Friday, April 23, 2010

Bukan Kerana Penjajah!

Assalamualaikum,

Antara kesimpulan utama artikel yang menjadi punca laporan polis dibuat terhadap Dr.Asri ialah gerakan 'pembaharuan' (tanda kutip ditambah) telah gagal di negeri-negeri Melayu (kecuali Perlis) kerana Raja-raja ketika itu dikuasai atau ingin menjaga hati penjajah, khususnya Inggeris. (Selain itu, dakwa Dr.Asri, satu lagi faktor kenapa Raja-raja Melayu yang lain tidak menerima aliran 'pembaharuan' ini adalah kerana telah diampu oleh para ulama yang anti-'pembaharuan'.)

Kenyataan-kenyataan ini bercanggah dengan fakta sejarah. Kalaupun di zaman penjajah dan pasca-penjajahan kuasa Raja-raja di sudut lain telah terhakis, tetapi kuasa mereka berkaitan agama dan adat istiadat Melayu tetap tidak terjejas. Lihatlah penegasan Raja Muda Perak, YM Dr. Raja Nazrin Shah seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini, petikannya :

"Baginda menjelaskan bahawa kuasa seorang Raja Pemerintah dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika negeri-negeri di Tanah Melayu berada di bawah pengaruh pentadbiran British dan semasa penjajahan Jepun."

Menganggap Raja-raja Melayu menolak gerakan 'pembaharuan' dan tokoh-tokohnya kerana pengaruh Penjajah ataupun ampu-ampuan ulama adalah suatu gambaran yang sangat buruk terhadap Raja-raja Melayu. Katakanlah dakwaan ini benar sekalipun, ia masih tidak sesuai untuk dijaja secara terbuka kerana akan menjejaskan kredibiliti salah satu institusi utama agama dan negara kita yang tetap ada peranannya yang mustahak dan tersendiri.

Kita katakan, fakta yang sebenarnya adalah Raja-raja Melayu ini telak menolak aliran 'pembaharuan' ini dengan penuh kesedaran dan kefahaman terhadap hakikat aliran ini. Jika ada peranan nasihat para ulama, nasihat ulama berdasarkan ilmu dan kebenaran buruk sekali jika dilabel sebagai ampu-ampuan.

Alhamdulillah, walaupun kita semua maklum bahawa Raja-raja kita bukanlah dari bangsa Malaikat yang langsung tidak melakukan silap dan salah, tetapi rata-ratanya, dalam peranan keagamaan mereka, Raja-raja kita sangat berhati-hati dan menghormati autoriti ahli-ahli agama dalam peranan ini.

Semoga Allah subhanahu wataala sentiasa mencurahkan Tawfiq, Inayah dan Ria`yah-Nya kepada semua Raja-raja kita dalam memelihara Agama, Bangsa dan Negara. Amin dengan berkat dan rahsia al-Fatihah, al-Fatihah.

(Harap doa ini tidak dikira mengampu..!:-))

WaLlahu a`lam, wassalamualaikum warahmatuLlah.

Sumber Bernama, berita penuh boleh dicapai di :

Tuesday, April 20, 2010

Tajdid : Memperbaharui atau Meruntuh?

Assalamualaikum,
Saya tahu Dr.Asri dah menjawab laporan polis yang kami buat di websitenya dengan antaranya memetik kenyataan di ruang status Facebook Ust.Maszlee yang Ust.Maszlee sendiri dah padamkan tak lama selepas beliau siarkan. InshaAllah saya akan komen sikit nanti. Saya sibuk sikit baru-baru ni. Sementara tu dilampirkan sambungan perbincangan tentang Tajdid yang tersiar dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia, Selasa lepas.
Wassalamualaikum.
Tajdid : Memperbaharui atau Meruntuh?

Di dalam ruang ini di minggu yang lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman kita tentang Tajdid atau pembaharuan dalam Islam agar kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami Tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat-akibat yang besar. Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama Aqidah-Syariah-Akhlak. Ini sudah tentunya akan mendedahkan kehidupan beragama seseorang itu kepada mara bahaya. Salah faham terhadap Tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW. Di peringkat masyarakat dan Umat pula, faham Tajdid yang tersalah pasang boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jatidiri Umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam dan musuh-musuhnya.

Asas Kerangka Faham Tajdid
Kita telah menegaskan beberapa asas kerangka faham Tajdid sebenar dalam Islam. Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman. Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi dibawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya. Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya.

Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat – ayat Al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai Khayra Ummah – umat terunggul. Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firmanNya, “ Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu ni`mat-kurniaan Ku, dan Aku redha Islam itu menjadi agama kamu.” (al-Maaidah:3). Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan. Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.
`Tajdid Sekularis dan Tajdid Modenis
Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para ‘Mujaddid sekularis dan liberalis’ yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ianya menjadi sempurna. Kelompok ‘Mujaddid sekularis dan liberalis’ ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama. Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan. Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syara’ mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jatidiri dalaman umat.
Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok ‘Mujaddid modenis Islamis’ yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri. Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan mereka yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti Umat. Berbeza dengan kelompok ‘mujaddid sekularis liberalis’ kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka ‘tajdid’ agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya. Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dari pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para Salafus Soleh. Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran Salaf atau Salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya : tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.
Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taymiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani. Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahanaliran inipun ada banyak percanggahan pandangan. Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran ‘Mujaddid Modenis Islamis’ ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan Aqidah-Syariah-Akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.
Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran ‘Tajdid’ yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam. ‘Tajdid’ sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan bahkan sesetengahnya sampai ketahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya. Maka rata-ratanya aliran’Tajdid’ ini kurang mendapat tempat dikalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awampun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.
Lain sedikit halnya dengan ‘Tajdid modenis Islamis’ yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan dimana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana. Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong `pembaharuan’ yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz-ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya. Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syi`ah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya.
Mereka yang mereka yang meneliti tentang hakikat ‘tajdid’ dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan ‘package’ yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam Aqidah, Syariah dan Akhlaknya. Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiyyah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.
Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran ‘Tajdid’ dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya. Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan ditengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh. Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia. Pepatah Arab mengatakan “Likulli Saaqitin Laqiit”, `tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya’. Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng. Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain. Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap Imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Sayyidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Subigh yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara ditengah masyarakat. Subigh telah ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara.

Sunday, April 18, 2010

Laporan Polis Terhadap Dr.Asri

Assalamualaikum,
Dilampirkan dibawah, nota media laporan polis yang telah dibuat oleh saya dan teman-teman daripada beberapa pertubuhan Islam pagi tadi lebih kurang jam 1130 di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. 'Katakanlah yang benar walaupun pahit!'
Wassalamualaikum
Nota Media (18 April 2010)

Laporan Polis Terhadap Tulisan Dr.Asri di Malaysiakini yang mengandungi Hasutan terhadap Agama dan Institusi Raja-raja Melayu.
Kami terpanggil untuk memohon agar suatu siasatan dibuat terhadap satu kesalahan yang kami percayai telah mencabuli undang-undang negara, mencabar institusi asas negara serta menghina Islam dan umatnya di negara kita.
Kami merujuk kepada tulisan Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin bertajuk “Cabaran Gerakan Pembaharuan” bertarikh 4 April 2010 yang lepas. Tulisan ini yang merupakan tulisan kedua dalam ruang kolum baru yang diberikan kepadanya oleh laman web berita Malaysiakini (edisi Bahasa Melayu).
Kami berpandangan bahawa secara keseluruhan dan di beberapa tempat dalam tulisan tersebut secara khusus, Dr.Asri telah melampaui batas dalam mengemukakan pandangan dan komentarnya hingga ke tahap melanggar beberapa undang-undang negara terutamanya Akta Hasutan 1948.
Akta Hasutan 1948 memperuntukkan definisi hasutan sebagai termasuk, “kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.” (Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948)
Dr.Asri dalam tulisannya jelas cuba menimbulkan krisis keyakinan terhadap institusi-institusi rasmi Islam yang utama di Malaysia iaitu institusi Raja-raja dan ulama. Dalam tulisan beliau ini Dr.Asri jelas cuba menggambarkan bahawa pihak Raja-raja Melayu atau pihak Istana telah menjadi penghalang kepada aliran pembaharuan agama kerana tunduk kepada penjajah serta kerana telah diampu oleh para ulama yang beliau istilahkan sebagai anti-pembaharuan. Berikut dinukilkan antara petikan daripada tulisan tersebut yang berkaitan :
i. “Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.”
ii. (Di bawah tajuk kecil “Enggan Mengampu”) “Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.”
iii. “Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatah lagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.
iv. “Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana.”
v. “Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.” (dengan tambahan garis bawah)
Membaca tulisan ini, pembaca akan mendapat gambaran bahawa pihak Raja-raja Melayu (kecuali di negeri yang disebut oleh beliau) sebagai mereka yang membelakangkan kepentingan Islam hanya kerana tunduk kepada penjajah dan ampuan ulama yang tidak sealiran dengan ‘gerakan pembaharuan’. Raja-raja Melayu juga digambarkan seolah-olah tidak mampu menilai yang baik dan buruk dalam urusan agama hanya kerana termakan ampu dan puji. Para ulama yang tidak sealiran pula digambarkan sebagai bersedia untuk membelakangkan Islam demi pengaruh dan kuasa. Istana digambarkan penuh dengan khurafat dan perkara yang bercanggah dengan Islam yang dibiarkan sahaja oleh mereka. (rujuk juga mesej yang berkaitan dalam tulisan beliau dalam kolum yang sama seminggu sebelumnya bertajuk “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”, Malaysiakini, edisi Bahasa Melayu, 28 Mac 2010). Turut jelas dalam tulisan beliau, Dr.Asri cuba memberi gambaran negatif dan menghakis keyakinan terhadap autoriti agama di hampir kesemua negeri-negeri di negara kita.
Kami percaya bahawa dengan kenyataan-kenyataan beliau ini, selain daripada mengancam keutuhan Islam dan umatnya di Malaysia, Dr.Asri sudah melanggar beberapa batas undang-undang negara. Kedaulatan undang-undang adalah salah satu rukun negara ini. Kami menuntut hak kami sebagai warganegara agar undang-undang negara ini memelihara kami, masyarakat dan negara daripada ancaman dan kerosakan yang boleh terhasil akibat tulisan sebegini. Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara juga merupakan paksi-paksi Rukunegara. Kami percaya tulisan sebegini sangat bercanggah dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta ketinggian institusi Raja-raja sebagai payung negara dan agama. Tulisan ini juga cuba memberikan imej yang buruk terhadap para tokoh ulama tanah air, dulu dan kini, terutamanya yang berperanan secara rasmi dalam pentadbiran agama Islam.
Oleh itu kami menuntut agar siasatan berlandaskan undang-undang negara dibuat terhadap tulisan ini dan penulisnya. Ini bukanlah kali pertama Dr.Asri menerbitkan tulisan yang berunsur sebegini dan adalah tidak wajar jika beliau dibiarkan berterusan melakukan perkara yang sama secara terbuka. Jika dibiarkan, tidak mustahil perbuatannya akan ditiru dan diulangi oleh lebih ramai yang lain yang akan membawa kesan yang lebih buruk kepada negara. Laman web Malaysiakini yang telah memberi ruang kepada tulisan seumpama ini juga perlu di siasat di atas alasan dan semangat yang sama. Jika terbukti bersalah, tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka untuk mencegah mereka daripada mengulangi kesalahan ini. Kami berharap agar laporan kami ini diambil perhatian serius serta mendapat tindakan segera daripada pihak yang berwajib.

(Laporan ini dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa pertubuhan Islam termasuk Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS), Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Integrated Muslim Associations Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (PERSIDAM). Laporan yang sama telah dibuat secara serentak di setiap negeri di seluruh negara)

Tuesday, April 13, 2010

Polemik Tajdid dan Pembaharuan

Polemik Tajdid dan Pembaharuan
Oleh Panel Penyelidik, Yayasan Sofa.
(Versi penuh daripada versi yang tersiar di ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Selasa 13 April 2010)

Di antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu Tajdid atau Pembaharuan dalam agama. Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok dalam soal pembaharuan dalam Islam ini. Antara persoalan pokok di sekitar Tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah dan manhaj untuk pembaharuan agama. Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita untuk mengenalpasti siapakah para Mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini turut mudah berlaku kerana sering terdapat pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan atau tajdid kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka adalah menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam. Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat. Jika mereka ini aggresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh. Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah Tajdid dalam Islam

Istilah tajdid, pembaharuan atau renewal memang punya imej dan daya tariknya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar. Ditambah lagi apabila mengingatkan bahawa kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam,

“Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini” (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara hadis yang sangat popular dikalangan umat Islam kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar. Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep Tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding dengan agama-agama lain. Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pillihan sudah dibekalkan dengan acuan dan panduan yang terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang Tajdid harus setia kepada hakikat ini. Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (Taghyir) ataupun reformasi (Islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh. Taghyir dan Islah hanya layak ditujukan terhadap orang-orang Islam yang lalai agar mereka ini berubah dan mengislah diri kembali mengikuti fahaman Islam yang sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sendiri sebagai para pewarisnya yang sah. Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar dikalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur. Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng. Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh. Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiyyah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan RasulNya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis Mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam Islam dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu. Aspek Islam, Iman dan Ihsan ini dikembangkan dan dihuraikan dibawah ilmu-ilmu Shariah/Fiqh, Aqidah/Tawhid dan Akhlak/Tasawwuf. Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang ditangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi. Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini turut mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah di kembangkan dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang beraqidahkan acuan Aqidah Asha`rah-Maturidiyyah, bershariahkan Mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasawwuf dalam akhlaknya. Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai-senarai utama para Mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam-imam Abul Hassan al-Ash`ariy, al-Shafi`iy, al-Ghazaliy dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan daripada perbahasan di atas, tumpuan sebenar Tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri. Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita merupakan fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita. Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia dihadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiyyah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas dihadapan kita. Perkara-perkara yang jelas-jelas haram, halal atau khilafiyyah tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para Mujaddid hakiki.

Mengenal Mujaddid Sebenar

Hasil perbahasan kita ini, bolehlah disimpulkan bahawa para Mujaddid sebenar dalam Islam adalah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap Aqidah/Tawhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf yang benar dan murni. Acuan dan manhaj yang benar dan murni dalam cabang-cabang ilmu Islam ini juga adalah jelas dan terang bagi mereka yang mahu melihat. Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para Mujaddid maka agama mereka akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu menempa pencapaian ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamaddun agung dunia dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para Mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia disebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama Tajdid dan pembaharuan. Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing. Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka. Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Syeikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan dan jasa mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. Khalayak awam yang kurang teliti dan berhati-hati mungkin mudah terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham Tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.
Sebenarnya, dengan berbekalkan faham Tajdid dan pembaharuan Islam yang sebenar, kita tidak akan mudah terpesona dengan setiap yang melagukan lagu Tajdid dan pembaharuan. Dengan izin Allah, dikesempatan yang mendatang, ruang ini akan mendedahkan secara lebih khusus beberapa pandangan yang menyimpang daripada fahaman Tajdid yang ada diketengahkan dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.

Wednesday, March 31, 2010

Muslim first , then Malay, then Malaysian

Assalamualaikum,

Baru terbaca Malaysiakini membesarkan isu kenyataan TPM Muhyiddin yang beliau adalah Melayu dulu baru 'Malaysian'. Beliau tegaskan, dengan berkata begitu tak bererti beliau tak boleh jadi a good 'Malaysian'. Saya setuju kalau ini maksud beliau. Saya ingin tambah, sebagai seorang Muslim, yang paling tepat, kita adalah "Muslim first, then Malay and then Malaysian" Muslim dulu, baru Melayu dan baru orang Malaysia. Kalau ini turutannya maka gabungannya serasi dan harmoni. Tak bercanggah dan bertentangan. Syaratnya fahaman kita tentang maksud Muslim, Melayu dan warga Malaysia itu murni dan betul. Wallahu a'lam. Harap TPM pertahankan pendiriannya dengan baik.

Wassalamualaikum

Friday, March 5, 2010

Artikel Sheikh Fuad tentang Maulid

Assalamualaikum,
Dilampirkan artikel Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki tentang Maulid yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Selamat membaca dengan hati dan minda yang terbuka.
Wassalamualaikum
****
Mengapa Mempertikaikan Maulid?

Alhamdulillah. Setinggi pujian kita rafa`kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil di atas limpahan nikmatnya kita dipertemukan dan dapat melalui hari-hari bulan Rabi` al-Awwal tahun ini yang menyuburkan ingatan dan ikatan kasih kita dengan kekasihNya, Nabi kita, Sayyiduna Muhammad SAW. Nampaknya sambutan umat Islam di serata pelusuk dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat. Masih banyak lagi majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabi` al-Awwal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita. Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid. Pada tahun ini, suara-suara ini turut ‘menumpang’ isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di salah sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara, yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama, yang mempermasalahkan, mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid. Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadhilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud Bid`ah yang sesat). Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan. Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan. Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi. Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita sikapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara-suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar. Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya. Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah `Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut mempermasalahkan dan berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah. Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama :

Pertamanya : fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep Bid`ah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan Bid`ah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua Bid`ah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan Bid`ah ini.

Kedua : mereka terlalu menekankan sikap Ittiba` (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba` dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta`dzim (mengagungkan), Tasyaffu` (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga : mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil-kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana Umat. Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurangpun dikira sebagai Bid`ah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba`, Hubb, Ta`dzim, Tasyaffu`, Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti Umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Aqidah/Tauhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik. Para pemuka ulama Umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma` Sukuti (ijma` senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Keinsanan Rasulullah SAW

Dalam kehangatan kita cuba mendaulatkan dan menyanjung Nabi SAW di musim Maulid tahun ini, seorang penulis kolum telah memilih untuk membahaskan isu keinsanan para Rasul AS mengikut fahaman yang tersendiri. Pemilihan masa dan cara penulisan tulisan tersebut nampaknya cuba menghantar beberapa mesej yang bercanggah dengan sambutan Maulid Nabi SAW. Antara mesejnya adalah, keinsanan Nabi SAW ditonjolkan agar tumpuan diberikan terhadap al-Quran dan bukan diri Nabi SAW. Mukjizat yang berkaitan dengan diri Nabi SAW cuba dikecilkan kononnya untuk mengelakkan pelampauan dalam memuji Nabi SAW. Olahan sebegini terhadap mukjizat peribadi Nabi SAW turut dimaksudkan untuk mempermasalahkan keistimewaan yang boleh dikurniakan oleh Allah SWT kepada insan-insan pilihannya yang lain seperti Irhas dan Karamah.

Seperti biasa, kolumnis tersebut membawa beberapa dalil al-Quran dan Hadis untuk mendokong `tesis’nya itu. Cuma, jika diperhalusi, kesemua dalil-dalil ini telah ditafsirkan dan diletakkan dalam kerangka yang sesuai dengan kecenderungan penulis. Misalnya, ketika memetik ayat 110, Surah al-Kahfi yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku...” penulis tidak pula menegaskan bahawa walaupun Nabi SAW itu insan, tetapi sebagai insan yang menerima wahyu Baginda SAW bukanlah sama dengan insan biasa. Menerima wahyu adalah tugas berat dan istimewa dan Rasulullah SAW telah dipilih serta dipersiapkan lebih awal untuk proses itu. Setelah Baginda SAW menerima wahyu pula, Baginda SAW terus-menerus meningkat keistimewaannya dan tidak sama sekali boleh di samakan dengan insan biasa.

Penulis turut menukilkan ayat-ayat yang menegaskan bahawa mukjizat Nabi SAW hanya berlaku dengan izin Allah SWT. Isu ini tidak pernah dipertikaikan oleh mereka yang mengagungkan Nabi SAW. Dalam menjulang Nabi SAW, para ulama dan umat Islam arus perdana tetap melakukannya dalam kerangka tauhid. Mereka tetap mengembalikan segala keistimewaan Baginda SAW kepada izin, ketentuan dan iradah Allah SWT.

Kolumnis ini juga memetik hadis dimana Baginda SAW melarang kita daripada memujinya berlebihan seperti orang Kristian memuji Nabi Isa AS. Tetapi beliau tidak menyatakan pandangan para ulama yang rata-rata memahami hadis tersebut sebagai larangan bersyarat. Dilarang memuji Nabi SAW, jika pujian tersebut sampai ke tahap mengatakan Nabi Muhammad SAW sebagai anak Allah dan lain-lain dakwaan melampau Kristian tentang Nabi Isa AS. Adapun pujian setinggi manapun, selagi tidak sampai ke tahap itu, memang layak dan sesuai dengan ketinggian dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW disisi Allah SWT.

Kolumnis tidak pula membawa dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang menjulang dan memuji Nabi SAW. Tidak juga merujuk kepada sikap dan perbuatan para Sahabat RA dalam memuliakan dan membesarkan Nabi SAW. Para Sahabat RA, merupakan generasi yang paling memahami dan menjiwai al-Quran dan Sunnah tetapi apa yang mereka lakukan dalam memuliakan Nabi SAW adalah jauh melebihi apa yang kita lakukan di dalam atau di luar majlis-majlis Maulid yang kita anjurkan.

Seperti beberapa tulisan sebelum ini, kolumnis ini juga memberi gambaran yang buruk terhadap hubungan antara murid dan guru dalam dunia kerohanian Islam. Beliau mengajak pembaca untuk menilai dunia yang begitu dimuliakan oleh para ulama Islam ini dengan merujuk kepada fenomena yang berlaku dalam kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang menisbahkan diri kepada dunia Tasawwuf dan Tarekat. Ini bukanlah sikap yang jujur mahupun ilmiyyah dalam menilai ajaran dan fahaman arus perdana dalam dunia tersebut.

Sebenarnya kecenderungan memperkecilkan mukjizat dan khususiyyah Nabi SAW serta Karamah para ulama-awliya’ pewaris Baginda SAW, adalah suatu percubaan meletakkan semua orang di martabat yang sama dalam Islam. Tindakan menyamaratakan (levelling) semua orang dalam Islam ini adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dengan fitrah alam. Ia akan mengakibatkan hilangnya autoriti dalam Islam yang akan menghakis keutuhan keseluruhan Islam itu sendiri. Akhirnya sesiapa sahaja boleh cuba bercakap bagi mewakili Islam. Sikap menafikan keistimewaan mereka yang benar-benar istimewa dalam Islam ini adalah lebih buruk dan bahaya jika ia merupakan strategi licik untuk menggantikan tempat para tokoh-tokoh ikutan muktabar umat selama ini dengan ikutan terhadap tokoh-tokoh aliran dan kelompok sendiri.

Sikap Yang Sepatutnya

Latarbelakang isu ini adalah perasaan kasih dan membesarkan Nabi SAW yang dikongsi dan disepakati semua. Oleh itu, rasanya dalam isu yang satu ini, hasil perbincangan ringkas di atas, tidaklah sepatutnya begitu sukar untuk mereka yang tidak terlalu keras sikapnya untuk bersama-sama bersikap positif terhadap sambutan Maulid Nabi SAW.

Bagi mereka yang selama ini memang mendokong Maulid, mereka sewajarnya lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh meraikan dan menyambutnya. Tinggal lagi mereka harus sentiasa mempertingkatkan tahap kefahaman dan penghayatan mereka dalam sambutan Maulid yang mereka amalkan. Kaedah dan caranya harus dimuhasabah agar benar-benar berkesan serta diberkati agar matlamat-matlamat tertinggi di sebalik sambutan Maulid dapat dicapai dan dijelmakan.

Bagi segelintir orang-orang agama yang cenderung menentang dan alahan kepada Maulid, kita mencadangkan kepada mereka bahawa sudah ada banyak hujah dan asas ilmiyyah untuk membolehkan mereka melunakkan sikap mereka dalam bab Maulid ini. Kalaupun mereka masih enggan menyambutnya, ambillah serendah-rendah sikap yang terhormat dengan menganggapnya sebagai isu yang masih khilaf didalam Islam. Maka tidaklah wajib malah dilarang bagi mereka untuk mengingkari pandangan yang berbeza dalam mana-mana isu khilafiyyah. Adalah lebih terlarang untuk mengingkari Maulid jika ia akan menimbulkan ketegangan dan memecahkan kesatuan umat. Jika kebetulan mereka ini turut merupakan orang-orang politik yang bergerak di gelanggang politik pilihanraya, adalah terlebih wajar mereka melunakkan sikap dan tidak terlalu alahan terhadap Maulid. Bersikap keras terhadap Maulid hanya akan mengurangkan keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan mereka.

Bagi muslimin-muslimat yang dari kalangan awam yang masih keliru dan ragu-ragu dengan perbahasan yang kita kemukakan disini kita menyeru agar mereka terus mengkaji dengan saksama, bersyura dan beristikharah. Rujuklah tulisan dan pandangan ulama muktabar yang lebih terperinci berkenaan isu ini. Kita akui bahawa tidak sesuai di ruangan ini untuk kita menulis secara terlalu terperinci mahupun terlalu berterus-terang. Inilah sekurang-kurangnya yang wajib mereka lakukan kalau mereka mahu turut terjun ke gelanggang urusan para ulama dan mereka yang mengkhusus dalam ilmu-ilmu Islam. Itu pun dengan menjaga adab-adabnya dan dengan tetap akur bahawa isu-isu agama adalah satu bidang yang kepakaran yang menuntut pengkhususan seperti bidang-bidang pengkhususan yang lain. Jika mereka tidak sanggup dan memangpun mereka tidak dituntut mengkaji seperti para ulama mengkaji, maka mereka sepatutnya mengikut pandangan muktabar sama ada yang telah diangkat sebagai fatwa rasmi ataupun tidak. Itu adalah sikap yang lebih selamat dan sejahtera bagi agama mereka.

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Monday, March 1, 2010

Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?

Assalamulaikum warahmatullah,

Ini artikel terkini oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa untuk ruangan Relung Cahaya dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia, setiap Isnin. (ini versi penuh, yang disiarkan lebih ringkas sedikit) Yayasan Sofa Negeri Sembilan adalah pertubuhan pendidikan, dakwah dan kebajikan di bawah pimpinan al-Fadhil al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, seorang tokoh ulama muda. Gelaran al-Maliki telah diberikan kepada beliau oleh al-Muhaddith Syeikh Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki, tokoh ulama besar dunia Islam kelahiran Makkah yang telah kembali ke rahmatullah dalam bulan Ramadhan 2004. Selain daripada beliau, Syeikh Muhammad Fuad telah berguru dan diijazahkan oleh ramai tokoh ulama Islam dari Mesir, Syria, Hijaz, Yaman, Jordan, Maghribi dan lain-lain selain daripada para gurunya dari Malaysia. Beliau juga berkelulusan sarjana muda Syariah daripada universiti al-Azhar, Mesir. Sekarang ini beliau turut merupakan ahli Majlis Agama Islam dan majlis Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus.
Beliau banyak mengadakan kelas pengajian berkitab dan bersanad serta berkhutbah Jumaat di Masjid Taman TAR, Ampang. Saya menjemput teman2 untuk bersama memanfaatkan majlis-majlis ilmu yang istimewa ini. Saya sendiri turut terlibat dalam Yayasan Sofa dan boleh lah bertemu dengan teman2 dalam majlis-majlisnya, inshaAllah.
Selamat membaca, wassalamualaikum.
********
Mengapa Kita Menyambut Mawlid Nabi SAW?
Kita sekarang berada di tengah-tengah kehangatan dan keharuman hari-hari memperingati kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW bagi tahun Hijrah 1431. Alhamdulillah, sebenarnya, sekelumit manapun ingatan dan perasaan kasih terhadap Nabi SAW yang dicampakkan oleh Allah SWT dalam hati kita, ia adalah kurniaan istimewa dan amat bermakna dariNya kepada kita. Jika di hari-hari dalam bulan Rabi` al-Awwal ini ingatan dan kerinduan kita terhadap Nabi SAW lebih terasa oleh sebab pelbagai acara dan majlis yang giat diatur dan dianjur maka itu sebenarnya suatu kelebihan dan nikmat yang sudah kena pada tempatnya. Tetapi sudah menjadi lumrah alam, setiap yang baik dan bermanfaat itu tetap akan ada lawan dan tentangannya sama ada secara zahir dan terbuka atau secara tersembunyi seperti bisikan nafsu dan iblis dalam diri kita, yang saban masa cuba menghalang kita daripada mendekati amal soleh dan kebajikan.

Begitulah juga hakikatnya dengan amalan dan kebiasaan yang tersebar luas dikalangan umat Islam serata alam meraikan Mawlid Nabi kita Muhammad SAW. Kemeriahan dan keriangan yang rata-rata dirasai majoriti Umat sedikit-sebanyak terganggu dengan suara-suara yang mempertikaikan dan mempermasalahkan sambutan Mawlid Nabi SAW ini. Menginsafi situasi ini, Relung Cahaya kali ini mengajak kita menjawab semula suatu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera. Kenapa dan mengapakah kita menyambut Mawlid Nabi SAW?
Sebenarnya sambutan Mawlid Nabi SAW seperti yang difahami dan dihayati oleh para kekasih Allah dan RasulNya yang sejati tidaklah terhad kepada hari dan bulan Rabi` al-Awwal sahaja. Sebab itulah para Ulama pewaris Nabi SAW dipelbagai pelusuk dunia Islam sehingga ke hari ini sentiasa menjadikan sambutan Mawlid Nabi SAW sebagai majlis untuk meraikan pelbagai munasabah yang penting seperti kesyukuran, kunjungan tetamu, memohon hajat ataupun sebagai pengisian tetap amalan harian, mingguan dan bulanan. Ini adalah tanda makrifah mereka yang tinggi terhadap kandungan dan hakikat sambutan Mawlid Nabi SAW yang sebenarnya menjadi penyubur dan pengobar ikatan kasih kita dengan Nabi SAW yang merupakan pintu utama kita untuk sampai kepada Allah SWT.
Sesungguhnya terasa lemah dan kerdil jika hendak diungkapkan dengan perkataan hakikat sebenar tautan kasih dan hak Nabi SAW yang terpikul dipundak kita dan jika diberikan kekuatan untuk melakukannya sekalipun maka halaman dan ruang sebesar manakah yang cukup besar untuk menyenaraikan disebutkan satu persatu segala makna dan faham yang berkaitan dengan persoalan yang begitu agung ini? Dalam kemampuan dan ruang yang terbatas marilah kita menghimbau secara ringkas asas-asas kenapa kita perlu menyambut Mawlid Nabi SAW, di sepanjang masa dan ketika, termasuklah di hari dan bulan yang memang terpilih untuk untuk peristiwa agung tersebut.

Kita menyambut Mawlid kerana kasih kita terhadap Rasulullah SAW. Sambutan itu adalah gerak naluri yang melimpah daripada perasaan kasih terhadap Baginda SAW yang ada dalam diri. Ia adalah tanda dan bukti lahiriyah dan amali kasih kita terhadap Baginda SAW. Perasaan kasih yang memang diajar sendiri oleh Baginda SAW sebagai suatu perintah Allah SWT ke atas hamba-hambaNya. Perasaan kasih yang merupakan sebahagian daripada keimanan kepada Allah SWT sendiri. Kalaupun ada perbezaan dalam beberapa hal-hal rinci berkenaan Mawlid, kita semua sepakat bahawa kita wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk yang lain termasuk diri kita sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda Nabi SAW.
Kita menyambut Mawlid sebagai ibadah dan untuk beribadah. Mengingat, mengenang, menyebut nama Nabi SAW danberselawat ke atas Baginda SAW adalah Ibadah. Berselawat dan memuji Nabi SAW perbuatan Allah SWT dan suatu amalan yang diperintahkan dengan jelas olehNya seperti dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian bersalawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (al-Ahzaab :56)

Bukankan ini merupakan pengisian-pengisian utama majlis-majlis Mawlid Nabi SAW? Mawlid turut diisi dan disekalikan dengan Solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, I’tikaf di masjid-masjid, tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, sedeqah, menjamu makan sesama Islam, berukhuwwah dan bermahabbah sesama Islam, bergotong-royong dan seumpamanya yang semuanya adalah ibadah. Bagi kebanyakan daripada kita, jika tidak menghadiri majlis-majlis Mawlid ini, mungkin masa tersebut tak akan mampu kita isi dengan ibadah yang lebih baik daripadanya atau mungkin sahaja digunakan kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW kerana dengannya kita mengagungkan dan membesarkan syiar agama Allah SWT. Mengagungkan dan membesarkan syia`r-syi`ar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT, “Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertaqwa kepada Allah.” (al-Haaj:32) Dalam begitu banyak syi`ar-syi`ar Islam, bukan Nabi SAW itu sendiri merupakan syi`ar terbesar dan teragung. Bukankah Nabi-lah,SAW, dengan ketentuan Allah SWT, yang telah mengajar dan memperkenalkan kepada kita segala syia`ar-syi`ar yang lain dalam Islam?

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW untuk memantapkan lagi pijakan hati dan aqal kita dalam kehidupan beragama kerana bukankah dalam majlis-majlis Mawlid Nabi SAW kita meriwayatkan kembali sirah dan keistimewaan Baginda SAW. Bukankah cara ini telah tercatat dalam al-Quran sebagai kaedah berkesan untuk memantapkan pegangan dan perjalanan kita, “Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-Rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya.” (Hud:120)
Di dalam majlis-majlis Mawlid, terutama yang dibimbing oleh para Ulama, appresiasi terhadap sirah Nabi SAW dilaksanakan dengan cara yang tersendiri yang mampu menggerakkan hati dan aqal sekaligus serta menimbulkan sentuhan yang seni. Ianya pasti tidak sama dengan kajian yang sifatnya formal dan akademik semata-mata.

Kita menyambut Mawlid Nabi SAW sebagai suatu kaedah berdakwah dan menyampaikan risalah Islam ditengah-tengah masyarakat. Majlis-majlis Mawlid terbukti berkesan sebagai medan untuk menarik minat masyarakat untuk bersama-sama berhimpun sejenak memperbaharui Iman mereka. Dalam majlis-majlis ini masyarakat diajak untuk mendekati dan beradab dengan Nabi SAW. Mereka dijamu dengan pelbagai pelbagai santapan ruhani dan aqli yang sangat mereka perlukan dalam perjalanan hidup mereka. Mereka di ajak memperbetulkan kembali senarai keutamaan dalam hidup mereka dengan tentunya kembali meletakkan Allah dan RasulNya di atas segala yang lain. Hinggakan segala jamuan dan santapan jasmani yang turut menjadi ciri majlis-majlis Mawlid tidaklah sunyi daripada menjadi hidangan yang penuh berkat, inshaAllah. Adakah hidangan dalam majlis seumpama ini sama sahaja keberkatannya berbandingan dengan hidangan-hidangan lain? Sudah tentu tidak. Bahkan ia merupakan keberkatan bagi yang dijamu dan kebajikan besar bagi yang menjamu.
Jika ditilik dari sudut segala persiapan yang dibuat untuk menganjurkan majlis-majlis Mawlid, kita akan mendapati bahawa ia membuka begitu banyak pintu kebajikan yang boleh dikongsi oleh semua. Yang alim dan yang jahil, yang kaya dan yang miskin, yang tua dan yang muda, lelaki dan wanita, semuanya ada peranannya dan sumbangannya dalam majlis-majlis sambutan Mawlid.
Kita menyambut Mawlid Nabi kerana sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang itu merupakan cara dan tanda kita mengasihinya dan seluruh kehidupannya. Menjadi kebiasaan manusia menganggap istimewa dan meraikan sedikit atau banyak hari kelahirannya sendiri atau mereka yang dikasihinya. Selain daripada isteri, suami, anak-anak, keluarga dan teman terdekat, manusia juga sering meraikan hari-hari kelahiran, kematian atau hari-hari pertiswa penting dalam kehidupan orang dan tokoh yang mereka sanjungi. Maka tepatlah jika hari kelahiran tokoh segala tokoh, Nabi kita Muhammad SAW, kita raikan dengan sewajarnya. Apatah lagi jika mengenangkan bahawa kelahiran Nabi kita bukanlah sama tarafnya dengan kelahiran insan biasa. Sebagai Nabi, walaupun belum diutuskan secara rasmi, kelahiran dan kehidupan Baginda SAW sebelumnya sudahpun dipenuhi pelbagai keistimewaan yang diberikan istilah khusus iaitu Irhas. Nabi kita sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk Baginda SAW berpuasa sunat dihari-hari Isnin. Sabda Baginda SAW yang bermaksud, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Kita telah menghimbau beberapa sebab utama yang mulia disebalik sambutan kita terhadap Mawlid. Jika begitu jelas, banyak dan pelbagai asas-asasnya untuk kita menyambut Mawlid kenapa masih ada yang mempertikaikan? Dari pengamatan kita suara-suara yang bernada sumbang dan tidak selari dengan suara majoriti umat dalam menyambut Mawlid ini dapat dikenal-pasti sebab dan puncanya. Pepatah hikmah menyatakan, “Iza `Urifa al-Sabab, Batolal `Ajab!” (Apabila sudah diketahui sebabnya, tidak ada yang perlu dihairankan lagi!) Jika di amat-amati, suara-suara utama yang suka dan berani mempertikaikan, memperlekehkah dan mempersoalkan sambutan Mawlid dari neraca agama datangnya daripada aliran dan madrasah pemikiran tertentu dalam Islam. Yang perlu diingat, pada hakikatnya aliran ini bukanlah aliran arus perdana dan bukannya aliran majoriti Ummah dari dahulu hinggalah sekarang. Hujah mereka dalam isu-isu sebegini telahpun dijawab para ulama muktabar dulu dan kini. Bahkan dalam isu sambutan Mawlid ini, pandangan para pemuka, pendokong dan mereka yang cenderung kepada aliran ini sendiri adalah tidak sepakat. Sebahagian daripada mereka tidak menolak dan bahkan turut mengakui kelebihan amalan ini.

Maka jika sebab dan asas untuk menyambut Mawlid Nabi SAW sudah begitu jelas. Tiada pula di sana sebab dan asas untuk mempertikaikan atau menolaknya. Marilah kita bersama-sama, sebagaimana yang selayaknya bagi Umat yang baik bagi Nabinya yang mulia, umat pilihan Nabi pilihan, umat yang tahu diri dan tahu mengenang budi, meraikan dan menyambut Mawlid Nabi kita Muhammad SAW dengan bersungguh-sungguh dan penuh semangat, berpandukan suluhan Nabi SAW serta para ulama pewaris Baginda SAW. Semoga kita semua dilayakkan mendapat tempat di hati Nabi SAW dan dihimpunkan bersama Baginda SAW.