Friday, December 31, 2010

Ghibah Yang Di Benarkan

Ghibah Yang Dibenarkan Dalam Islam

BismiLlahi rrahmannirrahim, WalhamduliLlah, Wassolaatuwassalaamu `ala RasuliLlah.

Sebagai tazkirah dan peringatan kerana nampaknya dalam keghairahan menegur tentang keburukan ghibah kadang-kadang ada di kalangan kita yang lupa tentang ghibah yang dibenarkan dalam Islam. Hakikatnya, jika tidak ada pengecualian-pengecualian ini maka Islam akan jadi satu agama yang sangat ‘mesra’-kezaliman, kebatilan dan kemaksiatan. Maha suci agama Allah, Subhanahu wa Ta`aala, daripada sifat tersebut!

Catatan dibawah adalah petikan dengan daripada dua kitab iaitu Maw`izah al-Mukminin oleh Syeikh Jamaluddin al-Qasimi RahimahuLlah dan Qabas al-Nur al-Mubin oleh Al-`Allamah al-Habib `Umar bin Hafidz HafizahuLlah, yang kedua-duanya merupakan sedutan dan ringkasan kitab Ihya’ `Ulumuddin karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali RahimahuLlah.

Erti Ghibah

Ghibah ertinya mengumpat atau mendedahkan keburukan atau keaiban seseorang. "Ketahuilah batas mengumpat itu, ialah apabila anda menyebut sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian atau kemarahan saudaramu, bila ia mendengarnya, sama ada yang disebutkan oleh anda itu kekurangan-kekurangan pada anggota badannya, keturunannya, bentuk kejadiannya, perbuatannya, perkataannya, agamanya atau dunianya, ataupun pada pakaiannya, rumahnya atau binatang kenderaannya sekalipun."

Larangan dan celaan terhadap perbuatan ghibah ini sangat jelas dan banyak nas-nasnya seperti yang dinukilkan dalam kitab-kitab ini dan ia diletakkan sebagai salah satu pecahan Bab Bencana Lidah atau Bencana Lisan. Ini sudah diketahui umum maka tidak perlulah dihuraikan di sini.

Ghibah Yang Dibenarkan

Ghibah dibenarkan dalam enam keadaan berikut :

1. Apabila berlaku kezaliman yakni ada pihak yang dizalimi. Contohnya seperti seorang yang dizalimi mengadu kepada kezaliman seseorang kepada hakim untuk menuntut haknya.

2. Untuk mendapatkan bantuan bagi mengubah sesuatu kemungkaran atau mengembalikan seseorang pelaku maksiat ke jalan kebaikan.

3. Ketika meminta fatwa atau penerangan tentang hukum agama. Dan adalah lebih baik dilakukan secara kiasan dan sindiran tanpa terang-terangan merujuk kepada seseorang.

4. Memberi peringatan kepada seseorang Muslim tentang sesuatu kejahatan atau keburukan. Seperti seseorang yang diminta fikirannya dalam hal perkahwinan lalu ia menyebut keburukan orang yang meminang. Ataupun menyatakan keaiban seseorang agar amanat tidak diserahkan kepadanya.

5. Apabila merujuk kepada seseorang yang sudah biasa dikenali dengan sesuatu gelaran yang melibatkan kekurangan pada dirinya seperti si fulan yang tempang atau yang buta. Diutamakan panggilan yang lain jika ada alternatifnya.

6. Dalam kes seseorangan yang terang-terangan atau menzahir-zahirkan kefasikannya (kemungkarannya). Saidina Umar diriwayatkan berkata, “Tidaklah seorang yang Fajir (menzahir-zahirkan kemungkarannya) itu mempunyai kehormatan.”

(Di keluarkan oleh Dr. Yusri bin Mohamad, Jumaat, 31hb Disember 2010)

Rujukan :
Al-`Allamah al-Habib `Umar bin Hafidz, Qabas al-Nur al-Mubin Min Ihya’ `Ulumiddin (tt., Dar al-Faqih) 2009, ms. 104-105
Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, Bimbingan Mukminin (terjemahan Maw`izah al-Mukminin Min Ihya’ `Ulumiddin) (Singapura, Pustaka Nasional) 1990, ms. 487- 489

Sunday, December 19, 2010

Beberapa Komen Balas (Tajuk alternatif :Alahai Mufti2 Perlis!)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selepas pembentangan saya dalam Wacana Ancaman Pluralisme Agama baru-baru ini menjadi tajuk utama akhbar Utusan Malaysia, seperti yang sudah dijangka, ada beberapa komentar negatif diterima. Banyak juga yang positif dan menyatakan dokongan. Biasalah tu, bila kita menyentuh isu-isu ataupun tokoh-tokoh yang ada nama. Ada yang mengeji dan ada yang memuji. Semoga kita semua dimerdekakan daripada terlalu terkesan dengan kejian mahupun pujian. Yang penting penilaian di sisi Allah dan RasulNya.

Pagi tadi saya ada terima pandangan dan teguran daripada salah seorang Ustaz yang dekat dengan saya. Dia mintak saya perjelaskan perbezaan antara faham pluralisme agama dengan amalan melibatkan diri dalam upacara agama lain. Satunya soal aqidah dan satu laqi lebih persoalan fiqh. Saya boleh bersetuju dan inilah antara sebab saya lebih banyak merujuk kepada DS Anwar Ibrahim dan hanya menyinggung ringkas terhadap perbuatan YAB PM dan YAB Menteri Besar Kelantan. Ucapan yang dizahirkan lebih sukar nak ditakwilkan berbanding perbuatan. Maka perhatikanlah perkataan2 yang saya gunakan bila merujuk kepada kes2 PM dan MB Kelantan.

Mufti Perlis ni pun satu hal. Macam mana seorang Mufti boleh begitu longgar dan semberono dalam memberi komen? Bacalah betul2... Kemudian hujahnya dengan meng-Qiyas dengan perbuatan Nabi SAW dan Saidina Umar Al-Khattab pun sangat tak kena. Saya jadi ragu dengan kefahaman beliau terhadap Qiyas dan penggunaannya sebagai sumber hukum. Dulu dah lah, masa nak pertahankan rakannya bekas Mufti Perlis yang di tahan kerana isu tauliah, dia bolah kata bahawa undang2 tauliah itu warisan penjajah! Laa Hawla wa la Quwwata illa billah. HasbunaLlahu Wa Ni`mal waki, Ni`mal Mawla wa Ni`ma al-Nasir.( tak tahulah undang2 'warisan penjajah' ni dah dihapuskan di Perlis di bawah nasihat beliau? Saya yang tak bertauliah di Perlis ni boleh ke berceramah di sana?)

Nampaknya Mufti Perlis dan bekas Mufti Perlis ni sama2 problem nampaknya. Rasa saya, lebih baiklah lain kali Perlis pilih Mufti dikalangan ulama kelahiran Perlis sendiri. Ust Dr. Arshad ke misalnya. Ada Phd jugak.Dato' Mat Jahaya dulupun tak macam ni. Dalam diskusi saya dengan Ustaz kenalan saya pagi tadi pun kami sama2 mengeluh. Apa nak jadi dengan tokoh2 'Salafiy' Malaysia ni? Sorang melalut2 pasal pluralisme agama. Sorang pulak marah kat JAIS sebab tangkap Syiah. Dulu dia yang kuat lawan Syiah. Tasawwuf pun di kritiknya sebab di pengaruhi Syiah. (Kata dia...) Hari ni nampaknya marahnya bekas Mufti Perlis ini pada JAIS melebihi pada marahnya pada Syiah. Kenapalah gamaknya...

Alahai... Yang kesian orang awam lah. Pening lagi..Terutama dari kalangan pengikut2 setia yang melihat bahawa mereka ini adalah `Anugerah Tuhan' kepada umat Malaysia, bukannya hakikat yang sebaliknya, 'Ujian Tuhan' kepada umat Islam di Malaysia. Ujian agar kita buat 'homework' lebih sikit la dalam bab agama kita. Jangan pakai ikut je.. Tengok yang nampak berani sikit, ada sijil, glamour, petah sikit, selalu keluar tv, terus diidolakan. Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada malas mencari dan mengkaji.

Saya pun malas jugak nak jawab dengan ilmiah dan panjang lebar terutama bila banyak kerja lain. Maaf lah kepada yang mengharapkan saya jawab dengan lebih canggih. InsyaAllah kertas ringkas saya tu saya akan kemaskini dan tambah lagi. Sementara tu saya nak syorkan semua marilah kita sama2 mengaji dan mendokong para Ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pewaris Nabi SAW yang sebenar. Diantaranya yang dekat dengan kita, guru kami Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki al-Ahmadi. Kalau tak kenal buatlah homework sikit... Janganlah malas kalau nak dapatkan permata yang berharga.. Syurakanlah dengan ahli-ahlinya dan Istikharahlah, pesan Nabi SAW. InsyaAllah dengan bersama mereka ini,jauh lebih bermanfaat insya Allah. Takkan nak hidup dengan isu dan polemik sahaja...

WaLlahu a`lam, Wassalamualaikum warahmatuLlah.

Wednesday, December 15, 2010

Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia

Assalamualaikum,

Setelah tersiarnya tajuk utama Utusan Malaysia hari ini, ada yang meminta salinan kertas yang telah dibentangkan semalam. Ia dilampirkan dibawah dengan sedikit pembetulan bahasa. Sebahagian isi laporan Utusan Malaysia yang tiada dalam kertas adalah komen tambahan semasa pembentangan. Taklah semua yang dipetik oleh Utusan Malaysia tepat seperti yang saya lafazkan tetapi tidaklah terlalu lari maksudnya.

Saya ada urusan lain sekarang tetapi akan lampirkan di sini beberapa sumber rujukan dalam masa terdekat. Sila ke website Muafakat, penganjur utama wacana semalam. di http://muafakatmalaysia.wordpress.com/


Wassalamualaikum.

Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia:
Satu Tinjauan Awal

Oleh
Dr. Yusri bin Mohamad

BismiLlahirrahmanirahim, AlhamduliLlahi Rabbil `Alamin wa bihi Nasta`in, Wassolatu wassalamu `ala Sayyidina wa Habibina Muhammadinilamin wa `ala Aalihi wa Sohbihi Ajma`in.

Muqaddimah, Definisi dan Premis Asas
Tulisan ini adalah catatan ringkas pengamatan awal penulis di sekitar tajuk yang dikirakan sudah cukup jelas dan terang maksudnya. Pun begitu, adalah dirasakan perlu makna beberapa istilah di dalam tajuk tersebut tetap diteliti kerana mungkin masih terdapat percanggahan tanggapan yang akhirnya menyukarkan kita mencapai suatu kesimpulan dan persetujuan, semata-mata kerana berbeza dalam mendefinisikan istilah. Sedangkan para hukama sudah sekian lama menegaskan kaedah bahawa, “Tidak wajar bertelingkah semata-mata kerana berbeza memahami istilah” (La Mushaahata fi al-Istilah).

Merujuk kepada tajuk kita, jika istilah-istilah kuncinya tidak diperjelaskan, berkemungkinan besar kita tidak akan mampu bersetuju bahawa apa yang akan dibentangkan sebagai realiti-realiti yang wujud di Malaysia sudah pun memenuhi apa yang disebut sebagai ‘Pluralisme Agama’ dan sudah pun mencapai tahap suatu ‘ancaman’.

Kata-kunci pertama yang perlu dihuraikan adalah kalimah ‘Pluralisme Agama’. Oleh kerana kertas-kertas awal dalam Wacana ini telah menjurus kepada perbahasan teori dan konsep ‘Pluralisme Agama’ maka tidak perlulah lagi kita mengulangi perbahasannya di sini dan rujukan bolehlah dibuat terus kepada kertas-kertas tersebut. Memadailah buat penegasan, kita memetik pandangan seorang pengkaji yang menekuni isu ini, Dr. Anis Malik Toha, yang mengingatkan kita bahawa,

“Yang perlu digaris-bawahi di sini adalah bahwa bagi kalangan pluralis sejati, Pluralisme pada umumnya dan Pluralisme Agama pada khususnya bukanlah sekadar toleransi belaka, sebagaimana yang jamak di(salah)fahami oleh kalangan pentaklid pluralis. Penekanan Pluralisme lebih pada “kesamaan” atau “kesetaraan” (equality) dalam segala hal, termasuk “beragama”. Setiap pemeluk agama harus memandang sama pada semua agama dan pemeluknya. Oleh kerananya, sejatinya pandangan ini pada akhirnya akan menggerus konsep keyakinan “iman-kufur”, “tawhid-syirik”, dalam sangat sentral dalam agama Islam.”

Beliau kemudian merumuskan beberapa ciri asasi faham ini iaitu :
1. Kesetaraan atau persamaan (equality). Ajaran pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tak ada yang paling baik dan tak ada yang paling buruk.
2. Liberalisme atau kebebasan. Ajaran pluralisme agama mengajarkan hak kebebasan beragama, dalam arti keluar-masuk agama. Hari ini seseorang boleh menjadi Muslim, esok menjadi Kristen, esok lusa menjadi Hindu, dan seterusnya.
3. Relativisme. Sebetulnya ini adalah implikasi dari kedua watak yang sebelumnya. Ajaran pluralisme agama mengajarkan kebenaran agama relative.
4. Reduksionisme. Untuk sampai kepada kesetaraan atau persamaan, ajaran pluralisme agama telah meredusir jati-diri atau identiti agama-agama menjadi entiti yang lebih sempit dan kecil, yakni sebagi urusan pribadi (private affairs). Dengan kata lain pluralism agama itu berwatak sekular.
5. Eksklusivisme. Ramai orang yang gagal mengidentifikasi dan memahami watak atau ciri yang satu ini. Hal ini disebabkan selama ini ajaran pluralisme agama ini diwar-warkan sebagai anti-eksklusivisme. Ia sering menyuguhkan dirinya sebagai ajaran yang “tampak” ramah dan sangat menghormati ke-berbedaan (the otherness) dan menjunjung tinggi kebebasan. Tapi pada hakikatnya, dia sebetulnya telah merampas kebebasan pihak lain dan menginjak-injak serta memberangus ke-berbedaan, apabila dia mendeklarasikan-diri sebagai pemberi tafsir/teori/ajaran tentang kemajemukan/keberagaman/keberbagaian agama-agama yang absolute benar, i.e., “bahwa semua agama sama.” Jadi sesungguhnya ia telah merampas dan menelanjangi agama-agama dari kleim kebenaran absolute-nya masing-masing untuk kemudian dimiliki dan dimonopoli oleh dirinya sendiri secara eksklusif.”

Kita juga merasakan, ada satu lagi kata-kunci yang turut perlu ditakrifkan iaitu kalimah ‘Malaysia’ itu sendiri. Mungkin kenyataan ini mengejutkan sesetengah pembaca, tetapi kita merasakan bahawa salah satu punca utama perbezaan sikap terhadap beberapa isu yang terkait dengan agama dan bangsa di negara kita berbalik kepada tanggapan yang berlainan terhadap makna dan hakikat sebenar ‘Malaysia’ atau ‘Ke-Malaysiaan’ itu sendiri. Kita hanya boleh berlaku adil terhadap isu-isu seperti kebebasan beragama, pluralisme agama, ketuanan Melayu atau seumpamanya, jika kita membincangkannya dengan berakar kepada realiti khusus Malaysia.

Secara ringkas, kita tegaskan bahawa ‘Malaysia’ adalah sebuah negara yang beragama dan agamanya adalah Islam. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah syahadah rasminya yang telah pun dilafazkannya ketika Islam mula sampai ke perpantaiannya. Namanya, iaitu ‘Malaysia’ pula, berakar-umbikan kalimah ‘Melayu’ seperti yang lebih jelas dalam nama asalnya iaitu ‘Tanah Melayu’ atau ‘Kepulauan Melayu’ kerana memang tanah dan kepulauan rantau ini ada penduduk asalnya iaitu kaum Melayu, termasuklah semua kerabat pecahannya. Seperti mana benua India, Afrika, Tanah Arab dan Tanah Besar Cina yang semuanya ada kaum penduduk asalnya yang telah ditentukan oleh Tuhan Maha Pencipta. Malaysia berbeza dengan Australia, Amerika Syarikat atau yang lebih dekat Singapura. Adalah kurang bermanfaat malah berbahaya kalau Malaysia hendak mengikut acuan yang tidak serasi dengan hakikat dirinya.

Kesan dan Implikasi Faham Pluralisme Agama
Jika telah jelas kepada kita bahawa Pluralisme Agama adalah suatu faham yang menyeleweng daripada asas Islam, wajar pula kita meneliti kesan dan implikasinya dalam konteks Malaysia secara khusus.

1. Implikasi Aqidah
Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati-diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas dalam hal aqidah berbanding aspek lain.

Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani, kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi aggresif masyarakat Islam. Pihak yang berwewenang, setakat ini, nampaknya masih bertahan dengan tafsiran dan perlaksanaan undang-undang yang lebih menutup pintu murtad.
Di suatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak. Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Bezanya, Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta dengan imej faham Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah dan menyesatkan.

2. Implikasi Keutuhan Umat
Jika kita sudah berkompromi dalam bab aqidah maka keutuhan umat sudahpun terhakis dan kita telah menempah kebinasaan. Kalaupun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan, lambat laun Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di tengah-tengah tubuh Umat. Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat akan terpecah kepada dua puak yang mungkin sahaja ketajaman perselisihannya itu lebih tajam berbanding dengan perselisihan politik kepartaian. Malah sudah nyata bahawa pendokong parti politik yang sama pun boleh jadi terjauh hati dan berpecah-belah akibat gejala Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran Umat yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia.

3. Implikasi Sosio-politik
Susulan dan terkait dengan implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila kecemburuan umat Islam di Malaysia terhadap agama dapat dicairkan melalui faham ini, maka agama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan dirobohkan. Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama. Merongkai formula yang sudah terbukti ini bererti merongkai ikatan yang selama ini mengikat kesebatian masyarakat.

Pendek kata, Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, kalau pun Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, di Malaysia ia adalah racun yang membunuh.

Aliran Pemikiran Berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia
Adalah lebih memudahkan kita mendapat gambaran yang jelas tentang Pluralisme Agama di negara ini jika kita dapat mengenal-pasti terlebih dahulu tren atau kecenderungan pemikiran yang ada dan bergerak dalam konteks Malaysia. Sesudah mengenali lebih dekat madrasah-madrasah pemikiran ini kita akan turut meninjau isu-isu spesifik berkaitan Pluralisme Agama di Malaysia yang ditimbulkan oleh mereka.

1. Madrasah Arus Perdana Umat
Umat Islam yang berpegang kepada tafsiran para ulama muktabar dalam menangani persoalan. Jika ada lebih daripada satu pandangan atau khilafiyah maka mereka ini akan sedia untuk mengikut pandangan yang dipilih oleh pihak autoriti agama dalam negara atas kaedah (Hukm al-Hakim Yarfa` al-Khilaf). Misalnya dalam isu penggunaan kalimah Allah.

2. Madrasah Arus Pinggiran Umat
Dari kalangan umat Islam yang tidak suka merujuk kepada khazanah warisan atas alasan mahu membebaskan diri dari kongkongan dan kejumudan atau alasan yang senada dengannya. Mereka mungkin berimej Islam, berlatarbelakang aktivis Islam ataupun masih aktif dalam parti berimej Islam tetapi telah terpengaruh dengan ideologi dan fahaman yang tidak selari dengan Islam.

3. Madrasah Arus Luaran
Dari kalangan orang Islam atau orang bukan Islam yang tidak yakin dengan Islam sebagai cara hidup dan lebih terbudaya dengan gaya hidup bukan Islam.
Boleh juga dikatakan terdapat kategori ke empat, iaitu kes-kes berbau Pluralisme Agama yang terjadi tanpa disengajakan atau disedari terutama di kalangan orang awam. Kategori ini tidak didorong oleh ideologi yang khusus tetapi semata-mata tunduk kepada tuntutan kehidupan bermasyarakat atau berpolitik dalam sebuah negara majmuk seumpama Malaysia.

Isu-isu dan Gejala Pluralisme Agama di MalaysiaKalaupun suara Pluralisme Agama di negara kita tidak selantang di negara lain seperti di Indonesia misalnya, sebenarnya terdapat di sana sebaris isu-isu yang sebenarnya berakarkan atau terbaur dengan faham ini.

1. Isu murtad dan cinta rentas Agama.
Merujuk kepada kes-kes mendokong usaha pemurtadan umat Islam termasuk melalui tindakan mencabar melalui mahkamah. Turut mempengaruhi segelintir orang Islam. Dalam menyokong murtad atas nama kebebasan beragama, seseorang Muslim boleh terlanjur memperkecilkan kesalahan menukar agama serta mencairkan kebencian terhadap kekufuran.

2. Penubuhan IFC (Interfaith Commission / Suruhanjaya Antara Agama)
Merujuk kepada usaha penubuhan platform dianggotai wakil pelbagai agama secara sama rata bagi menangani pelbagai isu-isu hubungan antara agama. Tuntutan-tuntutan di sebalik penubuhan IFC ini melibatkan usaha menyamakan kedudukan dan hak agama-agama lain agama Islam.

3. Perkongsian Perayaan dan Acara Keagamaan.
Merujuk kepada penganjuran majlis-majlis sambutan hari-hari kebesaran agama secara bersama. Juga penyertaan orang-orang Islam khususnya pemimpin-pemimpin Muslim dalam acara keagamaan di rumah-rumah ibadat agama lain. Boleh terlibat kepada pengiktirafan dan turut memakmurkan kekufuran dan kebatilan. Juga mencairkan kebencian terhadap kekufuran.

4. Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Merujuk kepada persoalan sama ada para penganut agama lain boleh menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan atau sembahan dalam agama mereka. Selain berupakan pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan adab terhadapNya, boleh meleburkan garis-garis pemisah antara Islam dan agama-agama lain.

5. Isu pengharaman Yoga bagi umat Islam.
Merujuk kepada Fatwa Kebangsaan mengharamkan penglibatan orang-orang Muslim dalam senaman Yoga kerana ada unsur-unsur agama lain di dalamnya. Boleh meleburkan pemisahan antara Islam dan agama lain.

6. Mengucapkan salam kepada bukan Islam.
Amalan mengucapkan salam Islam kepada orang bukan Islam. Salam merupakan doa keselamatan dan kesejahteraan yang hakikatnya tidak selari dengan kekufuran dan kebatilan yang ada pada diri mereka. Tanpa menafikan adanya perbezaan pandangan dalam hal ini.

7. Penggunaan ayat-ayat al-Quran dan Hadis oleh orang bukan Islam dalam ucapan-ucapan politik.
Merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin politik bukan Islam membaca dan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadis serta mengulasnya mengikut kefahaman mereka. Boleh membawa gambaran bahawa agama-agama yang berbeza itu berkongsi-kongsi dan berbahagi-bahagi dalam kebenaran.

Selain isu-isu di atas dan yang seumpamanya, Pluralisme Agama juga muncul dalam bentuk gejala-gejala tertentu terutamanya pada kecenderungan sesetengah pemimpin dan tokoh masyarakat beragama Islam untuk membawa mesej Pluralisme Agama dalam ucapan mahu pun tindakan mereka. Nampaknya kecenderungan ini wujud merentasi batas politik kepartian, kerajaan mahupun pembangkang.

Contohnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam satu ucapannya bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World” pada 18 Mac 2010 di London School of Economics ada mengatakan:

“... it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations.” (underline added)
(…adalah suatu realiti dunia hari ini bahawa sesetengah kumpulan agama percaya bahawa hanya aqidah tertentu yang mampu mencapai keselamatan di Akhirat. Sikap eksklusif sebegini, malangnya dikongsi merentasi pelbagai agama dan mazhab dalaman agama.) (garis bawah ditambah)

“Back in the 13th century, the mystical poet Jalaluddin al-Rumi wrote in the Masnawi:
The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”
(Penyair Sufi , Jalaluddin al-Rumi menulis dalam Mathnawinya, “Lampu-lampunya berbeza tetapi mengeluarkan cahaya yang sama yang datang dari alam lain. Kalau kamu menumpukan hanya pada lampu, kamu akan keliru)

“I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:
We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.” (underline added)
(Saya percaya bukan saya seorang yang mengatakan bahawa untuk Pluralisme Agama berkembang subur dalam dunia berpecah-belah, adalah salah secara moral jika kita mengatakan kepada penganut agama lain : Kami beriman dengan Tuhan kami dan kami percaya kami lah yang benar , kamu beriman dengan Tuhan kamu tetapi kepercayaan kamu itu salah.) (garis bawah ditambah)

Di pihak kerajaan pula kita perhatikan kecenderungan pendekatan meraikan acara keagamaan agama lain seperti penyertaan YAB Perdana Menteri dan isteri beliau dalam sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves atau acara sambutan bersama hari besar agama-agama (kongsi raya). YAB Menteri Besar Kelantan juga tidak terkecuali menerima kritikan atas penyertaannya dalam majlis rasmi kuil Buddha di Kelantan.

Satu lagi gejala yang dapat diperhatikan ialah kecenderungan sesetengah individu dan kumpulan di negara kita terhadap tokoh-tokoh luar yang jelas-jelas menjuarai Pluralisme Agama. Contohnya pujian terhadap tokoh liberalis-pluralis seperti Ulil Absar Abdullah dan Jaringan Islam Liberal yang diasaskannya bersama teman-temannya yang sefikrah.

Kesimpulan dan Saranan
Daripada isu-isu yang telah kita himbau, nampak wujudnya beberapa kecenderungan pemikiran Pluralisme Agama yang bergerak aktif di Malaysia telah tersasar dari asas fahaman Islam yang sebenar.

Walaupun tidak seburuk jika di banding dengan beberapa negara umat Islam lain tetapi oleh kerana masalah ini melibatkan aspek aqidah, apa-apa kepincangan perlu dianggap serius dan kritikal. Dalam realiti dunia tanpa sempadan hari ini, situasi di negara kita boleh mudah terpengaruh oleh perkembangan di negara lain dan keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam jangka masa yang singkat.

Oleh kerana kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia membuka jalan kepada penanganan isu ini secara komprehensif, maka segala pendekatan yang ada termasuk pendidikan, kempen kesedaran, dialog, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membenteras gejala Pluralisme Agama di negara kita.
Antara langkah yang disarankan:

1. Fatwa-fatwa yang jelas dikeluarkan berkenaan dengan faham Pluralisme Agama dan apa-apa amalan yang berkaitan dengannya.
2. Penerangan tentang Pluralisme Agama, bahaya dan perinciannya perlu dimasukkan dalam sukatan pendidikan di semua peringkat yang sesuai.
3. Maklumat dan penerangan tentang Pluralisme Agama perlu disebarkan di kalangan umat Islam dalam pelbagai bentuk kempen penerangan yang sesuai.
4. Individu dan kumpulan yang menyebarkan faham ini perlu dinasihatkan dan jika mereka berterusan melakukannya perlu disusuli dengan tindakan undang-undang.
5. Pada masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi penerangan tentang asas dan falsafah di sebalik ajaran Islam berkaitan dengan hubungan dan interaksi dengan penganut agama lain. Dengan ini tidak akan timbul salah-faham terhadap ketegasan umat Islam dalam aspek ini. Mereka juga tidak akan secara sengaja terlibat dalam menganjurkan sesuatu yang boleh menjuruskan rakan-rakan Muslim mereka dalam gejala Pluralisme Agama.

Semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan kepada kita kebenaran itu dengan sejelas-jelasnya dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikutinya dan mempertahankannya, serta menunjukkan kebatilan itu sebagai kebatilan dan memberi kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan mencegahnya. Dan semoga Allah SWT sentiasa memelihara Islam dan Umat Islam di negara yang dicintai ini. WaLlahu a`lam.

Thursday, July 1, 2010

Tasauf Hakiki dan Penyelewengan

Tasauf Hakiki dan Penyelewengan

Sedar atau tidak sudah masuk minggu ke sembilan kita berbicara tentang Tasauf di ruang ini. Dalam siri terakhir ini kita akan cuba menyorot beberapa fahaman dan ajaran yang menyeleweng yang dinisbahkan kepada Tasauf selain cuba merumuskan pandangan kita tentang Tasauf.

Walaupun dalam siri tulisan yang lepas kita telah cuba mempertahankan Tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi kepada agama kita, kita tidak menafikan bahawa wujudnya kumpulan dan ajaran Tasauf yang sesat atau menyeleweng daripada batasan agama sebenar. Pepatah Melayu menyebut, bumi manakah yang tak di timpa hujan? Adakah wujud di sana, mana-mana kumpulan atau aliran sama ada bersifat agama atau tidak, yang terpelihara sepenuhnya daripada sebarang penyelewengan? Cuma, harus difahami, dalam paksi-paksi ajaran agama Islam iaitu Aqidah, Syariah dan Tasauf, penyelewengan yang berlaku bukannya berpunca daripada kelemahan ajaran tersebut tetapi kerana kelemahan mereka yang cuba mengamalkan dan menghayatinya. Disamping kelemahan jenis ini yang benar-benar berlaku, Tasauf turut cuba ditempelkan dengan pelbagai gambaran kelemahan palsu oleh kelompok yang anti-Islam atau anti-Tasauf.

Kelemahan Pengamalnya

Mereka yang meminati dan mengamalkan Tasauf boleh kita bahagikan kepada dua secara amnya iaitu mereka yang memilih untuk bertarekat ataupun mereka yang tidak bertarekat. Jika berlaku penyelewengan di kalangan mereka yang bertarekat ia lebih nyata dan tertonjol berbanding dengan mereka yang tidak bertarekat. Media massa juga cepat menarik perhatian umum kepada gejala ini. Kita sering mendengar kisah penyelewengan pelbagai kumpulan dan ajaran berimej keruhanian dan tasauf dalam negara kita seperti kumpulan al-Arqam, Ayah Pin, Cikgu Kahar dan pelbagai kumpulan kecil yang lain. Antara bentuk penyelewengan yang timbul daripada golongan ini adalah menolak kehidupan dunia secara melampau, melampau dalam mengikuti ‘syeikh’ sehingga diluar batas syara`, mempercayai ajaran bersatu dengan Tuhan secara hakiki, mengutamakan amalan tarekat berbanding amalan fardhu dan sebagainya.

Apa yang lebih memburukkan imej tarekat dan tasauf, ialah sebahagian daripada kumpulan ini menisbahkan diri mereka kepada tarekat-tarekat arus perdana seperti Naqshabandiah, Qadiriah dan sebagainya. Mereka juga menggunakan istilah dan konsep yang dipakai dalam tasauf arus perdana seperti Syeikh, mursyid, tarekat, awrad, kasyaf, fana’, yaqazoh dan sebagainya. Hakikatnya penyelewengan yang berlaku kepada golongan ini adalah kerana kelemahan mereka untuk benar-benar mengikuti panduan dan acuan sebenar tarekat dan tasauf Islam. Antara punca-punca utamanya ialah guru yang belum layak dan belum mendapat keizinan mana-mana guru yang layak, guru yang telah terputus sanad serta tarekat yang diwarisi oleh mereka yang bukan ahli-ahli ilmu.Kuncinya di sini ialah lemahnya faktor ilmu dalam pengahayatan tarekat sedang Islam adalah agama yang bersendikan ilmu. Akibatnya timbullah gejala pelanggaran syariah seperti nikah batin, solat dengan niat sahaja ataupun ketaasuban seperti mendakwa syeikh sebagai Imam Mahdi dan Wali Qutub.

Tuduhan-tuduhan Liar

Selain daripada penyewelengan sebenar yang timbul akibat kelemahan para pengamalnya, tasauf dan tarekat turut menjadi sasaran pelbagai tuduhan dan kempen memburuk-buruknya daripada mereka yang memusuhinya dari dalam dan luar lingkungan Islam. Para kuffar memusuhinya kerana mereka memang anti atau jahil dengan Islam. Sebahagian daripada mereka juga menyerangnya kerana tahu bahawa inilah antara pusat kekuatan Islam. Mereka tahu daripada kajian dan sejarah bahawa tasauf turut menjadi inspirasi jihad menentang musuh-musuh Islam.

Tasauf juga menjadi sasaran beberapa aliran pinggiran dalam Islam yang melihat tasauf dan tarekat sebagai saingan dan penghalang untuk mereka menjadi lebih dominan dalam masyarakat seperti aliran ekstrim liberal juga aliran ekstrim modernis. Pendokong ekstrim liberal memang suka kepada Islam yang serba bebas dan tidak terikat dengan ikatan-ikatan termasuklah ikatan-ikatan Syariat, Aqidah dan Tasauf. Manakala kelompok ekstrim modenis umumnya cuba mengajak umat membebaskan diri daripada mengikuti warisan khazanah ilmu-ilmu tradisional Islam termasuklah dalam tasauf. Mereka sering bercakap atas nama pembaharuan agama, tajdid, pembebasan daripada taqlid dan kejumudan, kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan sebagainya.

Ancaman terhadap tasauf daripada kelompok ekstrim modenis ini lebih berbahaya kerana mereka berbahasa dan berpakaian agama sehingga masyarakat awam mudah terkeliru. Hakikatnya, dalam mereka mengajak masyarakat tidak bertaqlid kepada khazanah tradisi Islam mereka sebenarnya menjerumuskan masyarakat kepada suatu taqlid yang lebih sempit iaitu bertaqlid kepada tokoh-tokoh dan aliran mereka. Akhirnya masyarakat diajak untuk mengikuti beberapa kerat tokoh yang mereka sanjung secara berlebihan terutamanya Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan kemudiannya Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pendokong nya.

Pandangan Ibnu Taymiyyah dan Ibnu Al-Qayyim yang mengkritik tasauf mereka angkat tanpa menonjolkan sisi lain yang tidak menyebelahi kecenderungan mereka. Sebenarnya Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim menghalakan kritikan mereka terhadap beberapa kumpulan pengamal tasauf pada zaman mereka dan bukannya terhadap tasauf itu sendiri. Mereka tidaklah menafikan tasauf sebagai cabang penting dan disiplin ilmu asasi dalam agama. Buktinya Ibnu Taymiyyah sendiri menganggap dirinya sebagai seorang pengikut tarekat Qadiriyyah. Maqam beliau di Damaskus, Syria juga merupakan kawasan maqam yang di waqafkan khusus untuk para Sufi. Jilid sepuluh dan sebelas daripada himpunan fatwanya juga menghuraikan tasauf. Murid beliau Ibnu al-Qayyim pula telah menulis kitab Madarij al-Salikin dalam tiga jilid yang merupakan huraian kepada kitab Manazil al-Saa`irin karya Imam al-Harawi berkaitan dengan maqam-maqam dalam perjalan ruhani kesufian. Kesimpulannya, dua tokoh ulama kontroversial ini pun tidaklah terlalu menolak atau anti-tasauf seperti sikap segolongan mereka yang sering menjuarakan tokoh-tokoh ini.

Kembalilah kepada Tasauf

Sesudah kita membahaskan dan menperjelaskan tentang tasauf dan pelbagai persoalan yang timbul berkaitannya hanya satu kesimpulan yang paling sesuai dibuat iaitu marilah kita semua kembali kepada tasauf. Kita kembali menghargai dan mengenali tasauf sebagai cabang dan dimensi asasi daripada agama kita yang kita cintai ini. Kita kembali memahami kedudukannya yang sangat harmonis dengan syariat, aqidah dan semua prinsip dan ajaran Islam yang lain. Dan yang paling penting, marilah kita sama-sama menghayatinya dalam kehidupan kita agar agama kita benar-benar terselamat daripada virus-virus dalaman yang boleh menghancurkan kehidupan beragama kita tanpa kita sedari. Hakikatnya, ketaqwaan itu berpengkalan di hati, seperti pesanan Nabi SAW. Jika agama dan ketaqwaan itu sudah tewas di pengkalannya sendiri apakah ia dapat ditegakkan di tempat dan tahap yang lain?

Akhirnya, kami tinggalkan para pembaca budiman dengan sepotong hadis yang menjadi antara induk dalam memahami kedudukan tasauf dan sering dipetik untuk tujuan itu. Imam Muslim dalam Sahihnya meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW ada menceritakan tentang tiga orang yang terawal dihisab di Akhirat kelak. Seorang yang mati syahid di medan perang, seorang ulama yang mengajar ilmu agama dan al-Quran dan seorang hartawan yang dermawan di jalan agama. Akhirnya ketiga-tiga mereka telah diseret di atas muka masing-masing dan dihumban ke neraka kerana kegagalan mereka menjaga keikhlasan, mensucikan niat dan hati masing-masing dalam kehebatan mereka berjuang di jalan Allah.

Semoga Allah Jalla Jalaluh mengurniakan keikhlasan kepada kita dan mensucikan hati-hati kita dari segala yang tidak disukaiNya.

Lujnah Penyelidikan

Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Sisispan Mega, Utusan Malaysia 29 Jun 2010

Wednesday, June 23, 2010

Komen saya dalam Kolum Joceline Tan (the Star) hari ini.

Linknya di sini :

http://thestar.com.my/columnists/story.asp?file=/2010/6/23/columnists/joceline/6522826&sec=joceline

Isinya :

Wednesday June 23, 2010
The guessing game continues
ANALYSIS By JOCELINE TAN
joceline@thestar.com.my


The controversial but charismatic ulama Dr Mohd Asri Zainal Abidin has been courted by PAS, Umno and PKR, but is he about to join Umno?

JUST a fortnight ago, Dr Mohd Asri Zainal Abidin was at the opening of the PAS muktamar and was given the red carpet treatment by PAS leaders.

This week, if reports are to be believed, the controversial former Perlis mufti may be getting the red carpet welcome into Umno.

Political circles are abuzz with talk that Dr Asri is about to join Umno with some 100 young ulama by this week. If it really happens, it will be a major coup for Umno which has always trailed PAS as the party of choice among the ulama class.

Dr Asri himself has been rather coy, neither confirming nor denying the reports. But the news has sent shock waves through PAS and the Muslim segment of PKR.

PAS leaders thought that if the boyish-looking ulama ever entered politics, he would surely pick their party. On top of that, Dr Asri and Ahmad Baihaki Atiqullah, the Kelantan PAS information chief and a rising star, are friends. They were house-mates when studying in Jordan.

Dr Asri has been bombarded by calls and SMS’, many from friends in PAS and PKR. One of them begged him not to do it, saying he would become “like a hot dog,” sandwiched between two buns, no longer able to speak freely and that only the tail of his turban would be visible. Anyway, Dr Asri is not into turbans. He is a modern ulama and prefers the kopiah or a songkok.

Another man whose mobile phone has been ringing non-stop is Umno executive secretary Datuk Rauf Yusoh.

Rauf, who is also Bukit Bintang vice-chairman had inadvertently set off the gossip mill when speaking at the Umno Youth AGM for the Bukit Bintang division. The guest of honour was former Perlis Mentri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim but it was Rauf who hinted that a big group of ulama including Dr Asri would join Umno.

“There was loud applause. It was big news, a boost for the party,” said the division’s Youth chief Tengku Azman Zainal Abidin.

But not everyone in Umno is thrilled. There is concern whether the ulama’s controversial style may spill over to the party.

He is currently facing a charge in the Syariah Court for preaching in Selangor without tauliah or accreditation. He is also battling a RM1.5mil libel suit filed by Datuk Nakhaie Ahmad, the former president of Yadim (Islamic Dakwah Foundation).

But it is his rather unorthodox religious views that some in the party are concerned about. His religious column in a Malay daily often causes ripples and wins him admirers as well as critics.

His detractors call him a “modernist with Wahhabi leanings,” which is not exactly a compliment among mainstream Muslims in these parts.

In fact, he is considered too modern by the traditionalist ulama in PAS. Even former Abim president Yusri Mohamad has reservations about the impending move. He wrote in his blog (pena-yusri.blogspot.com) that the latter’s teachings do not always fall within the mainstream.

“He represents an agenda that is controversial,” said Yusri who recently lodged a police report against Dr Asri for an article he wrote in a news portal.

All this has not stopped pragmatic politicians like Nik Aziz from assiduously wooing him. In fact, some in Kelantan say that Dr Asri occasionally comes across as a younger version of Nik Aziz for his unconventional viewpoints about religion and society.

Parallels are being made with another “hot ticket” item from the 1980s, namely, Datuk Seri Anwar Ibrahim, whose decision to join Umno was a hammer blow to PAS which was then trying to make inroads among mainstream Malays.

This time around, PAS sees Dr Asri as the moderate face of Islam whom non-Malays can relate to.

As a person, Dr Asri’s greatest appeal is his lack of artifice and his quite complete absence of ego, a state of being all pious Muslims aspire to. It is this which makes him so likeable as a person and which draws people of all colour and creed to his point of view.

But what Umno is about to accomplish is not solely about Dr Asri but the fact that the group coming in comprises well-educated ulama, with almost half of them holding PhDs. That these young, religious scholars chose to join Umno and not another party is going to give Umno a huge boost on the religious front.

In the meantime, all that Umno’s Rauf would say was: “Please wait and see.”

************

Cuma saya sangat tak bersetuju bila di akhir tulisannya , Joceline menggambarkan Dr.Asri sebagai dengan sifat "As a person, Dr Asri’s greatest appeal is his lack of artifice and his quite complete absence of ego" ... Hmm rasanya sangat tidak seperti Dr.Asri yang saya kenali... WaLlahua`lam

Monday, June 21, 2010

Dr.Asri : Masuk UMNO? (atau PAS?)

Dr.Asri : Masuk UMNO? (atau PAS?)

Assalamualaikum,

Hari ni heboh kononnya Dr.Asri akan masuk UMNO Jumaat ini bersama 100 orang ulama termasuk yang berkelulusan Phd. Berita Harian memetik kata-kata Setiausaha Kerja UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang sebagai berkata bahawa kemasukan Dr.Asri dan kumpulannya ini akan menyemarakkan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Beliau ini dilaporkan sebagai turut terlibat untuk membawa masuk Dr.Asri. Dr.Asri sendiri dalam kenyataan ringkas dalam laman webnya menafikan telah membuat keputusan untuk masuk mana2 parti politik.

Sebelum timbulnya berita ini, akhir-akhir ini, Dr.Asri nampaknya lebih mesra dengan PAS. Ketika panas isu beliau ditahan, beliau membuat kunjungan strategik melawat Mursyidul `Aam PAS di Kelantan. Gambarnya menghadiri Muktamar Pemuda Pas baru-baru ini tersiar di akhbar perdana. Beberapa kali beliau dijemput mengisi forum anjuran kerajaan Kelantan. Jadi berita terbaru ini mungkin mengejutkan dan menggusarkan peminat beliau di dalam PAS atau Pakatan Rakyat.

Mengenali beliau, saya tidaklah terlalu terkejut dengan semua gerak-geri Dr.Asri dengan orang-orang politik seperti di atas. Cuma saya simpati kepada mereka yang terlalu lurus dalam membaca gerak-geri politik Dr.Asri. Izinkan saya buat komen ringkas untuk bagi membantu menjelaskan letak duduk perkaranya...

1. Tentang benar atau tidak berita ini, saya rasa kalaupun tidak benar tetapi mesti ada asasnya. kalau tak ada angin tak kan pokok bergoyang. Yang bercakap ini bukan sebarang orang. Dalam majlis yang sama ada DS Shahidan Kassim, gandingan utama dan penyokong kuat Dr.Asri.

2. Bagi mereka yang cenderung kepada PR, sukakan Dr.Asri dan marah dengan berita ini saya katakan : Tak kanlah tak tahu lagi hubungan rapat selama ini antara Dr.Asri dengan beberapa tokoh UMNO terutama DS Shahidan Kassim yang merupakan 'promoter' dan pendokong Dr.Asri yang sangat komited dan aggresif. Dari dulu saya agak hairan dengan bacaan politik pemimpin dan pendokong PR yang terlalu 'berminat' dengan Dr.Asri.

3. Tentang dakwaan bahawa kemasukan Dr.Asri akan membawa keuntungan, seperti yang saya tegaskan dan jelaskan dalam beberapa tulisan saya sebelum ini ialah, Dr.Asri, aliran dan kumpulannya adalah merupakan suara minoriti dan janggal (syaz) dikalangan para ulama dan ilmuwan Islam di negara kita dan dalam peta aliran Islam global amnya. Cuma tak semua ulama dan ilmuwan arus perdana itu mahu bersuara secara terbuka. Jadi hakikatnya, mana-mana parti yang memberi ruang kepada Dr.Asri dan mereka yang seumpamanya sebenarnya telah tidak peka dan sensitif kepada pandangan dan perasaan sebegitu ramai ulama dan ilmuwan Islam yang lain. Para ulama dan ilmuwan ini bersikap demikian terhadap Dr.Asri berasaskan ilmu dan Iman yang ada pada mereka. Mereka ini pula semuanya ada ruang pengaruh mereka masing-masing dan tidak hanya akan berdiam diri melihat sesuatu yang, pada ilmu dan Iman mereka, diyakini salah. Oleh itu, dalam realiti politik Malaysia, mana-mana parti politik yang memberikan ruang dan tempat kepada Dr.Asri dan mereka yang seumpamanya adalah sebenarnya mendedahkan diri mereka kepada risiko kehilangan sokongan dan bahkan tentangan daripada suatu kelompok yang begitu penting - baik dari segi prinsip agama mahupun perkiraan politik.

Maka, eloklah parti-parti politik yang berminat sangat untuk memberi ruang kepada Dr.Asri lebih banyak mengkaji, meneliti dan mengambil pandangan-pandangan yang patut diambil.

(Dalam konteks PAS, saya teringat Tuan Hj.Subki Latiff, tokoh veteran PAS yang luas pengalamannya, telah menulis dalam kolumnya di Harakah tentang Dr.Asri ketika hangat isu penangkapannya dulu. Secara halus dan berlapik, Tuan Hj.Subki menyatakan pandangannya bahawa PAS tidak sesuai bagi seseorang yang seperti dan mempunyai agenda seperti Dr.Asri)

4. Tentang dakwaan bahawa ada 100 orang ulama berkelulusan tinggi yang akan bersama-sama Dr.Asri menyertai UMNO, saya agak sangsi dengan maklumat ini. Tak semua maklumat yang berkaitan Dr.Asri mestinya benar seperti dalam kes 'minum air ludah ustaz' yang beliau timbulkan baru-baru ini. Kalau dihitung-hitung, rasanya tak cukup 100 orang ulama yang benar-benar ulama yang bersama dengan Dr.Asri. Memang ada mereka yang berkelulusan agama yang bersama Dr.Asri, tetapi hatta mereka ini belum tentu akan mengikuti langkah Dr.Asri jika betulpun beliau akan masuk UMNO atau PAS. Saya ketahui dengan pasti bahawa hatta mereka yang berkongsi beberapa fahaman agama dengan Dr.Asri tidaklah sentiasa bulat menyokongnya.

Begitulah komen ringkas saya. Moga-moga ada manfaatnya dalam membentuk persepsi yang lebih betul. WaLlahu a`lam. Wassalamualaikum

Yusri Bin Mohamad

Thursday, May 6, 2010

Penjelasan Isu Status Ibu dan Ayah Nabi SAW

Jangan Sakiti Nabi!

Oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat, Yayasan Sofa Negeri Sembilan)

Sesiapapun akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapanya disebut-sebut dihadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada diantara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab dihadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi SAW telah melarang dan menegur perbuatan ini dengan sabdanya, “Jangan engkau mencerca mereka yang mati lalu engkau menyakiti mereka yang hidup.” sabda Nabi SAW (riwayat al-Tirmizi).

Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam Neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apapun niat si penyebut? Lebih buruk lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhlukNya yang paling mulia.

Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam Neraka di ketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu tidak mustahil akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulang-ngulangkan kalimah yang pastinya menyakiti Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan RasulNya?

Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan

Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan timbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis, apakah isu ini menempati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?

Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar menanggapinya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus. Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka sikapi dengan adil?

Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.

Fahaman Yang Lebih Sejahtera

Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada dalam Neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satu daripadanya, Nabi SAW bersabda bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini adalah suatu yang biasa berlaku dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah yang dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219, surah al-Syu`ara’ yang bermaksud, “dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud”. Ibnu `Abbas RA, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi dikalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.

Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan Rasul-rasulNya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israa’:15, al-An`aam:131, al-Syu`araa’, al-Nisaa’:165). Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda (Saba’:44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada dizaman yang tiada rasul padanya yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna ‘abi’ dalam hadis kedua yang zahirnya bermaksud ‘ayah’ kepada Abu Talib atau Abu Lahab, bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW. Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa arab dan dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An`aam : 74). Ada juga pandangan ulama’ bahawa kedua-dua hadis riwayat Muslim itu memang perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk menziarahi kuburnya.

Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihatkan betapa besarnya kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz ada dilaporkan telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn `Asakir). Imam al-Alusi (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras, “Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207).

Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab termasuk kitab- kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Masalik al-Hunafa dan al-Ta`dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj al-Wadhihaat karya ulama’ Makkah, Al-`Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum`ah dalam koleksi fatwanya, al-Bayan. InshaAllah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.

Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu, ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk meletakkan zuriat kekasihNya dalam rantaian keturunan hamba-hambaNya yang terpilih.

Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini mungkin ada beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah dan pertanggungjawaban. Bagi masyarakat am pula, di zaman ledakan informasi ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan, mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di radio, tersiar di tv dan popular di internet tidaklah semestinya terjamin betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya.

Isu ini juga adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW. Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa menggembirakan dan mempertahankan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, May 5, 2010

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi

Dalam siri tulisan kita mengenai Tajdid di minggu-minggu yang lalu kita ada menyebut bahawa Tasawwuf kerap menjadi sasaran sesetengah aliran mereka yang mendakwa Tajdid. Tasawwuf, Tariqat dan istilah-istilah yang berkaitan dengannya sering dimomokkan oleh mereka seolah-olah semua dan setiap yang bernama Tasawwuf dan Tariqat itu sesat, bid`ah dan khurafat. Strategi memomokkan istilah ini sebenarnya sebenarnya suatu percubaan untuk mengunci minda dan menjadikan masyarakat awam jauh hati daripada Tasawwuf dan dunianya tanpa benar-benar mengenali dan memahaminya dengan tepat. Mereka ini sedar bahawa jika masyarakat meneliti dan mendekati Tasawwuf dengan adil dan bersungguh-sungguh, kefahaman dan penghayatan yang murni terhadap Tasawwuf akan menjadi salah satu benteng yang memisahkan masyarakat daripada terpengaruh dengan aliran yang ingin mereka juarai.

Menyedari hal ini, dengan izin dan inayah Ilahi, ruangan ini dan beberapa minggu mendatang, akan cuba menghuraikan tentang Tasawwuf dan persoalan yang berkaitannya termasuklah merungkaikan beberapa salah-faham yang timbul berkaitan dengannya.

Tasawwuf sebagai Cabang Ihsan

Kunci utama kepada kefahaman yang murni terhadap Tasawwuf ialah dengan menyedari bahawa sebenarnya ia tidaklah melainkan cabang atau dimensi Ihsan daripada agama kita. Ihsan selain daripada Islam dan Iman serta kesedaran tentang akhir zaman merupakan cabang dan dimensi utama al-Din seperti yang kita semua tahu daripada Hadis Jibril yang merupakan antara induk hadis-hadis Nabi SAW. Begitu besar pengajaran yang hendak dibawa melalui hadis tersebut sehingga Jibril telah menyampaikan secara istimewa iaitu dengan merupakan dirinya sebagai manusia dan berdialog secara langsung dengan Nabi SAW bersaksikan para sahabat. Dari situ, kita semua maklum bahawa agama yang kita anuti ini sebenarnya terdiri daripada tiga cabang Islam, Iman dan Ihsan yang terjelma kepada tiga cabang ilmu utama agama iaitu Syariah, Aqidah dan Akhlak. Tiga istilah alternatif bagi ilmu-ilmu ini adalah Fiqh, Tawhid dan Tasawwuf. Jadi sebenarnya dalam peta minda Islam, Tasawwuf adalah istilah lain bagi dimensi Ihsan atau Akhlak.

Jika itulah kedudukan Tasawwuf dalam kerangka faham agama kita, tidak peliklah jika kita melihat para ulama muktabar sepanjang zaman, sebagai mereka yang paling menguasai selok-belok agama ini, bersikap sangat positif terhadap Tasawwuf dan dunia Tasawwuf. Kebanyakkan mereka terjun langsung kedalam dunia tersebut dengan mengamal, mengajar dan mengarang kitab-kitab rujukan dalam bidang ini. Selebihnya menjadi mereka yang mencintai para ulama dan pemuka Tasawwuf atau sekurang-kurangnya tidak mengambil sikap memusuhi mereka. Gambaran ini, yang akan kita perincikan nanti, sepatutnya sudah cukup menjadi asas untuk kita bersikap positif terhadap Tasawwuf.

Imej-imej Negatif Tasawwuf

Tapi kenapa masih ada yang takut dengan Tasawwuf atau memandangnya sebagai asing atau negatif?

Ihsan-Akhlak-Tasawwuf, jika direnungi, adalah dimensi dalaman atau batin agama kita. Kerana tabiatnya yang begitu memang salah-faham dan kekeliruan mudah timbul berkenaan Tasawwuf terutama di peringkat amalan dan perbahasan yang lebih tinggi. Mendekati Tasawwuf ditahap yang tinggi tanpa panduan guru yang berkelayakan boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat dan salah. Bila ini berlaku, ajaran-ajaran salah ini sering mendapat liputan meluas dan sensasi di media seperti dalam kes Hassan Anak Rimau, Ayah Pin dan al-Arqam. Kumpulan dan ajaran Tasawwuf yang menyeleweng sering tetap menggunakan istilah-istilah dalam dunia Tasawwuf seperti tariqat, syeikh, mursyid, awrad, kasyaf, yaqazah dan seumpamanya. Akhirnya istilah-istilah ini turut terpalit dan dilihat negatif sedangkan hakikatnya tidaklah begitu.

Sebenarnya penyelewengan turut berlaku dalam cabang agama yang lain seperti cabang Syariah. Malah penyelewengan dalam cabang Syariah mungkin lebih meluas dan melibatkan lebih ramai orang dan kumpulan. Cuma mungkin kesannya tidak begitu kelihatan atau kurang dirasakan oleh mereka yang terlibat. Atau jika menonjol sekalipun ia biasanya tidak akan dikaitkan sebagai kelemahan cabang ilmu syariah atau fiqh. Bukankah masih banyak penyelewengan daripada landasan hukum syariah yang ada dalam masyarakat kita?

Dalam bidang dan kumpulan mana pun akan ada mereka yang menyeleweng atau ekstrim. Soalnya, adakah adil kita menilai dan menghukum sesuatu bidang atau kumpulan hanya dengan merujuk kepada mereka yang menyeleweng atau sesat yang muncul dari bidang atau kumpulan itu? Jika begitu banyaklah bidang dan cabang ilmu yang harus kita tolak kerana adanya ‘kambing hitam’ yang muncul daripada kalangan pengamalnya! Adakah bijak kita meminggirkan Tasawwuf hanya kerana beberapa individu dan kelompok yang sesat yang timbul dari dunia Tasawwuf?

Segelintir mereka yang salah menghayati Tasawwuf juga menyebabkan timbul imej seolah-olah Tasawwuf adalah anti-dunia, anti-kemajuan dan anti-perjuangan. Kita akan huraikan nanti betapa tersasarnya tanggapan jika melihat pencapaian dan perjuangan para tokoh dan pemuka Tasawwuf, dulu dan kini. Tetapi harus diingat, jika Tasawwuf hendak dinilai dengan neraca seseorang yang memang tenggelam dan mabuk dengan dunia dan material memanglah Tasawwuf akan dilihat pasif dan tidak cukup dinamik.

Ada juga orang-orang yang baik-baik dan minatkan agama tetapi punya tanggapan bahawa Tasawwuf adalah ilmu yang terlalu tinggi untuk mereka. "Kami belum layak untuk mengaji Tasawwuf...," kata mereka. Ini juga satu sindrom yang amat merugikan kerana ia menjauhkan mereka daripada apa yang sangat mereka perlukan dalam kehidupan mereka. Siapakah di kalangan kita yang tidak perlukan penyucian diri dan peningkatan keruhanian? Malah ini adalah suatu keperluan bagi setiap Muslim pada setiap ketika dalam hidupnya. Kita akan jelaskan nanti betapa Tasawwuf, seperti juga ilmu-ilmu lain ada tahap dan peringkat-peringkatnya. Selagi mana kita mendatangi Tasawwuf mengikut tahap dan kaedahnya, dengan bimbingan guru yang layak maka tidak timbul sindrom tidak layak atau belum sesuai belajar Tasawwuf.

Ada juga disana kelompok dan kumpulan yang sentiasa mencemburui dunia Tasawwuf dan pendokongnya kerana Tasawwuf dilihat sebagai aliran tandingan kepada aliran yang mereka juarai. Lantas mereka sering cuba menempelkan label-label bid`ah, khurafat dan taasub kepada Tasawwuf. InsyaAllah kita akan membahaskan asas-asas al-Quran dan al-Sunnah di sebalik Tasawwuf. Jika difahami dengan jujur, Tasawwuf yang murni adalah bebas daripada label-label ini. Sebaliknya, jika diteliti, kelompok yang mentohmah Tasawwuf, sering terlibat dengan unsur-unsur bid`ah, khurafat dan ta`asub. Tengok sahaja bagaimana mereka menjulang tokoh-tokoh mereka sendiri dalam pelbagai bentuk dan cara. Seolah-olah tokoh-tokoh ini sahaja yang memonopoli kefahaman dan kebenaran. Bukankah ini taasub walaupun tiada tangan yang dicium atau berkat yang diambil?

Marilah dalam minggu-minggu mendatang bersama kami dalam perjalanan mendekati Tasawwuf agar ia tidak terus menjadi cabang agama yang terzalimi.

Oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Ini versi asal daripada versi yang tersiar di
Ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Utusan Malaysia (4 Mei 2010)




Tuesday, April 27, 2010

Tajdid : Antara Hakikat dan Dakwaan

Tajdid : Antara Hakikat dan Dakwaan

Di dalam dua tulisan yang lepas, kita telah cuba menjelaskan tentang falsafah dan kerangka sebenar Tajdid atau pembaharuan. Tajdid dan para Mujaddid, iaitu mereka yang memikul amanah tugas ini, adalah sangat mulia dan terpuji kedudukannya dalam Islam jika betul fahamnya dan kena tempatnya. Dengan penjelasan itu adalah diharapkan agar kita akan lebih mudah membezakan antara yang Tajdid hakiki dan yang sekadar dakwaan. Memang ada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai penggerak Tajdid sedangkan Tajdid yang hakiki tiada kena mengena dengan apa yang mereka gerakkan. Bak kata pepatah Arab, “Mereka semua mendakwa sebagai kekasih Laila sedangkan Laila jauh daripada semua dakwaan itu!”. Tanpa kerangka faham yang betul, orang awam sukar hendak membezakan antara yang hakiki dan yang dakwaan kerana kedua-duanya menggunakan ayat al-Quran dan hadis dalam hujjah mereka. Kadang-kadang ayat dan hadis yang sama yang dipetik walaupun berlainan syarahnya. Pepatah mengenai Laila di atas pun biasa dipetik oleh Mujaddid dakwaan untuk menyerang mereka yang tidak sefahaman!

Oleh itu untuk keselamatan agama mereka, sangat penting bagi masyarakat awam berpegang dengan petua untuk membezakan antara Tajdid Hakiki dan Dakwaan. Antara petuanya yang utama adalah dengan memeriksa apa yang jadi sasaran Tajdid seseorang atau sesuatu aliran. Apakah yang mahu ditajdidkan itu ajaran dan prinsip Islam itu sendiri atau fikrah dan sikap orang, masyarakat, negara dan Umat Islam. Kita tegaskan lagi bahawa prinsip dan ajaran Islam itu tidak perlu lagi ditajdid terutamanya oleh kita yang bukannya berada dikurun-kurun awal Islam. Para Mujaddid hakiki daripada generasi terawal pun bukannya mengubah isi dan hakikat Islam itu tetapi sebaliknya sekadar menyusun, memperkemaskan istilah, menghuraikan ajaran Islam. Segalanya tidak lari dari kerangka dan isi asal Islam. Selebihnya mereka berperanan memurnikan kefahaman dan penghayatan umat di zaman mereka terhadap ajaran dan prinsip Islam. Hari ini, Tajdid yang boleh dibenarkan terhadap ajaran Islam sepatutnya terbatas terhadap usaha memperelokkan penjelasan dan persembahannya, agar jelas keterkaitannya dan kesesuaiannya dengan realiti semasa.

Orang, masyarakat dan Umat Islam itu sendiri sering lalai dan lupa. Ramai yang tidak menghayati. memahami dan mengamalkan Islam sama ada kerana kejahilan, kedegilan atau kelalaian. Maka tugas utama para Mujaddid zaman ini adalah mendidik yang jahil, mengingatkan yang lalai manakala yang degil perlu dicegah dan diajar. Mujaddid hakiki tidak sepatutnya lebih mengelirukan mereka yang jahil dan lalai dengan fahaman dan persoalan rantingan yang hakikatnya tidak menambah atau mengurangkan keimanan dan ketaqwaan mereka. Tidak sepatutnya menyibukkan diri dan orang lain untuk mengulangkaji, mempertikaikan dan merombak apa yang sudah baku dan muktabar dalam ajaran Islam. Mereka yang lalai dan degil pula perlu didakwah dengan akhlak Nabawi. Kalau ada yang terus berdegil menggunakan undang-undang dan kuasa yang adalah sebahagian daripada akhlak Nabawi dalam menanganinya.

Amal Bakti Mujaddid Silam

Sebagai tolok perbandingan dan piawai Tajdid hakiki, marilah kita soroti amal bakti tokoh-tokoh Mujaddid silam yang disepakati oleh majoriti umat.

Di kurun pertama, Khalifah Umar bin Abdul Aziz (61-101H) telah muncul sebagai model yang hidup ketaqwaan, keikhlasan, amanah dan zuhud, setelah nilai-nilai ini dikelabui pemerintahan sebelum beliau. Beliau turut memurnikan kembali fahaman dan aqidah umat antaranya dengan menghentikan amalan menghina dan merendahkan Saidina Ali dan Ahlul Bayt termasuk dalam khutbah-khutbah. Beliau juga mengasaskan dan menggalakkan usaha menghimpunkan hadis-hadis Nabi SAW. Zaman beliau turut dicorakkan kehadiran tokoh-tokoh ulama Tabiin seperti Imam al-Hasan al-Basri (21-101H) yang muncul sebagai antara penjaga aqidah dan akhlak umat serta merupakan antara Imam pengasas cabang ilmu akhlak dan keruhanian tasawwuf dalam Islam.

Zaman berikutnya, menyaksikan kemunculan Imam-imam Mazhab fiqh, Imam Abu Hanifah (80-150H), Imam Malik (94-179H), Imam al-Shafi`I (150-204H), Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H), yang akhirnya mengasaskan sistem Shariah dan hukum-hakam yang tersusun dan kemas. Suatu struktur fiqh yang bersifat kepelbagaian dalam kesatuan yang harmoni.

Apabila umat Islam diuji dengan pelbagai fahaman dan aqidah yang menyesatkan, muncullah Imam Abu al-Hasan al-Ash`ari (260-324H) memurnikan fahaman dan menyusun kaedah-kaedah Aqidah Islam. Tugas yang hampir sama ditunaikan kemudiannya dengan penuh amanah oleh al-Imam al-Ghazali (450-505H) yang turut meninggalkan sumbangan penting dalam perkembangan cabang-cabang ilmu Tasawwuf, Usul al-Fiqh dan Fiqh. Di era yang sama muncul tokoh keruhanian tasawwuf-tarikat, Syeikh `Abd Qadir al-Jilani (470-561H) yang menyambung usaha Imam al-Ghazali di bidang ini dan menyusun pendekatan keruhanian yang lebih khusus. Kesan dan keberkatan usaha pemurnian Aqidah-Shariah-Akhlak generasi al-Ghazali dan al-Jilani ini akhirnya memungkinkan kemunculan Mujaddid Mujahid, Sultan Salahuddin al-Ayyubi (w.589H)dan generasinya yang telah berjaya mengembalikan al-Aqsa ke tangan umat islam.

Jika diteliti dengan insaf, amal-bakti para tokoh Mujaddid silam ini adalah semuanya bersumberkan acuan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya berkhidmat menghuraikan, menyusun dan memperkembangkannya lagi agar lebih mudah dihayati dan diamalkan oleh Umat. Usaha mereka jelas bersifat suatu kesinambungan atas warisan generasi sebelumnya dan bukannya membina sesudah meruntuhkan warisan yang ada. Juga dapat diperhatikan bahawa para Mujaddid ini berjalan atas jalan rahmat dan kasih sayang sesama Islam tetapi tegas terhadap para Kuffar dan kekufuran serta ajaran yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam.

Gerakan Pendakwa Mujaddid

Berbanding dengan warisan para Mujaddid silam, kita lihat ada tokoh dan gerakan yang mendakwa Tajdid hakikatnya membawa fahaman yang ganjil dan bertentangan dengan asas Quran dan Sunnah yang diperjuangkan oleh warisan para Mujaddid silam. Oleh sebab itu, mereka terpaksa berusaha terlebih dahulu untuk meruntuhkan warisan para Mujaddid silam agar barulah fahaman mereka dapat dibina di atas runtuhan itu. Maka kita perhatikan gerakan ‘Tajdid’ mereka penuh dengan mesej yang mempertikaikan dan menimbulkan keraguan terhadap warisan para Mujaddid silam.

Jika para Mujaddid silam menumpukan kepada persoalan yang lebih mustahak dan membina, para pendakwa Tajdid masih berkeras mahu mentajdidkan fahaman terhadap persoalan Bid`ah dan Khilafiyyah dalam Islam. Berkeras mempertikaikan kemurnian aqidah dan kesahihan amalan majoriti umat Islam.

Kita bukannya mahu mempertikaikan niat dan semangat mereka, tetapi niat dan semangat tinggi tanpa panduan ilmu yang benarlah yang telah mendorong puak Khawarij berkeras menentang Saidina Ali dan majoriti umat di zamannya. Dalam kita memperjuangkan agama, kita semua juga harus sentiasa mewaspadai datangnya penyakit hati seperti `ujub, takabbur dan hubbul jah dan hubbul riyasah (sukakan kedudukan dan pangkat). Penyakit-penyakit hati ini menjadi fokus ilmu tasawwuf tetapi masalahnya, para pendakwa Tajdid ini rata-rata cenderung anti atau meminggirkan tasawwuf!

Kita menasihatkan masyarakat awam agar amat berhati-hati dengan mereka yang mendakwa Tajdid di kalangan kita. Perhatikanlah betul-betul apa isu-isu yang diperjuangkan. Analisalah sikap mereka terhadap warisan ilmu para Mujaddid silam. Istikharahkanlah dan syurakanlah dengan orang-orang yang lebih mengkhusus dan lebih berpengalaman. Janganlah mudah menerima momokan dan ditakutkan dengan ‘hantu’ tarikat, tasawwuf, taklid buta, taasub mazhab, bid`ah, khurafat dan sebagainya. Kajilah dengan insaf dan teliti hakikat dan makna sebenar kalimah-kalimah ini menurut fahaman arus perdana dalam Islam. Janganlah ketika kononnya hendak membuka dan memerdekakan minda beragama saudara, sebenarnya minda saudara telah cuba dikunci dengan momokan-momokan ini!

Semoga Allah memperkenalkan kepada kita para Mujaddidnya yang sebenar sama ada yang lepas atau yang sezaman dengan kita. Kita isytiharkan bahawa kita sangat mengasihi mereka kerana yakin bahawa Allah SWT turut mengasihi mereka. Kita mengasihi dan menghargai mereka sebagai penghulu dan bapa-bapa kita dalam agama. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama dengan para Mujaddidnya di dunia dan di akhirat.

Panel Penyelidik Yayasan Sofa Negeri Sembilan

(Ini versi penuh ruangang Relung Cahaya, sisipan Mega, Utusan Malaysia Selasa 27/4/2010)


Friday, April 23, 2010

Bukan Kerana Penjajah!

Assalamualaikum,

Antara kesimpulan utama artikel yang menjadi punca laporan polis dibuat terhadap Dr.Asri ialah gerakan 'pembaharuan' (tanda kutip ditambah) telah gagal di negeri-negeri Melayu (kecuali Perlis) kerana Raja-raja ketika itu dikuasai atau ingin menjaga hati penjajah, khususnya Inggeris. (Selain itu, dakwa Dr.Asri, satu lagi faktor kenapa Raja-raja Melayu yang lain tidak menerima aliran 'pembaharuan' ini adalah kerana telah diampu oleh para ulama yang anti-'pembaharuan'.)

Kenyataan-kenyataan ini bercanggah dengan fakta sejarah. Kalaupun di zaman penjajah dan pasca-penjajahan kuasa Raja-raja di sudut lain telah terhakis, tetapi kuasa mereka berkaitan agama dan adat istiadat Melayu tetap tidak terjejas. Lihatlah penegasan Raja Muda Perak, YM Dr. Raja Nazrin Shah seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar hari ini, petikannya :

"Baginda menjelaskan bahawa kuasa seorang Raja Pemerintah dalam urusan Agama Islam dan Adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika negeri-negeri di Tanah Melayu berada di bawah pengaruh pentadbiran British dan semasa penjajahan Jepun."

Menganggap Raja-raja Melayu menolak gerakan 'pembaharuan' dan tokoh-tokohnya kerana pengaruh Penjajah ataupun ampu-ampuan ulama adalah suatu gambaran yang sangat buruk terhadap Raja-raja Melayu. Katakanlah dakwaan ini benar sekalipun, ia masih tidak sesuai untuk dijaja secara terbuka kerana akan menjejaskan kredibiliti salah satu institusi utama agama dan negara kita yang tetap ada peranannya yang mustahak dan tersendiri.

Kita katakan, fakta yang sebenarnya adalah Raja-raja Melayu ini telak menolak aliran 'pembaharuan' ini dengan penuh kesedaran dan kefahaman terhadap hakikat aliran ini. Jika ada peranan nasihat para ulama, nasihat ulama berdasarkan ilmu dan kebenaran buruk sekali jika dilabel sebagai ampu-ampuan.

Alhamdulillah, walaupun kita semua maklum bahawa Raja-raja kita bukanlah dari bangsa Malaikat yang langsung tidak melakukan silap dan salah, tetapi rata-ratanya, dalam peranan keagamaan mereka, Raja-raja kita sangat berhati-hati dan menghormati autoriti ahli-ahli agama dalam peranan ini.

Semoga Allah subhanahu wataala sentiasa mencurahkan Tawfiq, Inayah dan Ria`yah-Nya kepada semua Raja-raja kita dalam memelihara Agama, Bangsa dan Negara. Amin dengan berkat dan rahsia al-Fatihah, al-Fatihah.

(Harap doa ini tidak dikira mengampu..!:-))

WaLlahu a`lam, wassalamualaikum warahmatuLlah.

Sumber Bernama, berita penuh boleh dicapai di :

Tuesday, April 20, 2010

Tajdid : Memperbaharui atau Meruntuh?

Assalamualaikum,
Saya tahu Dr.Asri dah menjawab laporan polis yang kami buat di websitenya dengan antaranya memetik kenyataan di ruang status Facebook Ust.Maszlee yang Ust.Maszlee sendiri dah padamkan tak lama selepas beliau siarkan. InshaAllah saya akan komen sikit nanti. Saya sibuk sikit baru-baru ni. Sementara tu dilampirkan sambungan perbincangan tentang Tajdid yang tersiar dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia, Selasa lepas.
Wassalamualaikum.
Tajdid : Memperbaharui atau Meruntuh?

Di dalam ruang ini di minggu yang lepas, kita telah cuba memurnikan kefahaman kita tentang Tajdid atau pembaharuan dalam Islam agar kita tidak tersilap dalam memahami dan menghayatinya. Tersilap memahami Tajdid dalam Islam bukannya perkara kecil kerana ia boleh membawa akibat-akibat yang besar. Ia boleh menyebabkan seseorang itu menolak kesepakatan dan pandangan yang kuat dalam cabang-cabang utama agama Aqidah-Syariah-Akhlak. Ini sudah tentunya akan mendedahkan kehidupan beragama seseorang itu kepada mara bahaya. Salah faham terhadap Tajdid juga boleh mendorong seseorang itu memandang rendah, memperlekeh bahkan menghina tokoh-tokoh ulama pewaris Nabi SAW. Di peringkat masyarakat dan Umat pula, faham Tajdid yang tersalah pasang boleh menimbulkan perpecahan lantas melemahkan kekuatan dalaman dan jatidiri Umat. Suatu keadaan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang iri hati dengan Islam dan musuh-musuhnya.

Asas Kerangka Faham Tajdid
Kita telah menegaskan beberapa asas kerangka faham Tajdid sebenar dalam Islam. Tajdid dalam Islam fokusnya adalah orang Islam, masyarakatnya dan negaranya serta bukannya fahaman dan ajaran Islam yang dijamin terpelihara sepanjang zaman. Islam sebagai modul kehidupan bermula cemerlang dan kemudiannya berpindah dari generasi ke generasi dibawah perhatian dan pemeliharaan Rabbul Jalil sebagaimana yang selayaknya bagi risalah terakhir bagi manusia seluruhnya. Mungkin ada yang mencebek dan menuduh naif terhadap pernyataan ini sedangkan ia sebenarnya suatu sikap sangka baik atau husnu dzan yang sangat kena pada tempatnya.

Ia adalah sikap yang berasaskan pelbagai nas-nas wahyu termasuklah ayat – ayat Al-Quran yang memuji generasi para sahabat dan memperakui umat ini sebagai Khayra Ummah – umat terunggul. Allah SWT sendiri juga telah mengisytiharkan kesempurnaan dan keunggulan modul ini dengan firmanNya, “ Pada hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu ni`mat-kurniaan Ku, dan Aku redha Islam itu menjadi agama kamu.” (al-Maaidah:3). Rasullullah SAW pula mengiktiraf keunggulan generasi umat Islam dalam kurun-kurun terawal dalam memikul dan menghayati risalah ini. Keunggulan dan kehebatan generasi awal Islam sebagai juara-juara kemanusiaan dan ketamadunan juga merupakan suatu fakta sejarah yang diakui kawan dan lawan. Bagi umat Islam beriman dan baik fitrahnya pula, ia turut menjadi suatu hakikat yang dapat dirasai di benak hati dan bukan sekadar hujah aqali.
`Tajdid Sekularis dan Tajdid Modenis
Mengakui tentang permulaan Islam yang bercahaya sebegini akan mengenepikan hujah para ‘Mujaddid sekularis dan liberalis’ yang sering bercakap seolah-olah ajaran Islam turut perlu melalui suatu proses pendewasaaan bertahap-tahap atau evolusi sebelum ianya menjadi sempurna. Kelompok ‘Mujaddid sekularis dan liberalis’ ini biasanya muncul dari luar. Luar dalam erti kata suara pengkaji dan pemerhati bukan Islam atau para orientalis yang menggunakan kerangka faham mereka yang asing daripada kerangka Islam. Luar juga boleh diertikan sebagai suara dari kalangan orang Islam sendiri tetapi daripada kalangan mereka yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama. Mereka ini juga sering mendatangi Islam dengan kerangka minda yang asing lantas gagal menilai Islam dengan neraca yang saksama. Mungkin sahaja apa yang sebenarnya sisi kekuatan pada Islam akan dilihat sebagai kelemahan dan cuba dirombak dan dihilangkan. Contohnya, luas dan terperincinya hukum-hakam syara’ mereka lihat sebagai mengongkong dan melemaskan sedangkan ia menjadi antara faktor penjamin jatidiri dalaman umat.
Di sudut gelanggang yang lain, terdapat pula kelompok ‘Mujaddid modenis Islamis’ yang muncul dalam kalangan umat Islam sendiri. Kecenderungan ini ada juga muncul dari kalangan mereka yang berpendidikan agama tetapi telah terhimbau dengan aliran-aliran dan tokoh-tokoh tertentu yang tidaklah mewakili arus perdana dan majoriti Umat. Berbeza dengan kelompok ‘mujaddid sekularis liberalis’ kelompok ini tidaklah meragui kesempurnaan Islam di kurun-kurun awalnya. Mereka masih bertolak daripada asas keimanan tetapi dengan kerangka ‘tajdid’ agama yang berasaskan prasangka bahawa generasi ulama selepas itu telah gagal memahami Islam dan menyampaikannya secara murni kepada generasi seterusnya. Hanya sesudah banyak ratus tahun kemudiannya barulah muncul beberapa tokoh ulama dan pemikir Islam dari pelbagai bidang yang membawa pendekatan memahami Islam yang mereka anggap lebih tepat dengan generasi awal atau para Salafus Soleh. Inilah sebabnya mereka yang cenderung kepada aliran ini suka menggelarkan diri mereka sebagai beraliran Salaf atau Salafiy. Mereka juga melaungkan semboyan kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah dengan nota kakinya : tanpa perlu perantaraan tafsiran dan huraian ulama silam.
Di antara tokoh-tokoh ulama dan pemikir yang menjadi rujukan aliran ini ialah Ibnu Taymiyyah, muridnya Ibnul Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab, Muhammad Abduh, Rashid Ridha dan Nasiruddin al-Bani. Pemikiran tokoh-tokoh mempengaruhi pengikut aliran ini ke tahap dan dengan cara yang berbeza hingga aliran ini bukanlah aliran yang tunggal dan homogenous sifatnya. Sesama pecahanaliran inipun ada banyak percanggahan pandangan. Adalah sukar untuk memetakan aliran yang rencam ini jika berbanding kesepaduan aliran arus perdana Islam. Walau bagaimanapun, aliran ‘Mujaddid Modenis Islamis’ ini tetap bersatu dalam keengganan mereka menerima-pakai acuan Aqidah-Syariah-Akhlak yang sudah baku hasil saringan generasi ulama silam.
Jika diteliti baik dari sudut nas wahyu mahupun fitrah yang sejahtera, kedua-dua aliran ‘Tajdid’ yang kita sebutkan di atas adalah tidak secocok dengan Islam. ‘Tajdid’ sekularis jelas tidak berpijak di atas asas keimanan malah bertitik-tolak daripada kecurigaan bahkan sesetengahnya sampai ketahap kebencian terhadap Islam itu sendiri. Sebagai suatu gagasan luar ia juga bercakap dengan bahasa dan istilah yang asing lantas lebih mudah dirasai kejanggalannya. Maka rata-ratanya aliran’Tajdid’ ini kurang mendapat tempat dikalangan umat yang solat dan berzakat. Khalayak awampun cenderung menolak tanpa perlu diyakinkan dengan hujah yang panjang lebar.
Lain sedikit halnya dengan ‘Tajdid modenis Islamis’ yang datangnya dari dalam tubuh masyarakat Islam itu sendiri. Ia berbicara dan memakai pakaian Islam. Khalayak awam mungkin sukar untuk menghuraikan dimana silap dan bezanya aliran ini dengan aliran arus perdana. Malah sekali dengar, hujah disokong nas yang dibawa untuk mendokong `pembaharuan’ yang dibawa kedengaran berasas dan ada logiknya. Pendek kata para ustaz-ustaz pun jika tidak menelaah rujukan dan perbahasan khusus tentang aliran tidak akan benar-benar jelas tentang selok-belok perbahasannya. Ada persamaannya di sini dengan perbahasan antara Ahli Sunnah dan Syi`ah dalam Islam. Mereka yang tidak merujuk bahan-bahan khusus mengenainya tidak mudah untuk menanganinya.
Mereka yang mereka yang meneliti tentang hakikat ‘tajdid’ dalaman ini akan menemukan bahawa aliran ini mempunyai datang dengan ‘package’ yang tersendiri. Walaupun ia mungkin kelihatan berani, progresif dan dinamik dalam mengulas sesetengah persoalan semasa pada asasnya aliran ini tetap membawa bersamanya beberapa fahaman-fahaman yang bercanggah dengan kesepakatan umat dalam Aqidah, Syariah dan Akhlaknya. Isu-isu yang diperjuangkan dan hendak ditajdidkan pula sering berada dalam ruang khilafiyyah yang sepatutnya tidak boleh menjadi punca pertelingkahan.
Oleh kerana isu-isu yang ditimbulkan oleh aliran ‘Tajdid’ dalaman ini mudah menimbulkan kekeliruan dan kesamaran, polemik, perbahasan dan perdebatan terbuka bukanlah cara yang paling berkesan menanganinya. Jika dibiarkan juga pandangan-pandangan ini disebarkan ditengah-tengah masyarakat, dalam sekian ramai yang mendengar tetap akan ada yang terpengaruh. Ajaran yang jelas-jelas sesat seperti Ayah Pin dan ‘Rasul’ Kahar pun ada pengikutnya yang masih setia. Pepatah Arab mengatakan “Likulli Saaqitin Laqiit”, `tiap yang gugur itu ada yang mengutipnya’. Menyedari hal itu, pihak berkuasa yang sedar dan bertanggungjawab perlu bertegas mengawal fahaman-fahaman yang menyeleweng. Ancaman terhadap pegangan agama adalah lebih berbahaya berbanding persoalan-persoalan lain. Sebab itulah Imam Ibnu Hajar al-Haithami apabila ditanya tentang hukumnya seseorang menimbulkan keraguan terhadap Imam-imam Ahli Sunnah turut memetik tindakan tegas yang diambil oleh Sayyidina Umar al-Khattab terhadap seorang lelaki bernama Subigh yang membahaskan ayat dan hadis mutasyabihat secara ditengah masyarakat. Subigh telah ditangkap dan dihukum sebat sehinggalah dia bertaubat. Memang kelihatan keras dan tegas tetapi sesuailah dengan besarnya maslahah yang hendak dipelihara.

Sunday, April 18, 2010

Laporan Polis Terhadap Dr.Asri

Assalamualaikum,
Dilampirkan dibawah, nota media laporan polis yang telah dibuat oleh saya dan teman-teman daripada beberapa pertubuhan Islam pagi tadi lebih kurang jam 1130 di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi. 'Katakanlah yang benar walaupun pahit!'
Wassalamualaikum
Nota Media (18 April 2010)

Laporan Polis Terhadap Tulisan Dr.Asri di Malaysiakini yang mengandungi Hasutan terhadap Agama dan Institusi Raja-raja Melayu.
Kami terpanggil untuk memohon agar suatu siasatan dibuat terhadap satu kesalahan yang kami percayai telah mencabuli undang-undang negara, mencabar institusi asas negara serta menghina Islam dan umatnya di negara kita.
Kami merujuk kepada tulisan Dr. Mohd. Asri bin Zainul Abidin bertajuk “Cabaran Gerakan Pembaharuan” bertarikh 4 April 2010 yang lepas. Tulisan ini yang merupakan tulisan kedua dalam ruang kolum baru yang diberikan kepadanya oleh laman web berita Malaysiakini (edisi Bahasa Melayu).
Kami berpandangan bahawa secara keseluruhan dan di beberapa tempat dalam tulisan tersebut secara khusus, Dr.Asri telah melampaui batas dalam mengemukakan pandangan dan komentarnya hingga ke tahap melanggar beberapa undang-undang negara terutamanya Akta Hasutan 1948.
Akta Hasutan 1948 memperuntukkan definisi hasutan sebagai termasuk, “kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan.” (Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948)
Dr.Asri dalam tulisannya jelas cuba menimbulkan krisis keyakinan terhadap institusi-institusi rasmi Islam yang utama di Malaysia iaitu institusi Raja-raja dan ulama. Dalam tulisan beliau ini Dr.Asri jelas cuba menggambarkan bahawa pihak Raja-raja Melayu atau pihak Istana telah menjadi penghalang kepada aliran pembaharuan agama kerana tunduk kepada penjajah serta kerana telah diampu oleh para ulama yang beliau istilahkan sebagai anti-pembaharuan. Berikut dinukilkan antara petikan daripada tulisan tersebut yang berkaitan :
i. “Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari. Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.”
ii. (Di bawah tajuk kecil “Enggan Mengampu”) “Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana. Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.”
iii. “Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatah lagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.
iv. “Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana. Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana.”
v. “Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.” (dengan tambahan garis bawah)
Membaca tulisan ini, pembaca akan mendapat gambaran bahawa pihak Raja-raja Melayu (kecuali di negeri yang disebut oleh beliau) sebagai mereka yang membelakangkan kepentingan Islam hanya kerana tunduk kepada penjajah dan ampuan ulama yang tidak sealiran dengan ‘gerakan pembaharuan’. Raja-raja Melayu juga digambarkan seolah-olah tidak mampu menilai yang baik dan buruk dalam urusan agama hanya kerana termakan ampu dan puji. Para ulama yang tidak sealiran pula digambarkan sebagai bersedia untuk membelakangkan Islam demi pengaruh dan kuasa. Istana digambarkan penuh dengan khurafat dan perkara yang bercanggah dengan Islam yang dibiarkan sahaja oleh mereka. (rujuk juga mesej yang berkaitan dalam tulisan beliau dalam kolum yang sama seminggu sebelumnya bertajuk “Kuasa Politik dan Kuasa Agama”, Malaysiakini, edisi Bahasa Melayu, 28 Mac 2010). Turut jelas dalam tulisan beliau, Dr.Asri cuba memberi gambaran negatif dan menghakis keyakinan terhadap autoriti agama di hampir kesemua negeri-negeri di negara kita.
Kami percaya bahawa dengan kenyataan-kenyataan beliau ini, selain daripada mengancam keutuhan Islam dan umatnya di Malaysia, Dr.Asri sudah melanggar beberapa batas undang-undang negara. Kedaulatan undang-undang adalah salah satu rukun negara ini. Kami menuntut hak kami sebagai warganegara agar undang-undang negara ini memelihara kami, masyarakat dan negara daripada ancaman dan kerosakan yang boleh terhasil akibat tulisan sebegini. Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara juga merupakan paksi-paksi Rukunegara. Kami percaya tulisan sebegini sangat bercanggah dengan kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara serta ketinggian institusi Raja-raja sebagai payung negara dan agama. Tulisan ini juga cuba memberikan imej yang buruk terhadap para tokoh ulama tanah air, dulu dan kini, terutamanya yang berperanan secara rasmi dalam pentadbiran agama Islam.
Oleh itu kami menuntut agar siasatan berlandaskan undang-undang negara dibuat terhadap tulisan ini dan penulisnya. Ini bukanlah kali pertama Dr.Asri menerbitkan tulisan yang berunsur sebegini dan adalah tidak wajar jika beliau dibiarkan berterusan melakukan perkara yang sama secara terbuka. Jika dibiarkan, tidak mustahil perbuatannya akan ditiru dan diulangi oleh lebih ramai yang lain yang akan membawa kesan yang lebih buruk kepada negara. Laman web Malaysiakini yang telah memberi ruang kepada tulisan seumpama ini juga perlu di siasat di atas alasan dan semangat yang sama. Jika terbukti bersalah, tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka untuk mencegah mereka daripada mengulangi kesalahan ini. Kami berharap agar laporan kami ini diambil perhatian serius serta mendapat tindakan segera daripada pihak yang berwajib.

(Laporan ini dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa pertubuhan Islam termasuk Pertubuhan Kebajikan al-Jamiatul Khairiah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Persatuan Alumni Kolej Islam Kelang (ALKIS), Kesatuan Madrasah Islamiyah Malaysia (ITMAM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Integrated Muslim Associations Selangor (IMAN) dan Persatuan Sinar Damsyik (PERSIDAM). Laporan yang sama telah dibuat secara serentak di setiap negeri di seluruh negara)

Tuesday, April 13, 2010

Polemik Tajdid dan Pembaharuan

Polemik Tajdid dan Pembaharuan
Oleh Panel Penyelidik, Yayasan Sofa.
(Versi penuh daripada versi yang tersiar di ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Selasa 13 April 2010)

Di antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu Tajdid atau Pembaharuan dalam agama. Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok dalam soal pembaharuan dalam Islam ini. Antara persoalan pokok di sekitar Tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah dan manhaj untuk pembaharuan agama. Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita untuk mengenalpasti siapakah para Mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini turut mudah berlaku kerana sering terdapat pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan atau tajdid kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka adalah menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam. Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat. Jika mereka ini aggresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh. Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran.

Falsafah Tajdid dalam Islam

Istilah tajdid, pembaharuan atau renewal memang punya imej dan daya tariknya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar. Ditambah lagi apabila mengingatkan bahawa kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam,

“Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini” (riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara hadis yang sangat popular dikalangan umat Islam kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar. Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep Tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding dengan agama-agama lain. Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pillihan sudah dibekalkan dengan acuan dan panduan yang terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang Tajdid harus setia kepada hakikat ini. Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (Taghyir) ataupun reformasi (Islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh. Taghyir dan Islah hanya layak ditujukan terhadap orang-orang Islam yang lalai agar mereka ini berubah dan mengislah diri kembali mengikuti fahaman Islam yang sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sendiri sebagai para pewarisnya yang sah. Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar dikalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur. Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng. Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh. Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiyyah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan RasulNya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis Mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam Islam dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu. Aspek Islam, Iman dan Ihsan ini dikembangkan dan dihuraikan dibawah ilmu-ilmu Shariah/Fiqh, Aqidah/Tawhid dan Akhlak/Tasawwuf. Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang ditangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi. Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini turut mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah di kembangkan dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang beraqidahkan acuan Aqidah Asha`rah-Maturidiyyah, bershariahkan Mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasawwuf dalam akhlaknya. Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai-senarai utama para Mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam-imam Abul Hassan al-Ash`ariy, al-Shafi`iy, al-Ghazaliy dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan daripada perbahasan di atas, tumpuan sebenar Tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri. Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita merupakan fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita. Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia dihadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiyyah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas dihadapan kita. Perkara-perkara yang jelas-jelas haram, halal atau khilafiyyah tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para Mujaddid hakiki.

Mengenal Mujaddid Sebenar

Hasil perbahasan kita ini, bolehlah disimpulkan bahawa para Mujaddid sebenar dalam Islam adalah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap Aqidah/Tawhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf yang benar dan murni. Acuan dan manhaj yang benar dan murni dalam cabang-cabang ilmu Islam ini juga adalah jelas dan terang bagi mereka yang mahu melihat. Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para Mujaddid maka agama mereka akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu menempa pencapaian ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamaddun agung dunia dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para Mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia disebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama Tajdid dan pembaharuan. Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing. Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka. Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Syeikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan dan jasa mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. Khalayak awam yang kurang teliti dan berhati-hati mungkin mudah terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham Tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.
Sebenarnya, dengan berbekalkan faham Tajdid dan pembaharuan Islam yang sebenar, kita tidak akan mudah terpesona dengan setiap yang melagukan lagu Tajdid dan pembaharuan. Dengan izin Allah, dikesempatan yang mendatang, ruang ini akan mendedahkan secara lebih khusus beberapa pandangan yang menyimpang daripada fahaman Tajdid yang ada diketengahkan dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.