untuk dipenuhi. Hanya sedikit yang dapat menyempurnakan syarat ini.
Maksud kalam al-Imam Nawawi sangat jelas. Agak menghairankan kita, golongan yang mendakwa kalam al-Imam Syafie kadang-kadang bertentangan dengan hadis ini merupakan dakwaan yang ternyata menyimpang. Bahkan kitab-kitab al-Imam Syafie mereka tidak memahaminya dengan baik (maksudnya memerlukan penguasaan bahasa Arab yang tinggi kerana al-Imam Syafie radhiyallahu anhu merupakan seorang ahli Bahasa Arab yang hebat), apatah lagi membacanya. Ini sepatutnya yang disedari oleh mereka. Tetapi ego dan bodoh sombong yang menyebabkan mereka tidak mahu memahami pendapat ulama sebegini.
Oleh kerana itulah kita katakan, perlu membaca kitab para ulama dengan para alim-ulama yang benar ilmunya, bukan dengan pembacaan secara persendirian tanpa guru yang membimbing. Akan sesat jadinya. Ini asas pertama yang perlu diperbetulkan oleh mereka. Akhir-akhir ini kita melihat mereka juga belajar dengan guru, tetapi guru yang mengajar pula hakikatnya belajar dengan guru yang tidak belajar dengan ulama yang benar ilmunya,bersih pengambilannya serta jauh daripada pendapat-pendapat yang menyalahi jumhur para ulama.
Kata Imam Nawawi lagi menukilkan kata-kata Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahumallah:“Kalam al-Imam Syafie tersebut bukanlah boleh diamalkan dengan zahir luarannya semata-mata,Bukanlah semua ulama yang Faqih (hebat dalam ilmu fiqhnya) beramal secara terus daripada hadis yang dirasakan hujah baginya.”Kata Imam Abu Amru Ibn Salah lagi: “ Jika seorang ulama bermazhab Syafie tersebut menjumpai sebuah hadis yang menurutnya bertentangan dengan mazhab yang dipegangnya, Maka perlu dilihat semula kepada keahlian orang tersebut. Jika ulama tersebut telah mencapai peringkat Ijtihad (seperti yang kita sebutkan di dalam keluaran yang lepas) maka tiadalah masalah baginya untuk beramal dengan hadis tersebut. Tetapi jika dia masih tidak mencapai tahap Ijtihad dan menyukarkan baginya menemukan sebab-sebab pertentangan hadis tersebut dengan kalam Imam Mazhab @ Mazhab itu sendiri maka bolehlah baginya beramal dengan hadis tersebut jika terdapat seorang lagi Imam Mujtahid Mutlak selain Imam Syafie(seperti Imam Abu Hanifah , Malik, Ahmad dan lain-lain).”
Kata al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah(bukan Syeikh Nasiruddin al-Albani) di dalam risalah kecilnya berkenaan kalam tersebut:Maksud kalam tersebut ialah: Kata para imam , kalam tersebut ditujukan kepada para ulama yang benar-benar berkelayakkan di dalam mengeluarkan hukum.Mereka(yang dibenarkan) adalah merupakan para ulama yang hebat di dalam ilmu hadis. Ini bermakna, jika sahih sesebuah hadis sahih tersebut yang bertepatan dengan syarat-syarat pengambilan sesebuah hadis dan kaedahnya berdasarkan mazhab yang mereka gunakan , maka gunakan hadis tersebut. Bukannya kalam tersebut menyuruh setiap kali membaca hadis yang sahih maka tinggalkan beramal dengan pendapat imam mazhab.Sebaliknya golongan yang sering mendakwa-dakwi ini, menggunakan pendapat ini dengan luarannya sahaja, bukan maksud sebenar kalam tersebut.
Al-Imam Malik Radhiyallahuanhu menyebutkan kepada para muridnya(yang merupakan para mujtahid) ketika beliau mengeluarkan pendapat di dalam sesebuah hukum, “ Kamu perlu mengkajinya semula, ini kerana ianya merupakan pegangan agama kita.Tiada seorang pun boleh diterima pendapatnya bulat-bulat tanpa perlu dikritik, melainkan pendapat yang dikeluarkan oleh pemilik Maqam yang mulia ini( mengisyaratkan kepada Saidina Muhammad sallallahu alaihi wasallam).”
Saya ingin bertanya, adakah Imam Malik radhiyallahu anhu bercakap seorang diri ketika tersebut? Atau adakah beliau mengucapkan pendapat tersebut dihadapan orang awam yang tidak mengerti hukum-hakam? Jawapannya tentu tidak sama sekali. Golongan yang dibicarakan oleh al-Imam ialah merupakan kelompok mujtahid. Seolah-olah al-Imam ingin memberitahu kepada murid-muridnya bahawa mereka juga telah sampai kepada peringkat Ijtihad yang tinggi. Syarat-syarat untuk menjadi seorang mujtahid telah saya terangkan di dalam keluaran yang lalu. Jika syarat sebegini masih tidak jelas, maka bagaimana seseorang tersebut boleh mengaku bahawa dia juga boleh mengeluarkan hukum terus daripada al-Quran dan Sunnah?
Pendapat kedua yang sering digunakan oleh mereka ialah pendapat yang dikeluarkan oleh al-Imam Abu Hanifah radhiyallahuanhu iaitu :

لا ينبغي لمن لم يعرف دليلي أن يُفتي بكلامي
Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi seseorang yang tidak mengetahui dalil yang aku keluarkan untuk berfatwa dengan pendapatku.Pendapat ini jelas menunjukkan bahawa ianya disebutkan kepada golongan ulama yang benar-benar alim di dalam bidang tersebut. Ini kerana perkataan “ berfatwa” tersebut tidak lain dan tidak bukan semata-mata ditujukan kepada para ulama ahli fatwa,bukannya mujtahid jadi-jadian . Ini perlu difahami dengan baik dan jelas. Perlu juga bagi seseorang tersebut melihat semula kepada syarat-syarat untuk berfatwa yang disusun oleh para ulama . Antara ulama yang menyusun tentang adab-adab fatwa ini ialah al-Imam Abu Qasim al-Soimuri rahimahullah(guru kepada al-Imam Mawardi rahimahullah), al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah, dan al-Imam Abu Amru Ibn Salah rahimahullah. Ketiga-tiga kitab ini telah diringkaskan perbahasannya oleh al-Imam Nawawi rahimahullah dan beliau meletakkan perbahasan tersebut di dalam kitabnya Majmu’ Syarah Muhazzab.
Jika kamu membaca semula syarat-syarat berfatwa dan Mufti, tentulah kamu akan menyedari betapa jauhnya jurang sebenar antara kamu (yang suka mendakwa-dakwi sebegini) dengan para ulama yang benar-benar sampai kepada peringkat mengeluarkan fatwa.Malah al-Imam Nawawi sendiri menyebutkan bahawa bidang fatwa adalah merupakan bidang yang sangat merbahaya diceburi tetapi sangat tinggi kelebihannya(bagi yang layak sahaja).Al-Imam Malik radhiyallahu anhu menyebutkan:
ما أفتيت حتى شهد لي سبعون أني أهل لذلك
Maksudnya: Aku tidak akan berfatwa melainkan selepas disaksikan oleh tujuh puluh orang ulama bahawa aku benar-benar layak di dalam bidang fatwa ini.Kalam-kalam sebegini tidak pula dilihat oleh golongan sebegini. Mereka hanya mengambil pendapat-pendapat yang luarannya merupakan suatu kelebihan kepada diri mereka untuk meninggalkan berpegang dengan mazhab itu sendiri. Sedangkan langsung tidak memahami maksud kalam itu sendiri.
Jika kita memahami maksud kalam-kalam yang disebutkan dengan baik maka pendapat Imam Ahmad bin Hambal radhiyallahu anhu juga akan mudah bagi kita memahaminya. Maksudnya Imam Ahmad menyebutkan pendapat tersebut bukanlah untuk orang awam melainkan untuk para ulama yang telah mencapai peringkat Ijtihad.
Al-Allamah Syeikh Muhammad Awwamah hafizahullah menukilkan kalam al-Imam Kairanawi radhiyallahu anhu:“Maksud sebenar kalam al-Imam Syafie (Jika sahih sesebuah hadis maka itulah Mazhabku) dan kalam ulama yang lain yang menyebutkan sedemikian ialah tidak lain selain ingin menunjukkan kepada kita hakikat bahawa kalam yang menjadi hujjah adalah kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam bukannya kalam kami(para Imam Mujtahid).Seolah-olah Imam Syafie ingin mengatakan: Jangan kamu menyangka kalam aku adalah hujjah berbanding kalam Baginda Sallallahu alaihi wasallam dan aku juga berserah kepada Allah jika pendapat yang aku sebutkan bertentangan dengan Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam.”
Hakikatnya, kalam al-Imam Syafie radhiyallahu anhu adalah merupakan sifat tawaddhuk yang ada pada beliau. Mustahil seseorang Imam tersebut akan mengeluarkan sesuatu hukum dengan hawa nafsunya melainkan setelah dikaji secara terperinci dengan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya dan iman yang mendalam.
Oleh sebab itulah al-Imam Ibn Uyainah Radhiyallahuanhu menyebutkan:

الحديث مضلة إلا للفقهاء
Maksudnya: Hadis adalah sesuatu yang mampu menyesatkan seseorang (yang tidak memahaminya) melainkan kepada para fuqaha(ulama).
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami radhiyallahu anhu menerangkan maksud sebenar kalam al-Imam Ibn Uyainah radhiyallahu anhu di dalam kitabnya Fatawa Hadisiah mukasurat 521:“Maksud kalam tersebut ialah Hadis adalah seumpama al-Quran yang mana ianya terkadang merupakan lafaz umum tetapi maknanya khusus, ianyanya juga terdapat Nasakh dan Mansukh, terdapat juga hadis yang tidak diamalkan, dan sebahagiannya jika dipegang dengan zahir maka akan menjadi masalah seperti hadis ينزل ربنا (Allah turun ke Langit pertama disepertiga malam). Jadi maksud sebenar sesebuah hadis tidak akan difahami melainkan diterangkan oleh para ulama.Ini berbeza dengan orang yang tidak mengetahui maksud sebenar hadis tersebut melainkan zahirnya semata-mata, maka akan tersesat jadinya seperti yang berlaku kepada sebahagian ulama terdahulu dan terkemudian seperti Ibn Taimiyah dan pengikutnya”
Bagi menentukan sesebuah hadis sahih tersebut bertentangan dengan pendapat Imam Mazhab maka perlu bagi mereka-mereka yang berkata sedemikian mempunyai dua perkara:
1. Kuat sangkaannya bahawa Sang Imam tidak menemukan hadis yang dia temui.
2. Orang yang mengatakan sedemikian mestilah seorang yang benar-benar pakar di dalam ilmu rijal Hadis, Matan Hadis, cara-cara berhujah dengan hadis, dan cara mengeluarkan hukum daripada hadis tersebut berdasarkan kaedah yang diletakkan oleh mazhab.
Terdapat 4 marhalah (peringkat ) bagi menentukan adakah benar seseorang tersebut benar-benar pakar di dalam Ilmu hadis.(Marhalah ini saya petik secara ringkas daripada risalah al-Syeikh Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani hafizahullah ):
Peringkat pertama
Di dalam peringkat ini seseorang tersebut perlulah mengetahui kedudukan perawi hadis tersebut samaada ianya Thiqah, Saduq dan sebagainya. Serta perlu juga memerhatikan hafalan dan kekuatan ingatan perawi tersebut.Perlu mengetahui tentang martabat thiqah, tempat mana yang perlu didahulukan jarah dan ta’dil(nama ilmu di dalam Mustalah Hadis bagi menentukan darjat seorang perawi).Mengetahui tentang bilakah tarikh perawi tersebut meninggal duni dan dari manakah asalnya dan sebagainya. Pendek kata kesemua ilmu yang diterangkan di dalam kitab Mustalah Hadis perlu diketahui secara lumat dan mendalam oleh seseorang tersebut.
Peringkat kedua
Peringkat ini lebih sukar daripada sebelumnya.Setelah seseorang tersebut mengetahui secara mendalam tentang mustalah hadis tersebut maka perlu pula baginya untuk mengkaji secara teliti dan mendalam hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Sihah, Sunan, Musnad, Jawami’, Mu’jam, al-Ajza’dan lain-lain kitab hadis bagi mencari sesebuah hadis tersebut adakah benar-benar bertentangan dengan pendapat sang Imam. Perlu juga baginya untuk mengetahui adakah hadis tersebut Mutawatir, Masyhur dan sebagainya. Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut Syaz atau mungkar . Perlu juga baginya mengetahui adakah hadis tersebut marfu’, mauquf atau maqtu’.Oleh sebab itulah al-Imam Abu Hatim al-Razi rahimahullah menyebutkan: “ Tidaklah seseorang tersebut dikatakan benar-benar pakar di dalam bidang hadis melainkan setelah kami (para ulama hadis )menulis hadis tersebut dengan 60 keadaan dan dia mampu menerangkan satu persatu hadis-hadis tersebut tentang hukumnya sama ada Syaz, Mungkar, Ma’ruf, Mutawatir, Marfu’, Mauquf, Fard dan Masyhur.”
Peringkat ketiga
Peringkat ini lebih sukar daripada kedua-dua peringkat di atas. Setelah benar-benar melalui kedua-dua peringkat tersebut, maka seseorang tersebut perlulah melihat sama ada hadis yang dikajinya terdapat illah(kecacatan) atau tidak. Illah yang tersembunyi menurut para ulama hadis adalah yang paling sukar ditemukan melainkan oleh ulama-ulama yang benar-benar pakar di dalam ilmu hadis. Ini diketahui dengan jelas oleh sesiapa yang mempelajari ilmu hadis dengan baik.
Peringkat keempat
Peringkat ini adalah yang paling sukar ditemukan melainkan para Mujtahid yang sampai ke peringkat mutlak. Ramai ulama hadis yang sukar mencapai peringkat ini walaupun mereka sudah mencapai ketiga-tiga peringkat sebelum ini. Walaupun mereka menghafal hadis tersebut dan mengetahui segalanya tentang ilmu hadis , tetapi di dalam permasalahan hukum hakam tetap mereka serahkan kepada para fuqaha.
Kerana itulah al-Imam al-A’mash radhiyallahu anhu menyebutkan kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu:

يا معشر الفقهاء, أنتم الأطباء ونحن الصيادلة و أنت أيها الرجل أخذت بكلا الطرفين
Maksudnya: Wahai para fuqaha, kamu adalah doktor yang mengetahui tentang ubat sesuatu penyakit, manakala kami para muhaddith (ulama hadis) merupakan pemilik ubat tersebut.Manakala kamu wahai lelaki( Imam Abu Hanifah ) , kedua-duanya kamu miliki (sebagai seorang doktor dan sebagai seorang pemilik farmasi).Maksud kalam al-Imam al-A’mash tersebut ialah para fuqaha mengetahui di manakah sumber pengambilan hukum bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan, manakala para muhaddis akan membekalkan hadis-hadis sebagai sumber pengambilan hukum tersebut. Manakala al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu mempunyai kepakaran di dalam kedua-dua bidang tersebut(iaitu hadis dan fiqh).
Kesimpulan
Setelah kita perhatikan dan baca dengan teliti perbahasan yang saya tulis ini,jelas lagi bersuluh bahawa menghukumkan sesuatu dengan zahir hadis yang kamu(golongan wahabi) rasakan bahawa ianya bertentangan dengan kalam Imam merupakan suatu tohmahan yang tidak berasas dan tidak mengikut jalur pengajian dan pengkajian yang baik. Perbahasan yang saya buat ini mungkin agak berat bagi sesiapa yang tidak mengetahui istilah-istilah yang digunakan. Jika ada masa, saya akan menerangkannya selepas ini. Tetapi jika “ para mujtahid jadi-jadian” tidak memahaminya maka jelaslah, kamu semua tidak mencapai lagi serendah-rendah martabat tersebut. Maka perlu beristghfar dan memohon keampunan di atas keterlanjuran dan keegoan yang terdapat di dalam diri kamu. Kamu sering mengatakan bahawa kami tidak menggunakan pendapat para ulama mu’tabar. Sila datangkan bukti dan sila sebutkan siapakah ulama-ulama mu’tabar yang meyokong pendapat kamu. Saya menantikan hujah kalian semua.Sebagai peringatan, jika tidak memahami dengan baik, jangan memandai-mandai ingin mencelah dan menolaknya. Jika ingin menolak hujah yang saya kemukakan datangkan dalil berserta hujah yang ingin kamu kemukakan seperti yang selalu kamu lakukan. Wallallahu a’lam.
Rujukan:
1. Majmu’ Syarah Muhazzab oleh al-Imam Nawawi rahimahullah tahqiq Syeikh al-Allamah Najib Muti’ie .Cetakan Darul A’lam Kutub
2. Risalah إذا صح الحديث فهو مذهبي oleh Syeikh al-Allamah Wahbi Sulaiman Ghawuji al-Albani al-Hanafi hafizahullah.Cetakan Darul Iqra’.Cetakan Pertama 2005.
3. Fatawa Hadisiah oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami rahimahullah .Cetakan Darul Taqwa.
MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH,KAHERAH,MESIR
(nota tambahan : Saya rasa mungkin penulis makalah ini turut ada merujuk kepada kitab karangan al-Allamah Syeikh Muhammad `Awwamah , Athar al-Hadith al-Sharif fi Ikhtilaf A`immah al-Fuqaha RadhiyaLlahu `Anhum (Dar al-Yusra, Madinah Munawwarah, tt). Antara buku yang terpenting untuk dibaca dalam isu yang berkaitan)

Tuesday, December 29, 2009

Buku Baru Yang Menarik - The 500 Most Influential Muslims 2009

Assalamualaikum,Justify Full
Saya nak berkongsi link kepada buku ini yang ada saya sebut dalam posting sebelum ini. Yang penting dikongsi adalah bab permulaan yang membentangkan tentang aliran2 yang ada di dunia Islam. Bacaan kedua professor yang menjadi pengarang/editor buku ini dalam bab ini menunjukkan bahawa majoriti atau arus perdana umat Islam masa kini adalah Asya`irah-Maturidiyyah mazhabnya, bermazhab dan bertasawwuf. Mereka ini adalah pengkaji akademik dan setahu saya tidakpun cenderung atau bias kepada aliran ini jadi ini pandangan buku ini unik dari sudut nuetraliti pengarangnya. Juga menarik adalah pengkelasan (School of Thought) yang dibuat terhadap beberapa tokoh yang dipilih sebagai menempati 50 tempat teratas. Agak baik dan membantu kita mengenali dan memahami tokoh2 ini. Contohnya:
Abdullah, Saudi Arabia : Moderate Salafi
Raja Mohammad VI, Morocco : Traditional Sunni, Maliki
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi : Traditional Muslim/Salafi
Syeikh Ali Goma'a (Jum`ah) - Mufti Mesir : Traditional Sunni, Shafii
Syeikh Abdul Aziz Aal Syeikh - Mufti Saudi Arabia : Salafi
Adapun pemilihan dan kedudukan nama-nama 500 tokoh tersebut memang tak ada sesiapa yang akan bersetuju 100% dengan pemilihan dalam buku ini kecuali mungkin para editornya sendiri.
Harap ada manfaatnya.